Tuesday, June 26, 2007

Azmin dakwa Ezam jumpa Pak Lah kerana politik bukan Gerak


Dipetik dari DetikDaily

KUALA LUMPUR 26 Jun – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menyifatkan tindakan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd. Nor keluar parti sebagai tidak mengejutkan.

Beliau sebaliknya mendakwa telah menghidu tindak-tanduk dan perancangan Mohamad Ezam itu sejak empat tahun lalu.

Malah katanya, berdasarkan maklumat, tindakan itu diambil tidak lebih daripada percaturan politik semata-mata.

Justeru katanya, tindakan tersebut tidak akan melemahkan PKR yang diwujudkan bukan atas kekuatan individu tetapi kekuatan rakyat yang mahukan perubahan.

“Ia bukan perkara mengejutkan dan baru bagi saya yang cukup rapat dengan beliau,” katanya ketika dihubungi di Jakarta hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan Mohamad Ezam keluar PKR yang antara lain disebabkan dakwaan parti pembangkang itu kini dikuasai oleh golongan elit.

Mengulas dakwaan tersebut, Azmin berkata, Mohamad Ezam tidak boleh membuat kenyataan umum secara tidak bertanggungjawab untuk dijadikan alasan beliau keluar parti.

Ini kerana, katanya, dakwaan tersebut sukar dipercayai oleh mereka yang waras memandangkan Mohamad Ezam pernah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sebelum itu pernah ‘diserangnya’.

“Tiada siapa boleh percaya pertemuan beliau dengan Perdana Menteri itu tertumpu kepada agenda Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK), melainkan ada agenda politik.

Keadilan Permatang Pauh nafi tuduhan Ezam

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Timbalan Ketua Bahagian Keadilan Permatang Pauh, Che Mat Hashim menafikan sekerasnya tuduhan bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) Ezam Mohd Noor, bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan bahagian itu bersikap berkecuali dengan tidak mencalonkan Dr Syed Husin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Tindakan itu dikatakan antara penyebab Ezam hilang kepercayaan terhadap Anwar dan bertindak keluar parti.

“Datuk Seri (Anwar) dan Datin Seri (Dr Wan Azizah) tidak pernah campurtangan, apatah lagi memberikan arahan kepada bahagian untuk mencalonkan sesiapa, mereka memberikan kebebasan sepenuhnya kepada kami,” tegasnya.

Apa yang sebenarnya berlaku, katanya ialah bekas Ketua Bahagian, Anuar Shaari yang yang juga rakan baik Ezam, telah menghalang bahagian mencalonkan Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden, meskipun Azmin mendapat sokongan majoriti ahli jawatankuasa.

“Anuar mahu kami calonkan Dr Syed Husin, kerana katanya itu adalah arahan daripada Datuk Seri,” jelasnya.

Menurut Che Mat, beberapa jam sebelum mesyuarat bahagian 13 Mac lalu, Anuar memaklumkan kepada beberapa ahli jawatankuasa bahawa beliau mendapat arahan lisan dan bertulis (melalui emel) daripada Anwar yang mengarahkan bahagian mencalonkan Dr Syed.

Bagaimanapun, apabila didesak dalam mesyuarat khas bahagian, Anuar mengaku beliau berbohong menerima emel.

“Apabila ditanya sebab beliau berbohong, beliau tidak dapat memberikan jawapan, malah berkata itu adalah ‘advantange’ sebagai ketua bahagian,” tegasnya.

Ekoran itu, demi menjaga keharmonian parti, bahagian mengambil sikap berkecuali, tidak mencalonkan mana-mana pemimpin untuk sebarang jawatan, selain Dr Wan Azizah sebagai Presiden.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini semalam, Ezam mendakwa Anwar telah mengarahkan Permatang Pauh bersikap berkecuali dan tidak mencalonkan Dr Syed, yang bermakna ketua parti itu menyokong Azmin.

“Bagi saya, (Dr) Syed Husin (Ali) adalah penyandangnya (timbalan presiden), jika dia (Anwar) meminta bahagian tersebut supaya jangan mencalonkan Syed Husin, itu bermakna Anwar menyokong Azmin.

“Mengapa Anwar tidak boleh bertindak tegas dan kata 'tidak' kepada Azmin?” soalnya.

Ezam juga mendakwa arahan Anwar itu juga merupakan salah satu sebab Anuar keluar parti.

Berhubung tindakan Anuar keluar parti Mac lalu, Che Mat berkata ahli akar umbi telah menolaknya kerana beliau mengabaikan bahagian, lebih-lebih lagi kerana beliau dibayar elaun bulanan.

“Lebih tepat lagi, beliau kecewa kerana merasakan tidak akan dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, berdasarkan laporan Sistem Menang Pilihan raya (SISMEP) yang dibentangkan dalam mesyuarat bahagian.

“ 2/3 penyokong BA menolak beliau sebagai calon Penanti,” ujarnya

Sementara itu, Naib Ketua Zainal Abidin Saad yakin Ezam telah mendapat maklumat yang salah berhubung pemilihan Permatang Pauh.

“Ezam sepatutnya menghubungi kami untuk mendapat maklumat sebenar, dan bukannya hanya mendengar sebelah pihak,

“Sebagai Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam sepatutnya menerima keputusan majoriti (demokrasi) dalam parti, dan bukannya membenarkan masalah peribadinya dengan Azmin membelenggu tindakannya.

“Kalau tidak, demokrasi yang diperjuangkannya hanya retorik kerana beliau sendiri gagal mempraktikkannya,” tegasnya.

Dah agak dah


Seperti yang diramalkan oleh banyak pihak, bekas pengarah urusan Perwaja Steel Sdn Bhd Tan Sri Eric Chia Eng Hock, dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah melibatkan RM76.4 juta oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini tanpa dipanggil membuat pembelaan.

Hakim Akhtar Tahir berkata pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang cukup bagi satu kes prima facie terhadap Chia.

Satu lagi kes profil tinggi yang tiada keadilan. Yang kena hanya ikan ikan bilis sahaja.

Monday, June 25, 2007

Dah muak dan jelak

Dah naik muak dan jelak kita dengar hari-hari berita tentang si anu ni keluar KeAdilan, si anu tu keluar KeAdilan..dah menyampah. Tapi berita tentang berapa ribu yang dah masuk KeAdilan di P.Pinang, Kelantan, Sabah dan merata tempat tak pulak di besar-besarkan. Yang lebih malangnya orang KeAdilan pun turut terikut-ikut melatah dengan berita tentang sipolan sipolan yang keluar KeAdilan. Cuba bawak bertenang.

Di Gombak sendiri ada yang melatah apabila si Rajan dan 3,4 kerat orangnya isytihar keluar KeAdilan. Apa nak di gusarkan. Selama ini kita dah 9 tahun berjuang dalam KeAdilan di Gombak, ada ke Rajan? Tak ada masalah kalau dia tak ada. Begitu juga halnya dengan yang lain-lain diseluruh negara. Kononnya di Kedah ada bebarapa ketua bahagian keluar parti, yang terbaru dikhabarkan Sdr Ezam Mohd Noor, mantan Ketua Pemuda KeAdilan keluar parti sejak april lalu. Biaq pi kat dia orang lah. Dulu mereka inilah juga yang berkobar-kobar berceramah ke hulu ke hilir kononnya membela nasib rakyat tegakkan kebenaran perjuangan reformasi. Sekarang apa dah jadi?? Yang hairannya orang-orang seperti Ezam yang semangat berkobar-kobar dalam setiap tindakan dan ceramah, orang macam ni lah yang cepat lari dari perjuangan. Samalah seperti Ruslan Kassim, Zahid Mat Arip, Hamdan Taha dan beberapa orang lagi.

Kita yang tinggal ni jagalah parti ni elok-elok. Jangan bercakaran sesama sendiri. Kita dah ambil keputusan bersama dengan KeAdilan sejak di awal penubuhannya, kuatkan istiqomah kita. Kalau ada pemimpin tertinggi yang ada kepentingan peribadi, kita nyahkan dia dengan cara terhormat. Kita ahli bawahan punya hak dan kuasa berbuat begitu.

Sorang ulamak dari Sudan ada berkata apabila ramai pengikutnya yang meminta beliau berkecimpuang dalam politik, apa beliau kata " Aku tak berminat nak mengumpul terlalu banyak angka kosong .Sebab angka kosong, berapa banyak sekalipun jika dicampur , nilainya tetap kosong. Aku lebih minat mengumpul angka satu sebab kalau ada hanya dua angka satu, jawapannya adalah DUA"

Moral of the story, tak payah ramai ahli, kalau semuanya lansgung tak memberi nilai kepada parti. Begitu juga dengan pemimpin, kalau semuanya angka kosong lebih baik tak payah. Fikir-fikirkan

Sunday, June 24, 2007

Apa punya muka tak malu?


Tersenyum pahit aku melihat gambar PakLah yang bersalaman dengan mufti Bosnia Herzigovina . Apa punya muka tak malu, isteri mufti Bosnia bertutup aurat sedangkan isteri engkau, isteri pengerusi OIC dan pemimpin islam hadhari "terdedah aurat". Hey apa punya tak malu engkau ni PakLah. Seluruh rakyat Malaysia seharusnya malu dengan situasi ini. Apa komen orang UMNO????

Friday, June 22, 2007

Tahniah atas keberanianmu


Bekas Ketua Wanita MCA Negeri Sertai Keadilan
Friday, 22 June 2007

BUKIT MERTAJAM : Semakain ramai bekas ahli MCA sertai keadilan selepas Sdr Tan Hock Leong yang kini menjadi Ketua Bahagian Bukit Mertajam.

Terbaru kemasukan Pn. Chin Fei Lan yang pernah memegang jawatan Ketua Wanita MCA Negeri Pulau Pinang selama 15 tahun sehingga tahun 1996 dan pernah menyandang jawatan EXCO Wanita MCA Pusat.

Pn. Chin Juga pernah memegang Jawatan Ketua Wanita MCA Bahagian Bukit Mertajam hampir 30 tahun dari 1976 hingga 2006. Beliau juga pernah dilantik menjadi Ahli majlis MPSP sebanyak 3 kali.

Beliau telah menyerahkan Borang tersebut kepada YB. Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail Presiden Parti Keadilan Rakyat yang disaksikan Dato' Zahrain Mohamed Hashin pada satu program yang diadakan di Permatang Tinggi baru-baru ini.

Dalam Majlis tersebut juga sebuah bilik gerakan di buka di kawasan Permatang Tinggi bagi memastikan kewujudan Keadilan bukannya sementara.

Thursday, June 21, 2007

Undi tak percaya kepada Khairy Jamaluddin.


Dikhabarkan salah sebuah cawangan Pemuda UMNO di Bahagian Rembau di mana Khairy Jamaluddin (KJ) sebagai Ketua Pemudanya, telah meluluskan undi tidak percaya kepada KJ. Satu lagi cawangan yang hendak meluluskan undi yang sama , telah digagalkan oleh konco-konco KJ dengan merasuah ahli-ahlinya. Inilah KJ yang diagung-agungkan oleh pemuda-pemuda UMNO. Di bahagian dia sendiri , dia tidak diterima kerana politik kotornya. Masih nak terima dia ke pemuda-pemuda UMNO?

Kalau setakat lulusan Oxford tetapi perangai hampeh, baik tak payah. Merosakkan bangsa dan agama sahaja.

Wednesday, June 20, 2007

Betul ke maklumat ini?


Benar kah maklumat yang menyatakan bahawa TOKOH tolak Dasar Ekonomi Baru (DEB) Dr Lim Teck Ghee dipercayai akan menyertai parti Keadilan dalam tempoh terdekat. Menurut sumber-sumber klpos.com, bekas Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam ASLI itu sudah lama berminat dengan Keadilan.

Dr Lim Teck Ghee terkenal selepas hasil kajiannya menunjukkan orang Melayu sudah mempunyai hampir 45 peratus ekuiti di negara ini sekaligus 15 peratus lebih tinggi dari sasaran DEB iaitu 30 peratus.

Dalam kata lain, bekas pensyarah USM dan UM ini mahu kerajaan menghapuskan DEB dengan alasan ia sudah mencapai matlamatnya. Bagaimanapun, sumber rasmi kerajaan pula menganggarkan pemilikan ekuiti Bumiputera di negara ini hanya 18.5 peratus.

Dr Lim mendapat angka 45 peratus kerana beliau memasukkan badan-badan yang ada hubungan dengan kerajaan, seperti TNB, Telekom dan lain-lain sebagai milik Melayu. Beliau kemudiannya meletak jawatan sebagai Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam Asli, NGO yang dipimpin Mirzan Mahathir selepas gagal menjawab mengapa dia memasukkan GLC sebagai ekuiti Bumiputera.

Khabarnya nama Dr Lim ada dalam senarai kepimpinan penting Keadilan.

Jika benar tahniah, dan nantikan analisis klpos.com tentang sokongan Cina untuk Keadilan hari Selasa ini.

BA Gombak semakin mantap hadapi pilihanraya



BA Gombak bersiap siaga hadapi bila-bila sahaja pilihanraya umum akan datang. Ini terbukti apabila jentera pilihanraya BA Gombak telah dilancarkan dengan jayanya oleh TS Khalid Ibrahim dan Dato' Dr Hassan Ali pada 16hb jun 2007 yang lalu. Bertempat di MTD Taman Gombak, ianya turut disertai oleh Sdr Azmin Ali selaku Ketua KeAdilan Bahagian Gombak dan Dr Hatta Ramli. YDP PAS Kawasan Gombak dan hampir kesemua AJK Bahagian KeAdilan dan PAS.

