Wednesday, February 13, 2008

Penipuan Peti Undi - AWAS

Media Melayu telah melaporkan kenyataan Najib Razak bahawa Barisan Nasional berkuasa bukan kerana penipuan - ‘ kita tidak tipu dalam pilihan raya’. Najib dan kuncu-kuncunya mendapat kuasa kerana dipilih oleh rakyat. Ini satu pembohongan besar dari Najib.

Najib sendiri sedar dalam tahun 1999 dia hanya dimenangkan dengan 242 undi. Ini pun bukan undi terbuka. Undi yang menyelamatkan Najib ialah undi ‘askar’ atau undi pos. Jika ini tidak bohong maka Sankaran Pillay a.k.a Chandra Muzaffar bukan orang India tetapi orang Eskimo.

Cara membaca media Malaysia amat senang. Apa yang dikatakan oleh menteri harus dibaca sebaliknya. Contohnya, jika menteri berkata Malaysia TIDAK ADA RASUAH maka bermakna di Malaysia ada rasuah. Jika menteri berkata semua rakyat sokong kerajaan bermakna ada rakyat yang TIDAK sokong kerajaan.

Umum telah lama mengetahui bahawa pilihan raya yang telah dijalankan dalam negara kita ini bukan satu pilihan raya yang bebas dan telus. Dari masa ke masa orang ramai makin sedar bahawa ada penipuan yang licik telah dan sedang dijalankan dalam proses pilihan raya. Cerita dan surah pilihan raya tipu ini telah menjadi lagenda rakyat.

Apa yang menghairankan DI MANA PENIPUAN ITU DIJALANKAN?

Penipuan utama dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Cukup senang tak payah bersuluh untuk memahami bahawa SPR ini tidak boleh dipercayai. Sesiapa yang percaya kepada SPR samalah seperti percaya bahawa Lingam adalah peguam yang jujur

Setiap sepuluh tahun akan diadakan persempadanan semula. Ini jerat pertama. Penyokong Barisan Rakyat akan ‘dipindahkan’. Pemindahan ini cukup licik. Bukan nama mereka dialihkan tetapi kawasan mereka dimasukkan ke satu kawasan lain. Kawasan mereka akan dimasukkan ke kawasan yang majoritinya menyokong parti lawan. Dengan cara ini jumlah mereka akan menjadi longgar. Ini terjadi kepada kawasan Mat Sabu dan Mahfuz Omar. Hasilnya kedua-dua ahli parlimen ini hilang kerusi pada tahun 2004.

Tak percaya lagi pilihan raya menipu?

Cara kedua ialah menambah angka pengundi baru ke dalam kawasan yang dimiliki oleh Barisan Rakyat. Contoh terbaik sedang berlaku untuk kawasan Lim Kit Siang di Ipoh. Lim Kit Siang telah diperanjatkan dengan kedatangan 8,000 undi baru. Dari mana hantu-hantu ini datang tidak pula diketahui. SPR membabi buta terus senyap.

Cara ketiga ialah menambah undi pos. Contoh terbaik sedang berlaku di Dun Belantek, Kedah. Tanpa hujan tanpa kilat tiba-tiba wujud 1,031 undi pos. Undi pos ini telah disediakan oleh SPR. Undi pos ini akan memastikan parti musuh akan menang kali ini dan calon Barisan Rakyat akan tewas.

Tak percaya lagi pilihan raya menipu?

Cara keempat ialah membawa pengundi hantu – orang luar – pendatang haram. Ini terbukti jelas di Sabah. Kerana itu rakyat Sabah telah melaungkan Sabah Untuk Sabahan. Slogan ini memberi makna bahawa rakyat asli Sabah memang diberi peluang untuk mengundi tetapi TIDAK mungkin dapat memilih wakil pilihan mereka. Telah sedia wujud beratus ribu pendatang haram yang telah diberi kad pengenalan untuk mengundi parti-parti yang memusuhi rakyat Sabah.

Cara kelima ialah membawa masuk dan mendaftarkan puluhan pengundi dalam satu alamat. Kes ini telah ditimbulkan puluhan dan ratusan kali. Kes yang amat jelas telah dipaparkan oleh Parti Keadilan Rakyat tentang belasan pengundi yang duduk di satu alamat di Pantai Dalam. Bila diselidiki alamat ini TIDAK WUJUD lagi. Apa yang wujud ialah tol lebuh raya yang baru.

Apa tindakkan SPR? Tidak ada apa-apa langkah yang diambil. Kerana alamat ini adalah gudang undi yang akan membantu Shahrizat Jalil.

Tak percaya lagi pilihan raya menipu?

