Oleh Khalid Ibrahim
Menemui Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan segala doa agar sentiasa di bawah lembayung naungan, rahmat dan perlindungan Allah. Semoga terus dapat bersama memimpin umat ke arah mardhatillah.
Tuan Guru,
Warkah yang Tuan Guru nukilkan tempoh hari benar-benar menyentuh akal dan sanubari saya. Tazkirah yang diberikan, insya-Allah akan menjadi azimat, bekalan buat saya menempuhi jalan-jalan sukar penuh halangan demi menegakkan keadilan di muka bumi Malaysia ini.
Saya bertawakkal dan berserah diri pada hari saya terjun ke lapangan perjuangan rakyat melalui wadah Parti Keadilan Rakyat. Tidak pernah saya mengimpikan jalan yang mudah dan segera untuk mencapai kemenangan rakyat. Kerana itu saya berserah diri kepada Allah dalam menentukan masa depan saya di dalam perjuangan ini; sebagaimana yang diajarkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad salallahualaihiwassalam di dalam Al-Quran.
"..Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah Rabb yang mempunyai Arasy yang besar." - At-Taubah: 129.
Benar, pengalaman di Ijok adalah perit. Namun saya insaf, sebagai hamba Allah, tugas kita hanya merancang dan berusaha. Sungguh, kita mahu mencapai kemenangan. Kerana kita yakin dengan kemenangan itu, insyaALlah kita akan dapat memberi sumbangan kepada mencegah kemungkaran dan kezaliman yang berleluasa. Tetapi saya sedar bahawa kemenangan itu ditangguhkan Allah kerana ada hikmahnya.
Saya hanya mampu berdoa agar terus diberikan kekuatan dan keteguhan hati untuk terus memikul amanah perjuangan. Perjuangan ini harus diteruskan meski mengambil masa bertahun-tahun atau puluhan atau ratusan tahun sekalipun. Kita pada hari ini adalah pejuang-pejuang seperti Tuan Guru yang sekadar merupakan mata rantai yang menyambung beban perjuangan yang panjang daripada para Rasul, Anbiya', Tabiin, Mujahid dan para pejuang terdahulu untuk menyampaikannya kepada generasi mendatang.
Saya pohon doa Tuan Guru agar saya sentiasa beriltizam dan memegang erat janji perjuangan ini. Segala kerja buat Tuan Guru selama ini adalah contoh ikutan kepada saya yang baru dalam menghadapi tentangan dan tekanan UMNO-Barisan Nasional.
Segala fitnah, tohmahan, putar belit media yang saya, ahli keluarga dan seluruh pemimpin-pemimpin Barisan Rakyat hadapi bukanlah sesuatu yang tidak diduga. Mereka terdesak, justeru mereka sanggup lakukan apa sahaja. Caci maki, tipu helah dan fitnah adalah mainan mereka semata-mata.
Menelah sirah anbiya', saya sedar secara perbandingan betapa ringan cubaan yang ditimpakan ke atas saya itu. Para Nabi, khususnya Junjungan Besar kita Muhammad sallahualaihiwassalam, bukan sekadar menghadapi serangan lisan dan cuba dipukul malah berhadapan dengan ancaman terhadap nyawa mereka sendiri.
Kerana saya ini seorang hamba yang kerdil, kerana saya ini seorang insan yang sudah tentu tidak hampir sekalipun dengan kehebatan para Nabi, maka saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi atas cubaan dan cabaran ringan yang saya hadapi itu.
Tuan Guru,
UMNO dan BN, khususnya di Selangor, tidak mahu sesiapa juga yang mempunyai kemampuan, tambahan pula di dalam bidang kewangan dan ekonomi, mendapat tempat di Dewan Undangan Negeri. Mereka bimbang kalau-kalau wakil rakyat yang cekap dan berkemampuan akan menonjolkan lagi kelemahan mereka. Mereka hidup di bawah bayang-bayang kejahatan diri mereka yang menyalahgunakan kekayaan rakyat untuk kepentingan peribadi. Kerana itu mereka risau segala-galanya didedahkan.
