KUALA LUMPUR, 11 Jun (Hrkh) - Semalam (10 Jun 2007) sekali lagi Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dalam tempoh dua minggu. Banjir kali ini lebih besar dan dikatakan antara yang terburuk pernah melanda ibu negara.
Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di beberapa jalan utama dan mangsa-mangsa yang terperangkap terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).
Antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru, Kampung Chubadak dan Sentul. Dataran Merdeka, yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad ditenggelami sehingga ke paras pinggang.
Lebih dahsyat, air banjir turut memasuki sehingga ke ruang sembahyang di Masjid Jamek, Jalan Raja. Masjid itu terletak kira-kira 10 meter dari paras normal Sungai Gombak dan Sungai Klang.
Ibu kota juga dilaporkan mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan.
Hujan turun lebat di sekitar ibu negara hanya kira kira 3 jam dari sebelum jam 6.00 petang sehingga 8.00 malam tetapi kesannya amat teruk.
Ini dipercayai kerana kegagalan sistem peparitan dan sistem alihan yang gagal berfungsi dan ia diakui oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato" Wira Abu Seman Yusop sendiri berdasarkan laporan Berita Harian.
"Hujan yang terlalu lebat menyebabkan sungai dan sistem perparitan di kebanyakan kawasan di bandar raya tidak dapat menampung aliran air berlebihan," katanya ketika meninjau keadaan banjir di Dataran Merdeka dan Kampung Baru bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato' Ab Hakim Borhan sejurus selepas kejadian malam tadi.
Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa sehingga pagi ini (8.00 pagi, 11 Jun 2007) masih belum dapat dianggarkan kerugian dan kecederaan yang diakibatkan oleh banjir tersebut, tetapi menyakini jumlahnya melibatkan angka yang agak besar.
KeADILan kesal RM2 bilion wang rakyat dibazirkan
Parti keADILan Rakyat dengan ini melahirkan kekesalan dengan kegagalan pengurusan sistem pengurusan peparitan dan sisa kumbahan di ibu negara, kata Ahli Majlis Tertinggi KeADILan (MPT), Badrul Hisham Shaharin.
Kekesalan dan kekecewaan ini bertambah selepas negara baru saja membazirkan RM2 bilion wang rakyat untuk projek SMART yang kononnya dengan wujudnya projek itu masalah banjir kilat di Kuala Lumpur akan diselesaikan, katanya.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily hari ini semasa mengulas mengenai isu banjir kilat dan lumpur yang melanda Kuala Lumpur akibat hujan lebat semalam.
Dalam perkembangan berbeza tanpa rasa bertanggungjawab terhadap kegagalan tersebut Menteri Kerja Raya, Dato" Seri S.Samy Vellu mengumumkan bahawa semua pengguna Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (Smart) di ibu negara akan dikenakan bayaran tol mulai Jumaat ini dan kemungkinan kadarnya akan diumumkan hari ini.
Jangan kutip duit tol
Berikutan kenyataan itu dan situasi banjir yang melanda ibu kota, KeADILan dengan ini mendesak supaya kerajaan tidak mengutip sebarang kutipan tol di atas terowong yang gagal (sistem SMART) atau belum siap dan membazirkan bukan sedikit wang rakyat, katanya.
Malah KeADILan melihat sistem yang gagal itu telah mengganggu sistem pengaliran sehingga mengakibatkan kerugian dan penderitaan terhadap rakyat di ibu negara, kata Badrul Hisham.
Peniaga-peniaga kecil di sekitar ibu negara yang sememangnya tertekan dengan kenaikan kos hidup dan kini pula sedang mengalami kesussahan hidup menanggung kerugian akibat banjir tersebut, ujarnya.
Berdasarkan pendedahan yang pernah didedahkan oleh Angkatan Muda KeADILan (AMK), pemegang konsesi akan diberikan hak untuk mengutip tol sehingga tahun 2042 dan dijanjikan hak untuk menaikkan kadar tol beberapa kali sepanjang tempoh itu sehingga RM7.00 satu perjalanan, katanya.
KeADILan menuntut untuk semua pihak terbabit khususnya Menteri Kerja Raya untuk mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan dan pembaziran serta kesusahan rakyat itu, katanya.
PM perlu pecat Samy
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi harus memandang serius perkara ini dan beliau yang selama ini dilihat lemah perlu bertindak serius dan memecat Menteri Kerja Raya yang mengakibatkan pembaziran dan penderitaan rakyat, tegasnya.
"Jika ini tidak berlaku rakyat seharusnya 'membuka mata' dan sedar bahawa kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional ini sememangnya tidak mempedulikan permasalahan rakyat.
"Ini kemungkinan BN sudah terlalu lama menikmati 'puncak kuasa mutlak'. Maka sudah sampai masanya rakyat harus berfikir serius pula untuk menukar parti pemerintah,"
Tuesday, June 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment