Tuesday, June 12, 2007

Lagi Rockers berjuang atas tiket KeAdilan, syabas Mel


BEKAS penyanyi utama kumpulan Wings Ismail Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Mel kini menjadi pendakwah. Menurut Mel, beliau bersyukur kerana mendapat hidayah lebih cepat dan ketika usia masih lagi dalam lingkungan 30-an. Yang penting sekarang dia mahu berbakti kepada masyarakat pula, itu cita-cita utamanya. Dan lebih penting lagi, beliau kini berceramah di atas pentas parti Anwar Ibrahim, Keadilan.

Menurut maklumat yang diterima klpos.com, Mel akan berceramah DI DEWAN YAYASAN AMAN PENANTI, PERMATANG PAUH pada Sabtu 23 Jun ini jam 9.00 malam.

Program tersebut anjuran Biro Penerangan Keadilan Pematang Pauh.

Mel diingati selepas mengantikan penyanyi utama Wings Awie yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka.

2 tahun kemudian barulah pengganti Awie ditemui. Mel, penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings dan album Orang Asing dihasilkan.

Walaubagaimana pun jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus, bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings.

Antara lagu popular beliau adalah, Biru mata hitamku, semalam yang hantar dan lena diulit intan.

Mungkinkah Mel akan mengikuti jejak langkah Ustaz Akil Hai, yang kini merupakan penceramah PAS. Sama-sama kita saksikan.

Temubual dengan Mel di ambil dari laman webnya http://mel.com.my.

Apa yang mendorong perubahan Mel?

Saya masuk Wings bukan sebab saya minat rock. Bapa saya imam masjid, emak saya ajar orang mengaji al-Quran. Saya pun bilal masa itu. Tetapi sebab Joe (Wings) ajak sangat saya masuk untuk ganti Awie tahun 1995, saya masuklah. Tiba-tiba nama saya besar juga. Lagu Lena Diulit Intan yang julang nama saya. Tiba-tiba populariti datang. Tetapi saya tanya diri saya sampai bila hendak macam itu? Lebih setahun, saya ambil jalan keluar sebab antara kami (anggota Wings) banyak perbezaan. Banyak benda yang tak boleh ngam. Jadi sebab saya masih hendak berkawan lagi dengan mereka sebagai sahabat, saya ambil keputusan tarik diri. Terus terang saya cakap, setiap artis ada ego sendiri. Begitu juga saya.

Mel nampaknya macam menyesal pernah terlibat dengan Wings?

Susah hendak cakaplah. Hiburan ni sebenarnya banyak sangat melalaikan. Teruk! Tapi kita tak pernah hendak sedar. Bukan hendak puji penyanyi-penyanyi luar. Artis macam Gun 'n' Roses misalnya, masa nyanyi ke, buat apa ke, mereka pakai salib besar-besar. Itu perjuangan untuk agama dia. Agama dibentangkan dalam hiburan. Tapi kita, apa kita buat? Dengan hiburan kita lalaikan orang lagi adalah. Banyak penyanyi sekarang fikir duit, suka glamor saja. Tak ada perjuangan.

Benarkah Mel pernah terlibat dengan kumpulan Al-Arqam?

Dululah. Sebenarnya banyak orang keliru dengan saya ni. Kita ambil mudah, kalau saya penyanyi, kenapa mesti saya takut untuk berkawan dengan tuk haji, dengan orang pakai kopiah? Macam inilah, kita janganlah banyak sangat suluh diri orang. Lebih baik suluh diri kita sendiri sebab kita pun tak lengkap juga.

Jadi betul kisah dulu tu?

Saya berkawan dengan ramai orang. Dulu dengan Wings saya fikir glamor ego saja. Selagi kita ada ego, kita tak akan ke mana. Kita makin sesat. Untuk buang tu perlukan masa sikit demi sikit. Itu sebab saya berkawan. Ramai. Album ketuhanan (tahun 1996 dan 1997 pernah keluar dua album solo) mempertemukan saya dengan ramai orang. Orang tabligh, orang ABIM , orang Al-Arqam, macam-macam. Apa salahnya? Itu sebab orang keliru dengan saya. Kira dulu tu saya masih tengah mencari. Apa yang baik kita ikut. Tak baik buang saja. Saya sebagai artis nak sombong dengan orang, tak bolehlah macam itu. Saya menimba ilmu, tak kira ke mana. Dulu mungkin saya pakai serban orang cakap macam itu.

Banjir : Jangan kutip duit Tol Smart, pecat Samy - KeADILan

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Semalam (10 Jun 2007) sekali lagi Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dalam tempoh dua minggu. Banjir kali ini lebih besar dan dikatakan antara yang terburuk pernah melanda ibu negara.

Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di beberapa jalan utama dan mangsa-mangsa yang terperangkap terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang.

Lebih dahsyat, air banjir turut memasuki sehingga ke ruang sembahyang di Masjid Jamek, Jalan Raja. Masjid itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Ibu kota juga dilaporkan mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan.

Hujan turun lebat di sekitar ibu negara hanya kira kira 3 jam dari sebelum jam 6.00 petang sehingga 8.00 malam tetapi kesannya amat teruk.

Ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi dan ia diakui oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato" Wira Abu Seman Yusop sendiri berdasarkan laporan Berita Harian.

"Hujan yang terlalu lebat menyebabkan sungai dan sistem perparitan di kebanyakan kawasan di bandar raya tidak dapat menampung aliran air berlebihan," katanya ketika meninjau keadaan banjir di Dataran Merdeka dan Kampung Baru bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Ab Hakim Borhan sejurus selepas kejadian malam tadi.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa sehingga pagi ini (8.00 pagi, 11 Jun 2007) masih belum dapat dianggarkan kerugian dan kecederaan yang diakibatkan oleh banjir tersebut, tetapi menyakini jumlahnya melibatkan angka yang agak besar.

KeADILan kesal RM2 bilion wang rakyat dibazirkan

Parti keADILan Rakyat dengan ini melahirkan kekesalan dengan kegagalan pengurusan sistem pengurusan peparitan dan sisa kumbahan di ibu negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT), Badrul Hisham Shaharin.

Kekesalan dan kekecewaan ini bertambah selepas negara baru saja membazirkan RM2 bilion wang rakyat untuk projek SMART yang kononnya dengan wujudnya projek itu masalah banjir kilat di Kuala Lumpur akan diselesaikan, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini semasa mengulas mengenai isu banjir kilat dan lumpur yang melanda Kuala Lumpur akibat hujan lebat semalam.

Dalam perkembangan berbeza tanpa rasa bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut Menteri Kerja Raya, Dato" Seri S.Samy Vellu mengumumkan bahawa semua pengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara akan dikenakan bayaran tol mulai Jumaat ini dan kemungkinan kadarnya akan diumumkan hari ini.

Jangan kutip duit tol

Berikutan kenyataan itu dan situasi banjir yang melanda ibu kota, KeADILan dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak mengutip sebarang kutipan tol di atas terowong yang gagal (sistem SMART) atau belum siap dan membazirkan bukan sedikit wang rakyat, katanya.

Malah KeADILan melihat sistem yang gagal itu telah mengganggu sistem pengaliran sehingga mengakibatkan kerugian dan penderitaan terhadap rakyat di ibu negara, kata Badrul Hisham.

Peniaga-peniaga kecil di sekitar ibu negara yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos hidup dan kini pula sedang mengalami kesussahan hidup menanggung kerugian akibat banjir tersebut, ujarnya.

Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh Angkatan Muda KeADILan (AMK), pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM7.00 satu perjalanan, katanya.

KeADILan menuntut untuk semua pihak terbabit khususnya Menteri Kerja Raya untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan dan pembaziran serta kesusahan rakyat itu, katanya.

PM perlu pecat Samy

Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang serius perkara ini dan beliau yang selama ini dilihat lemah perlu bertindak serius dan memecat Menteri Kerja Raya yang mengakibatkan pembaziran dan penderitaan rakyat, tegasnya.

"Jika ini tidak berlaku rakyat seharusnya 'membuka mata' dan sedar bahawa kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional ini sememangnya tidak mempedulikan permasalahan rakyat.

"Ini kemungkinan BN sudah terlalu lama menikmati 'puncak kuasa mutlak'. Maka sudah sampai masanya rakyat harus berfikir serius pula untuk menukar parti pemerintah,"

BPR perlu telus dan profesional kendali kes Johari Baharum - Mustafa Kamil Ayub

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa bersikap profesional dan telus dalam mengendali siasatan kes dakwaan sogokan RM5 juta membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharum yang dikatakan membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Mustaffa Kamil Ayub berkata, BPR sendiri perlu memperlihatkan wibawanya setelah sebelum ini badan itu terpalit dengan dakwaan penyelewengan dan penutupan kes individu tertentu ketika bekas Ketua Pengarahnya, Dato' Seri Zulkifli Mat Nor menerajui BPR.

Beliau menyatakan, BPR tidak boleh bersikap pilih kasih terhadap pihak tertentu terutamanya orang politik semata-mata kerana tekanan dari pihak terbabit dalam membawa kes-kes yang disiasat kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes Johari, beliau melihat bahawa cabaran yang dikemukakan Timbalan Menteri itu tidak berasas kerana sebagai seorang anggota peringkat tinggi kerajaan, Johari seharusnya tahu prosedur yang perlu dilalui BPR dalam mengendalikan siasatan kes.

"Tidak timbul soal cabar BPR mengemukakan kertas siasatan, sebaliknya apa yang penting BPR itu sendiri perlu dibebaskan dari cengkaman Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya fungsinya lebih dipercayai.Justeru BPR perlu diletak di bawah Parlimen,"katanya.

Justeru baginya bermula saat ini, BPR perlu memulihkan imej mereka supaya menjadi satu badan yang lebih telus, wibawa dan berani tanpa mengikut telunjuk orang tertentu yang menggunakan kuasa demi kepentingan mereka.

Sementara itu semalam, BPR meminta Johari bersabar menunggu keputusan hasil siasatan agensi itu berhubung dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Abu Kassim Mohamed dalam satu laporan akhbar harian berkata, proses siasatan ke atas Johari yang bermula Mac lalu dilakukan secara berperingkat-peringkat.

‘‘Biarlah undang-undang yang menentukannya. Tidak usahlah kita bergaduh pasal soal ini. Bila sampai masanya, undang-undang akan tentukan.

‘‘Kami juga menitikberatkan hasrat beliau (Johari) untuk mengetahui keputusan hasil siasatan tersebut,’’ katanya dalam laporan itu.

Abu Kassim mengulas kenyataan Johari semalam yang berharap agensi itu mengumumkan hasil siasatan terhadapnya.

Sementara pada 21 April lalu, Johari juga meminta BPR menyelesaikan segera kesnya dan menuntut agensi tersebut tidak melengah-lengahkan kes berkenaan supaya namanya boleh dibersihkan segera.

Menurut Johari, meskipun kes itu tidak mengganggu tugas sehariannya, namun ia menjejaskan kelancaran kehidupan peribadi beliau yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai khabar angin yang tidak elok.

Mengulas mengenai keresahan Johari itu, Abu Kassim berkata: ‘‘Sekarang ini kami tidak mahu komen apa-apa. Tak usahlah kita persoalkan di mana kertas siasatan itu berada sekarang. Biarlah proses berjalan seperti biasa.’’

Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan kononnya beliau menerima sogokan tetapi mengaku telah membebaskan beberapa tahanan di bawah Ordinan Darurat selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas selain menerima pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Haprak punya PM, tak tau bila SMART boleh beroperasi


Oleh mazwandi

"Malam semalam, saya telah menonton filem Buletin Utama TV3 yang bermula jam 8 malam. Seperti luar biasa, filem Buletin Utama TV3 itu telah cuba untuk menayangkan filem sensasi bertajuk, KL banjir lagi dimana sehingga tahap teruknya banjir di KL ini menyebabkan hero utama filem ini mesti turun ke padang permainan.

Skrip yang menjadi hero pada sesi filem ini adalah Perdana Menteri (PM) Malaysia, iaitu Dato Seri Abdullah Ahmad sendiri, dimana beliau perlu hadir ke kawasan kem utama yang mentadbir Kuala Lumpur, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Maka filem Buletin Utama TV3 ini pun dipertontonkanlah kepada rakyat Malaysia yang menontonnya dengan kadar percuma, kecualilah jika rakyat Malaysia itu menonton melalui ASTRO. Dengan gaya dan dipergayakan kepada penonton seperti PM Malaysia adalah seorang yang amat prihatin dan dalam keadaan marah yang boleh dikawal, maka pihak pembikin filem Buletin Utama TV3 seperti telah berjaya membawakan watak hero PM kita seperti orang yang selayaknya memimpin negara Malaysia yang kecil ini.