Pada mereka biar Dewan Undangan Negeri, biar Dewan Rakyat dan Dewan Negara dipenuhi oleh ahli-ahli yang korup seperti mereka juga atau sekurang-kurangnya tukang angguk dan pak turut yang akan mengatakan "Ya!" kepada segala kemahuan mereka.
Kerana itu saya yakin kita perlu terus berjuang. Ulama besar, Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Harakah Islamiyyah Satu Tuntutan telah menyatakan bahawa hanya dua cara untuk iman memerintah negara. Pertama, masuknya iman ke dalam hati pemerintah; kedua berpindahnya kekuasaan ke tangan orang-orang beriman.
Seperti yang pernah dikatakan oleh Tuan Guru, sekiranya orang-orang UMNO itu bersedia untuk berubah, bersedia menegakkan Islam maka tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka.
Namun Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sendiri mengakui bahawa untuk berubahnya pemimpin yang korup dan zalim menjadi beriman adalah sesuatu yang sukar, meski tidak mustahil. Kerana itu kita perlu terus berjuang bagi memastikan negara ini bebas daripada penjajahan minda mereka.
Kita tidak membenci diri mereka; yang kita tentang ialah sikap zalim mereka. Itu yang menyebabkan kita tidak boleh redha atau berdiam diri dengan perbuatan mereka.
"Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim; maka (jika kamu berlaku demikian) api Neraka akan membakar kamu; sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan." - Hud: 113
Maka saya katakan, meski mereka menyerang saya sehingga membuat penipuan dan fitnah terhadap hal-hal peribadi saya, menafikan sejarah dan sumbangan saya kepada rakyat dan negara ini; apabila sahaja mereka bersedia mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan kepentingan rakyat, apabila mereka menghentikan sikap berleluasa mereka dan memegang kepada nilai, menghentikan kezaliman dan menegakkan keadilan; maka saya kira pada saat itu perjuangan kita tidak lagi perlu.
Tetapi selagi mereka bertegas menzalimi rakyat, mengamalkan rasuah maka saya sedar adalah menjadi kewajipan kepada semua kita untuk terus-terusan berjuang dan berkorban demi memastikan negara Malaysia ini dan seluruh negeri-negerinya diperintah berasaskan nilai dan bukannya kepentingan peribadi dan nafsu.
Tuan Guru,
Saya doakan agar negeri Kelantan di bawah kepemimpinan Tuan Guru terus makmur dan aman sentosa, dilimpahkan rahmat dan nikmat. Saya doakan juga agar PAS akan terus bersama-sama mantap dan kukuh di dalam menghadapi cabaran, tekanan dan sekatan.
Saya pohon daripada Tuan Guru doa restu agar bersama-sama kita akan dapat mengatasi segala cabaran di dalam perjuangan ini. Dengan kerjasama erat di antara kedua-dua parti kita – keADILan dan PAS bersama parti-parti lain, gerakan masyarakat dan setiap rakyat yang cintakan keadilan dan membenci kezaliman, InsyaALlah kita akan mencapai kemenangan sebagaimana Rasulullah dan Islam pernah mencapai kemenangan.
"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." - An-Nasr: 1-3.
Meski kita pada hari ini dilihat lemah kerana UMNO dan BN itu menguasai dan memperalatkan segala jentera, kekuatan dan kakitangan kerajaan untuk kepentingan mereka, isyarat-isyarat kemenangan sudah jelas kelihatan. Ijok misalnya membuktikan betapa kerjasama erat di antara semua parti-parti yang menentang hegemoni BN diterima baik oleh rakyat.
Justeru kita perlu perkukuhkan kerjasama dan mantapkan persefahaman dengan mengenepikan kepentingan-kepentingan sendiri dan mengutamakan kepentingan bersama. InsyaALlah dengan itu, meski kita sedikit berhadapan dengan segala jentera kerajaan, polis, tentera dan semuanya; kita mampu mencapai kemenangan.
"..Berkata pula orang-orang (daripada kalangan tentera Talut) yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar." - Al-Baqarah: 249
Biarlah kita menjadi sebahagian daripada orang-orang yang yakin ini dan membuat persiapan segala terdaya kita bagi menghadapi UMNO dan BN khususnya di dalam Pilihanraya Umum Kedua Belas yang akan datang sebagai satu pasukan.
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Rakyat.