Kali ini ada dikhabarkan bahawa DAKWAT akan digunakan untuk MEMBUNUH pengundi hantu. Ini adalah satu tuntutan lama. Perhatikan setakat ini belum ada lagi kempen media dari SPR untuk mendidik pengundi tentang cara penggunaan dakwat ini. Pasti akan berlaku haru-biru bila dakwat diperkenalkan. Akan timbul cerita dakwat TIDAK CUKUP, dakwat cair, dakwat boleh dibasuh. Saya jamin ini akan berlaku kerana SPR ini badan yang tugasnya menipu rakyat dalam pilihan raya.

Tak percaya lagi pilihan raya menipu?

Satu taktik yang amat licik telah dan akan digunakan. Teknik ini cukup pintar. Ini silap mata yang telah berkali-kali merabuni orang ramai.

Begini caranya:

Pengira undi hanya mereka yang telah dilantik dan dibenarkan oleh SPR. Ini bermakna ORANG-ORANG YANG DILANTIK DAN DIBENARKAN ini adalah yang telah dipilih dan diajar oleh SPR. Lupakah berita tentang bagaimana Puteri United Malay National Organisation telah sukarela bekerjasama untuk membantu SPR. Musang-musang dara ini sanggup bersedia untuk menjaga reban ayam betina.

Wakil-wakil Barisan Rakyat yang berada dalam dewan mengira undi hanya dibenarkan untuk melihat sahaja. Kertas undi TIDAK boleh diusik. Yang mengira itu adalah mereka yang telah dididik oleh SPR. Mereka mengira dengan tangan. Setelah sepuluh kertas undi dikira kertas ini akan dikumpulkan. Dari sepuluh kertas undi ini akan dicantumkan untuk menjadi sepuluh kumpulan. Sepuluh kumpulan kecil ini akan diikat dalam satu kumpulan besar. Ini bermakna dalam satu kumpulan besar ada 100 undi.

Nah – di sini PENIPUAN BESAR berlaku. Jangan kira siapa yang mengundi tetapi kira siapa yang mengira undi.

Dengan licik si pengira akan menambah dari 10 kertas undi ke 12 kertas undi jika undi ini untuk Barisan Rakyat. Ertinya Barisan Rakyat telah hilang dua kertas undi. Jika undi ini untuk parti musuh maka si pengira akan meletakkan hanya 8 kertas undi. Ini bermakna parti musuh telah mendapat 2 kertas undi lebih.

Kemudian kumpulan besar ini yang sepatutnya setiap satu ada 100 kertas undi akan diikat. Apabila dikumpulkan untuk diikat sekali penipuan akan digunakan. Untuk parti musuh 80 kertas undi akan dikira 100. Untuk Barisan Rakyat 120 akan dikira 100.

Sila ambil perhatian! Para pemerhati dari Barisan Rakyat hanya menjadi saksi dalam dewan. Mereka TIDAK DIBENARKAN mengusik kertas undi. Bukankah semua wakil parti TIDAK boleh mengusik kertas undi? Betul tidak ada siapa yang boleh mengusik kertas undi. Tetapi pegawai yang dilatih oleh SPR ini adalah kaki tangan dan tali barut Barisan Nasional. Janganlah bodoh sangat.

Kenapa TIDAK ULANG KIRA. Memang boleh ulang kira tetapi si laknat SPR telah menetapkan sesiapa hendak ulang kira wajib membayar 40,000 ringgit. Kalau tidak percaya sila tanya Rais Yatim semasa bertanding di Jelebu ketika itu dia dalam Parti Semangat 46.

Bagaimana saya tahu hal ini berlaku walhal saya TIDAK PERNAH mengundi?

Fakta cara penipuan ini dibuktikan dalam pilihan raya tahun 2004 di Permatang Pauh untuk kerusi Dr. Wan Azizah. Apakah lupa? Mula-mula Dr.Wan Azizah menang, kemudian beliau kalah dan kemudian beliau menang. Kenapa ini boleh berlaku? Kerana jangan kira siapa yang mengundi tetapi kira siapa yang mengira undi.

Tak percaya lagi pilihan raya menipu?

Gendang Sudah DiPalu

Gendang perang sudah dipalu. Gelanggang tempur sudah dibuka. Pencak silat bakal bermula walaupun tanah tidak sama rata. Abdullah Ahmad Badawi mahu terus mencipta kecemerlangan, dan pastinya PAS bersama KeADILan dan DAP perlu menyekatnya, demi kepentingan rakyat dan kebaikan bersama. Tempoh kempen memang singkat, namun segalanya perlu dihadap dengan semangat perjuangan membara. Umno-BN tidak mampu menguasai segalanya. Tidak semuanya boleh dibeli. Yang penting bertarung habis-habisan, dengan strategi dan taktik yang mampu menarik perhatian majoriti pengundi. Usah mudah terperangkap dengan jerat musuh. Berhati-hatilah. Berhati-hatilah.

Tok Ayah

Khir perlu berambus


Dipetik Dari UMNO-Reform

umno-reform perlu meletakkan muka Khir Toyo kerana Menteri Besar ini bukan Menteri Besar yang mampu membawa agenda rakyat.Khir ini patut buka kedai "facial" saja untuk kita semua rakyat Malaysia menukar muka. Khir sebenarnya banyak melukakan rakyat. Khir adalah Menteri Besar yang paling kurang peka khususnya kepada rakyat miskin. Khir juga menipu dalam negara maju 2005 yang bagi saya slogan itu adalah untuk Khir dan rakan-rakan Maju 2005. Pak Lah harus menamatkan segera perkhidmatan Khir Toyo dan kalau mahu sangat untuk jaga hati dia jadikan dia Menteri jaga Parlimen.

p/s : Setuju benar saya saranan penulis diatas

Terkini Dari Gombak

Perjumpaan jentera dan sukarelawan DUN Batu Caves , Malam ini 14hb Februari, jam 9 malam, bertempat Bilik Gerakan Pilihanraya KeAdilan di Flet Cempaka, Wira Damai. Semua rakyat Gombak khususnya di DUN Batu Caves yang ingin menjadi jentera dan sukarelawan dijemput hadir.

Terkini Dari Gombak

Ceramah akan diadakan esok malam , 15hb Februari 2008, jam 9 malam, bertempat di Wira Damai. Penceramah ialah Sdr Jonah @ Khairul Anuar, Naib Ketua AMK Pusat, Sdr Halimi , Ketua AMK Selangor, Sdr Amir Shari, Naib Ketua AMK Pusat, Sdr Gopal, Naib Ketua Bahagian KeAdilan Gombak dan wakil dari PAS. Semua dijemput hadir.

Dimana Mereka Bertanding?


Masih lagi menjadi teka teki. Harapan moga mereka semua beroleh kejayaan dimana jua mereka bertanding.InsyaAllah.

Semakin banyak kerusi BN akan tumbang, kata Anwar


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Feb 14, 08 | 10:53:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Pembubaran Parlimen oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Abdullah Ahmad Badawi semalam tidak mengejutkan, memandangkan bahawa kajian menunjukkan bahawa sokongan rakyat teramat rendah, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, rakyat semakin dibebankan oleh kenaikkan harga, jenayah dan rasuah yang berleluasa, serta hubungan etnik yang semakin merosot.

Semakin BN berlengah membubarkan Parlimen, semakin banyak kerusi akan tumbang, kata Anwar dalam satu ulasannya hari ini.

"Pilihan raya ini diisytiharkan lebih daripada setahun awal, semasa perayaan Tahun Baru Cina masih berterusan, dan sebulan sebelum saya dibenarkan bertanding," ujarnya.

"Menafikan hak saya untuk bertanding hanya mendedahkan bahawa prestasi pimpinan BN telah cukup parah sehingga mereka tidak sanggup mengambil sebarang risiko dalam pilihan raya akan datang ini," ujarnya lagi.

KeADILan siap sedia untuk mengatasi segala rintangan, termasuk halangan akses ke media dan gangguan yang berterusan pada setiap acara umum, kata Anwar.

Calon-calon KeADILan telah bertungkus lumus untuk mendedahkan kegagalan kerajaan BN dan menyampaikan matlamat kami yang bersandarkan harapan baru untuk Malaysia, katanya.

"Kami sudah lama bersiap-sedia menghadapi pilihan raya ini. Bersama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain, kami bersedia untuk memulihkan prestasi Malaysia yang kian merosot dan membela hak dan nasib semua rakyat Malaysia," tegasnya

Terkini : Penamaan Calon : 24 Feb 2008 Pliihanraya Umum: 8 Mac 2008


Oleh Greenboc

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengumumkan bahawa tarikh Penamaan Calon ialah pada 24 Feb 2008 dan tarikh Pilihanraya Umum ialah 8 Mac 2008

8 Mac 2008 adalah permulaan cuti sekolah. Pengerusi SPR juga menentukan bahawa Daftar Pemilih Induk yang diumumkan pada 5 Feb 2008 digunapakai yang bermakna akan terdapat 10,222,309 pemilih akan layak mengundi dimana 10,701,054 orang pemilih awam 221,085 orang pemilih pos.

TKO berkongsi harapan agar parti-parti di dalam Barian Alternatif akan berjaya cemelang di dalam PRU 12 ini.

Teruskan bekerja dan semarakkan perjuangan!