Maka ditunjukkan juga, ahli-ahli yang dipertanggung jawab kepada negeri Kuala Lumpur dan DBKL seperti terketar-ketar dan takut-takut tahi ayam semacam telah melakukan kesalahan yang amat besar kepada umat yang menduduki Kuala Lumpur akibat banjir yang ajaib itu.

Setelah diperturun dan dipertontonkan kepada rakyat Malaysia tentang kehebatan hero PM Malaysia, maka terkeluar pula skrip dimana PM kita bertanya bilakah projek SMART akan beroperasi dengan lagaknya. Maka dijawab dengan profesional tukang jawab yang tidak dilihatkan mukanya dengan jawapan bulan depan (atau Ogos) dan itu memang adalah mengikut jadualnya. Maka dengan tidak semena-mena, hero PM Malaysia mendesak agar projek itu disegerakan.

Maka dengan tidak semena-mena, saya pun senyum sinis sehingga ke tahap hendak mengeluarkan gelak yang amat besar kepada skrip filem Buletin Utama TV3 yang pada mulanya hendak membuat filem mengampu, tiba-tiba menjadi filem skrip komedi. Masakan tidak, PM Malaysia yang sepatutnya mentadbir Malaysia, yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat Malaysia untuk memerintah Malaysia, tidak tahu setarang baghoh bilakah projek mega negara Malaysia SMART hendak mula beroperasi.

PM Malaysia tidak tahu menahu apakah projek yang sedang dibuat oleh pihak pentadbir Kuala Lumpur DBKL untuk mengatasi banjir, PM Malaysia tidak tahu bilakah projek mega SMART hendak siap dan mula beroperasi, PM Malaysia hanya sekadar kata cepatkan siap projek yang mengikut jadual dimana siapnya bulan depan.

Tidakkah rakyat Malaysia perlu membuat sesuatu agar PM Malaysia ini dipecat awalkan. PM Malaysia yang tidak melakukan kerja memang sepatutnya dipecat awalkan. Pemimpin yang kurang cerdik perlu dipecat awalkan kerana jika dikekalkan pemimpin seperti ini, maka rakyat Johor yang tidak bersalah kepada UMNO akan hilang tanah diberi kepada pihak musuh yang kekal abadi Singapura. Perlu diberi perhatian, bukan rakyat Malaysia yang memilih beliau menjadi perdana menteri Malaysia, tetapi beliau menjadi PM atas tiket beliau menjadi Presiden UMNO.

Maka dengan itu, perlulah diingat bahawa, angan-angan untuk menjadi PM kepada seluruh rakyat Malaysia perlulah dihapuskan, sepatutnya setiap individu rakyat Malaysia perlu ada rasa takut untuk menjadi PM, bukannya berebut-rebut, kerana jawatan PM adalah tanggungjawab, bukan tangga untuk menjadi kaya cepat. Fikir-fikirkanlah,.......

"

Takziah

Warga KeAdilan Gombak dan seluruh warga KeAdilan mengucapkan takziah kepada Sdr Zainol Abidin Mohamad, Timbalan Ketua AMK Gombak diatas pemergian ayahanda tercinta Almarhum Tuan Hj Shukor pada jam 1 pagi, 12hb Jun 2007. Semoga roh almarhum ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Antara pimpinan KeAdilan dan PAS yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Sdr Azmin Ali, Dr Hatta Ramli, Sdr Shamsul Idskandar Mohd Akin, Sdr Saari Sungip dan pimpinan bahagian KeAdilan dan PAS.

Semasa hayatnya almarhum sentiasa memberi sokongan kepada perjuangan islam dan KeAdilan dengan menjadikan perkarangan rumahnya sebagai tempat ceramah sejak dari zaman reformasi lagi hinggalah ke akhir hayat beliau. Seluruh warga KeAdilan dan PAS Gombak amat terasa diatas pemergian beliau.

Sekali lagi takziah diucapkan.