Dalam ucapan kedua-duanya, mereka malahirkan harapan yang tinggi kepada BA Gombak agar berupaya menawan Parlimen Gombak dan ketiga-tiga DUN dalam pilihanraya akan datang. BA Gombak sejak sekian lamanya telah menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi dikalangan ahlinya. BA Gombak juga pernah telah berjaya menawan dua DUN iaitu HUlu KLang dan Gombak Setia pada pilihanraya 1999. Pada pilihanraya 2004, walupun BN menggunkan taktik kotor, namun BA Gombak telah berjaya menunjukkan prestasi yang agak cemerlang.

Semoga dengan kerjasama erat kedua-dua parti, diharapkan pada pilihanraya umum akan datang, BA Gombak berupaya merampas parlimen dan 3 DUN, insyaAllah.

Monday, June 18, 2007

Tahniah Dato'


KeAdilan Gombak merakamkan setinggi tahniah kepada Dato' Dr Zainal Abidin Ahmad, mantan Timbalan Menteri Besar Selangor yang kini Ketua Bahagian KeAdilan Hulu Langat di atas perlantikan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan KeAdilan Selangor. Semoga beliau akan terus berusaha memantapkan lagi KeAdilan Selangor.

Kita percaya dengan pengalaman yang ada pada beliau dan hubungan yang rapat dengan DSAI akan beliau pergunakan demi kemajuan KeAdilan Selangor.

Tahniah Dato'.

Takbir




Agak mengejutkan bila menyaksikan juara program realiti GangStarz TV3 dari Indonesia The Lima takbir 3 kali apabila mendapat mereka juara. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar jerit mereka. Saya pasti ramai yang kaget melihat aksi mereka. Ternyata mereka tidak lupa kebesaran Allah. Pasti UMNO tak suka dengan aksi mereka kerana mirip kepada PAS... kan?

Melayu juarai dadah

Perhatikan statistik ini. fikir-fikirkan bersama.

Melayu 194,630 (66.07%)
Cina 53,858 (18.28%)
India 29,520 (10.02%)
B.Sabah 10,037 (3.71%)
B.Sarawak 1,077 (0.3%)
Lain 4,306 (1.46%)

Dan tanya diri kita apa yg telah kita lakukan untuk Islam,bangsa dan negara ini?

Sunday, June 17, 2007

Perlantikan Pengerusi Perhubungan Negeri

Pada 1.30 tengahari 17hb Jun 2007, selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Ketua Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan senarai jawatan Perhubungan Negeri yang baru. Perlantikan ini dibuat oleh Presiden Parti berdasarkan Fasal 17.1.3 Perlembagaan Parti dan telah dirasmikan oleh MPT pagi tadi.


Perlis: Sdr Nasaruddin Hj Sidek
Kedah: Sdr Farid Zakaria
Pulau Pinang: Dato’ Zaharin Mohamed Hashim
Perak: Haji Ismail Yusof
Selangor: Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad
Wilayah Persekutuan: Sdr Azman Zainal Abidin (pemangku)
Negeri Sembilan: Dato’ Kamarul Bahrin Abbas
Melaka: Hajjah Zainon Jaafar
Johor: Sdr Abdul Razak Ahmad
Pahang: Sdr Zakaria Abdul Hamid
Kelantan: Sdr Nik Mahmood Nik Hassan
Terengganu: Sdr Mustaffa Kamil Ayub (pemangku)

Jawatan bagi Sabah dan Sarawak masih dikosongkan sehingga pimpinan Pusat mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pemimpin di peringkat Bahagian.

Jawatan Timbalan Setiausaha Agung:
1. Abdul Halim Mohamed Yusof
2. Dr A Xavier Jayakumar
3. Low Chee Chong
4. Suzana Manja Ibrahim

Keluarnya Rajan, Tidak Menjadi Kudis kepada KeAdilan Gombak-Shaharudin

Agak melucukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Naib Ketua Bahagian Gombak yang dilantik , Sdr Rajandran Batumalai @ Rajan dalam akbar bahasa Tamil sewaktu mengumumkan keputusan beliau mengikut jejak langkah Dato' Nalla keluar KeAsilan , bahawa 1000 orang India telah keluar KeAdilan di Batu Caves. Agak melucukan dakwaan beliau itu. Borang yang dihantar ke bahagian hanyalah sekitar 80 orang, bagaimana mungkin 1000 yang keluar parti? Beliau sendiri dilantik sebagai Naib Ketua Bahagian atas ehsan Sdr Azmin Ali atas dasar kononnya beliau benar-bebar ikhlas sertai KeAdilan mengikut jejak Nalla bukan atas dasar beliau berjaya membawa masuk 1000 orang india masuk KeAdilan.

Jika dakwaan beliau benar, kita mencabar beliau supaya mengemukakan nama-nama mereka yang dikatakan telah keluar KeAdilan.Jika beliau gagal, ternyata beliau hanyalah pembohong semata-mata.

Sebenarnya tembelang beliau sertai KeAdilan telah terserlah apabila baru sahaja sertai Keadilan, beliau telah meminta dari Sdr Azmin Ali selaku Ketua KeAdilan Gombak sebanyak RM15,000 kononnya untuk membuka Pusat Khidmat Masyarakat di Batu Caves. Ekoran permintaan beliau tidak dilayan maka semangat beliau mulai pudar dan mulalah beliau mencari kesalahan KeAdilan. Apa yang berlaku kepada Dato' Nalla hanyalah satu alasan yang terbaik untuk beliau meninggalkan KeAdilan. Pihak Sdr Azmin Ali sendiri telah menyumbang kepada beliau sebanyak RM1000. Mana perginya wang tersebut?

Pihak KeAdilan Gombak tidak merasa langsung apa-apa kerugian diatas keluarnya beliau dari KeAdilan Gombak. Kerana beliau mempunyai agenda peribadi, tidak ikhlas dan tidak meyumbang apa-apa kepada parti selama 6 bulan beliau sertai KeAdilan di Gombak. Parti KeAdilan hanya memerlukan orang yang benar-benar ikhlas, faham erti perjuangan dan tidak mempunyai agenda peribadi. Gombak masih mempunyai ramai masyarakat India yang menyokong KeAdilan.

REFORMASI.

Shaharudin Hj Abu Bakar
Naib Ketua Bahagian Gombak

Wednesday, June 13, 2007

Pelancaran Jentera Pilihanraya BA Gombak


Pelancaran jentera pilihanraya BA Gombak

Tarikh : 16hb JUn 2007

Masa : 9 pm

Tempat : MTD PAS Taman Gombak ( Berhampiran Melewar)

Tetamu terhormat : Tan Sri Khalid Ibrahim, Dato' Dr Hassan Ali, Azmin Ali, Dr Hatta

Semua ahli dan penyokong dijemput hadir.

Tuesday, June 12, 2007

Lagi Rockers berjuang atas tiket KeAdilan, syabas Mel


BEKAS penyanyi utama kumpulan Wings Ismail Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Mel kini menjadi pendakwah. Menurut Mel, beliau bersyukur kerana mendapat hidayah lebih cepat dan ketika usia masih lagi dalam lingkungan 30-an. Yang penting sekarang dia mahu berbakti kepada masyarakat pula, itu cita-cita utamanya. Dan lebih penting lagi, beliau kini berceramah di atas pentas parti Anwar Ibrahim, Keadilan.

Menurut maklumat yang diterima klpos.com, Mel akan berceramah DI DEWAN YAYASAN AMAN PENANTI, PERMATANG PAUH pada Sabtu 23 Jun ini jam 9.00 malam.

Program tersebut anjuran Biro Penerangan Keadilan Pematang Pauh.

Mel diingati selepas mengantikan penyanyi utama Wings Awie yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka.

2 tahun kemudian barulah pengganti Awie ditemui. Mel, penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings dan album Orang Asing dihasilkan.

Walaubagaimana pun jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus, bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings.

Antara lagu popular beliau adalah, Biru mata hitamku, semalam yang hantar dan lena diulit intan.

Mungkinkah Mel akan mengikuti jejak langkah Ustaz Akil Hai, yang kini merupakan penceramah PAS. Sama-sama kita saksikan.

Temubual dengan Mel di ambil dari laman webnya http://mel.com.my.

Apa yang mendorong perubahan Mel?

Saya masuk Wings bukan sebab saya minat rock. Bapa saya imam masjid, emak saya ajar orang mengaji al-Quran. Saya pun bilal masa itu. Tetapi sebab Joe (Wings) ajak sangat saya masuk untuk ganti Awie tahun 1995, saya masuklah. Tiba-tiba nama saya besar juga. Lagu Lena Diulit Intan yang julang nama saya. Tiba-tiba populariti datang. Tetapi saya tanya diri saya sampai bila hendak macam itu? Lebih setahun, saya ambil jalan keluar sebab antara kami (anggota Wings) banyak perbezaan. Banyak benda yang tak boleh ngam. Jadi sebab saya masih hendak berkawan lagi dengan mereka sebagai sahabat, saya ambil keputusan tarik diri. Terus terang saya cakap, setiap artis ada ego sendiri. Begitu juga saya.

Mel nampaknya macam menyesal pernah terlibat dengan Wings?

Susah hendak cakaplah. Hiburan ni sebenarnya banyak sangat melalaikan. Teruk! Tapi kita tak pernah hendak sedar. Bukan hendak puji penyanyi-penyanyi luar. Artis macam Gun 'n' Roses misalnya, masa nyanyi ke, buat apa ke, mereka pakai salib besar-besar. Itu perjuangan untuk agama dia. Agama dibentangkan dalam hiburan. Tapi kita, apa kita buat? Dengan hiburan kita lalaikan orang lagi adalah. Banyak penyanyi sekarang fikir duit, suka glamor saja. Tak ada perjuangan.

Benarkah Mel pernah terlibat dengan kumpulan Al-Arqam?

Dululah. Sebenarnya banyak orang keliru dengan saya ni. Kita ambil mudah, kalau saya penyanyi, kenapa mesti saya takut untuk berkawan dengan tuk haji, dengan orang pakai kopiah? Macam inilah, kita janganlah banyak sangat suluh diri orang. Lebih baik suluh diri kita sendiri sebab kita pun tak lengkap juga.

Jadi betul kisah dulu tu?

Saya berkawan dengan ramai orang. Dulu dengan Wings saya fikir glamor ego saja. Selagi kita ada ego, kita tak akan ke mana. Kita makin sesat. Untuk buang tu perlukan masa sikit demi sikit. Itu sebab saya berkawan. Ramai. Album ketuhanan (tahun 1996 dan 1997 pernah keluar dua album solo) mempertemukan saya dengan ramai orang. Orang tabligh, orang ABIM , orang Al-Arqam, macam-macam. Apa salahnya? Itu sebab orang keliru dengan saya. Kira dulu tu saya masih tengah mencari. Apa yang baik kita ikut. Tak baik buang saja. Saya sebagai artis nak sombong dengan orang, tak bolehlah macam itu. Saya menimba ilmu, tak kira ke mana. Dulu mungkin saya pakai serban orang cakap macam itu.

Banjir : Jangan kutip duit Tol Smart, pecat Samy - KeADILan

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Semalam (10 Jun 2007) sekali lagi Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dalam tempoh dua minggu. Banjir kali ini lebih besar dan dikatakan antara yang terburuk pernah melanda ibu negara.

Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di beberapa jalan utama dan mangsa-mangsa yang terperangkap terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang.

Lebih dahsyat, air banjir turut memasuki sehingga ke ruang sembahyang di Masjid Jamek, Jalan Raja. Masjid itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Ibu kota juga dilaporkan mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan.

Hujan turun lebat di sekitar ibu negara hanya kira kira 3 jam dari sebelum jam 6.00 petang sehingga 8.00 malam tetapi kesannya amat teruk.

Ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi dan ia diakui oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato" Wira Abu Seman Yusop sendiri berdasarkan laporan Berita Harian.

"Hujan yang terlalu lebat menyebabkan sungai dan sistem perparitan di kebanyakan kawasan di bandar raya tidak dapat menampung aliran air berlebihan," katanya ketika meninjau keadaan banjir di Dataran Merdeka dan Kampung Baru bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Ab Hakim Borhan sejurus selepas kejadian malam tadi.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa sehingga pagi ini (8.00 pagi, 11 Jun 2007) masih belum dapat dianggarkan kerugian dan kecederaan yang diakibatkan oleh banjir tersebut, tetapi menyakini jumlahnya melibatkan angka yang agak besar.

KeADILan kesal RM2 bilion wang rakyat dibazirkan

Parti keADILan Rakyat dengan ini melahirkan kekesalan dengan kegagalan pengurusan sistem pengurusan peparitan dan sisa kumbahan di ibu negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT), Badrul Hisham Shaharin.

Kekesalan dan kekecewaan ini bertambah selepas negara baru saja membazirkan RM2 bilion wang rakyat untuk projek SMART yang kononnya dengan wujudnya projek itu masalah banjir kilat di Kuala Lumpur akan diselesaikan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini semasa mengulas mengenai isu banjir kilat dan lumpur yang melanda Kuala Lumpur akibat hujan lebat semalam.

Dalam perkembangan berbeza tanpa rasa bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut Menteri Kerja Raya, Dato" Seri S.Samy Vellu mengumumkan bahawa semua pengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara akan dikenakan bayaran tol mulai Jumaat ini dan kemungkinan kadarnya akan diumumkan hari ini.

Jangan kutip duit tol

Berikutan kenyataan itu dan situasi banjir yang melanda ibu kota, KeADILan dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak mengutip sebarang kutipan tol di atas terowong yang gagal (sistem SMART) atau belum siap dan membazirkan bukan sedikit wang rakyat, katanya.

Malah KeADILan melihat sistem yang gagal itu telah mengganggu sistem pengaliran sehingga mengakibatkan kerugian dan penderitaan terhadap rakyat di ibu negara, kata Badrul Hisham.

Peniaga-peniaga kecil di sekitar ibu negara yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos hidup dan kini pula sedang mengalami kesussahan hidup menanggung kerugian akibat banjir tersebut, ujarnya.

Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh Angkatan Muda KeADILan (AMK), pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM7.00 satu perjalanan, katanya.

KeADILan menuntut untuk semua pihak terbabit khususnya Menteri Kerja Raya untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan dan pembaziran serta kesusahan rakyat itu, katanya.

PM perlu pecat Samy

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang serius perkara ini dan beliau yang selama ini dilihat lemah perlu bertindak serius dan memecat Menteri Kerja Raya yang mengakibatkan pembaziran dan penderitaan rakyat, tegasnya.

"Jika ini tidak berlaku rakyat seharusnya 'membuka mata' dan sedar bahawa kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional ini sememangnya tidak mempedulikan permasalahan rakyat.

"Ini kemungkinan BN sudah terlalu lama menikmati 'puncak kuasa mutlak'. Maka sudah sampai masanya rakyat harus berfikir serius pula untuk menukar parti pemerintah,"

BPR perlu telus dan profesional kendali kes Johari Baharum - Mustafa Kamil Ayub

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa bersikap profesional dan telus dalam mengendali siasatan kes dakwaan sogokan RM5 juta membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharum yang dikatakan membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Mustaffa Kamil Ayub berkata, BPR sendiri perlu memperlihatkan wibawanya setelah sebelum ini badan itu terpalit dengan dakwaan penyelewengan dan penutupan kes individu tertentu ketika bekas Ketua Pengarahnya, Dato' Seri Zulkifli Mat Nor menerajui BPR.

Beliau menyatakan, BPR tidak boleh bersikap pilih kasih terhadap pihak tertentu terutamanya orang politik semata-mata kerana tekanan dari pihak terbabit dalam membawa kes-kes yang disiasat kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes Johari, beliau melihat bahawa cabaran yang dikemukakan Timbalan Menteri itu tidak berasas kerana sebagai seorang anggota peringkat tinggi kerajaan, Johari seharusnya tahu prosedur yang perlu dilalui BPR dalam mengendalikan siasatan kes.

"Tidak timbul soal cabar BPR mengemukakan kertas siasatan, sebaliknya apa yang penting BPR itu sendiri perlu dibebaskan dari cengkaman Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya fungsinya lebih dipercayai.Justeru BPR perlu diletak di bawah Parlimen,"katanya.

Justeru baginya bermula saat ini, BPR perlu memulihkan imej mereka supaya menjadi satu badan yang lebih telus, wibawa dan berani tanpa mengikut telunjuk orang tertentu yang menggunakan kuasa demi kepentingan mereka.

Sementara itu semalam, BPR meminta Johari bersabar menunggu keputusan hasil siasatan agensi itu berhubung dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Abu Kassim Mohamed dalam satu laporan akhbar harian berkata, proses siasatan ke atas Johari yang bermula Mac lalu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

‘‘Biarlah undang-undang yang menentukannya. Tidak usahlah kita bergaduh pasal soal ini. Bila sampai masanya, undang-undang akan tentukan.

‘‘Kami juga menitikberatkan hasrat beliau (Johari) untuk mengetahui keputusan hasil siasatan tersebut,’’ katanya dalam laporan itu.

Abu Kassim mengulas kenyataan Johari semalam yang berharap agensi itu mengumumkan hasil siasatan terhadapnya.

Sementara pada 21 April lalu, Johari juga meminta BPR menyelesaikan segera kesnya dan menuntut agensi tersebut tidak melengah-lengahkan kes berkenaan supaya namanya boleh dibersihkan segera.

Menurut Johari, meskipun kes itu tidak mengganggu tugas sehariannya, namun ia menjejaskan kelancaran kehidupan peribadi beliau yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai khabar angin yang tidak elok.

Mengulas mengenai keresahan Johari itu, Abu Kassim berkata: ‘‘Sekarang ini kami tidak mahu komen apa-apa. Tak usahlah kita persoalkan di mana kertas siasatan itu berada sekarang. Biarlah proses berjalan seperti biasa.’’

Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan kononnya beliau menerima sogokan tetapi mengaku telah membebaskan beberapa tahanan di bawah Ordinan Darurat selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas selain menerima pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Haprak punya PM, tak tau bila SMART boleh beroperasi


Oleh mazwandi

"Malam semalam, saya telah menonton filem Buletin Utama TV3 yang bermula jam 8 malam. Seperti luar biasa, filem Buletin Utama TV3 itu telah cuba untuk menayangkan filem sensasi bertajuk, KL banjir lagi dimana sehingga tahap teruknya banjir di KL ini menyebabkan hero utama filem ini mesti turun ke padang permainan.

Skrip yang menjadi hero pada sesi filem ini adalah Perdana Menteri (PM) Malaysia, iaitu Dato Seri Abdullah Ahmad sendiri, dimana beliau perlu hadir ke kawasan kem utama yang mentadbir Kuala Lumpur, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Maka filem Buletin Utama TV3 ini pun dipertontonkanlah kepada rakyat Malaysia yang menontonnya dengan kadar percuma, kecualilah jika rakyat Malaysia itu menonton melalui ASTRO. Dengan gaya dan dipergayakan kepada penonton seperti PM Malaysia adalah seorang yang amat prihatin dan dalam keadaan marah yang boleh dikawal, maka pihak pembikin filem Buletin Utama TV3 seperti telah berjaya membawakan watak hero PM kita seperti orang yang selayaknya memimpin negara Malaysia yang kecil ini.

Maka ditunjukkan juga, ahli-ahli yang dipertanggung jawab kepada negeri Kuala Lumpur dan DBKL seperti terketar-ketar dan takut-takut tahi ayam semacam telah melakukan kesalahan yang amat besar kepada umat yang menduduki Kuala Lumpur akibat banjir yang ajaib itu.

Setelah diperturun dan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia tentang kehebatan hero PM Malaysia, maka terkeluar pula skrip dimana PM kita bertanya bilakah projek SMART akan beroperasi dengan lagaknya. Maka dijawab dengan profesional tukang jawab yang tidak dilihatkan mukanya dengan jawapan bulan depan (atau Ogos) dan itu memang adalah mengikut jadualnya. Maka dengan tidak semena-mena, hero PM Malaysia mendesak agar projek itu disegerakan.

Maka dengan tidak semena-mena, saya pun senyum sinis sehingga ke tahap hendak mengeluarkan gelak yang amat besar kepada skrip filem Buletin Utama TV3 yang pada mulanya hendak membuat filem mengampu, tiba-tiba menjadi filem skrip komedi. Masakan tidak, PM Malaysia yang sepatutnya mentadbir Malaysia, yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat Malaysia untuk memerintah Malaysia, tidak tahu setarang baghoh bilakah projek mega negara Malaysia SMART hendak mula beroperasi.

PM Malaysia tidak tahu menahu apakah projek yang sedang dibuat oleh pihak pentadbir Kuala Lumpur DBKL untuk mengatasi banjir, PM Malaysia tidak tahu bilakah projek mega SMART hendak siap dan mula beroperasi, PM Malaysia hanya sekadar kata cepatkan siap projek yang mengikut jadual dimana siapnya bulan depan.

Tidakkah rakyat Malaysia perlu membuat sesuatu agar PM Malaysia ini dipecat awalkan. PM Malaysia yang tidak melakukan kerja memang sepatutnya dipecat awalkan. Pemimpin yang kurang cerdik perlu dipecat awalkan kerana jika dikekalkan pemimpin seperti ini, maka rakyat Johor yang tidak bersalah kepada UMNO akan hilang tanah diberi kepada pihak musuh yang kekal abadi Singapura. Perlu diberi perhatian, bukan rakyat Malaysia yang memilih beliau menjadi perdana menteri Malaysia, tetapi beliau menjadi PM atas tiket beliau menjadi Presiden UMNO.

Maka dengan itu, perlulah diingat bahawa, angan-angan untuk menjadi PM kepada seluruh rakyat Malaysia perlulah dihapuskan, sepatutnya setiap individu rakyat Malaysia perlu ada rasa takut untuk menjadi PM, bukannya berebut-rebut, kerana jawatan PM adalah tanggungjawab, bukan tangga untuk menjadi kaya cepat. Fikir-fikirkanlah,.......

"

Takziah

Warga KeAdilan Gombak dan seluruh warga KeAdilan mengucapkan takziah kepada Sdr Zainol Abidin Mohamad, Timbalan Ketua AMK Gombak diatas pemergian ayahanda tercinta Almarhum Tuan Hj Shukor pada jam 1 pagi, 12hb Jun 2007. Semoga roh almarhum ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Antara pimpinan KeAdilan dan PAS yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Sdr Azmin Ali, Dr Hatta Ramli, Sdr Shamsul Idskandar Mohd Akin, Sdr Saari Sungip dan pimpinan bahagian KeAdilan dan PAS.

Semasa hayatnya almarhum sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan islam dan KeAdilan dengan menjadikan perkarangan rumahnya sebagai tempat ceramah sejak dari zaman reformasi lagi hinggalah ke akhir hayat beliau. Seluruh warga KeAdilan dan PAS Gombak amat terasa diatas pemergian beliau.

Sekali lagi takziah diucapkan.