Friday, December 28, 2007


Bicara Azmin

Oleh : Azmin Ali

Saya dan William Leong memenuhi undangan Puan Fuziah Salleh di Kuantan, pada Dis 15, 2007. William bergegas seawal jam 11.00 pagi dari Kuala Lumpur untuk mengelak kesesakan dan kemungkinan lebuhraya ditutup ekoran banjir. Saya berlepas jam 2.00 petang kerana ada acara di KL di sebelah pagi. Saya bernasib baik kerana sejurus tiba di Karak, pengurusan Lebuhraya Pantai Timur membuka laluan sepenuhnya. William dan Fuziah terpaksa mengambil masa 7 jam untuk tiba di Kuantan kerana pada lewat pagi, air naik di Lancang dan semua kenderaan terpaksa melalui jalan lama Bentong, Raub, Benta, Jerantut dan Temerloh untuk ke Kuantan. Saya tiba jam 4 petang. William tiba jam 6.00 petang !

Jentera BA Kuantan selamat dilancarkan. Saya turut sempurnakan flag down untuk konvoi kereta yang membawa bendera keADILan di Jalan Beserah. Saya dan William menghadiri majlis Jamuan Tea di Kampong Jawa. Hujan lebat namun rakyat terus tampil dengan berani. Dalam Warong Pok Teh, tetamu di kalangan anak anak muda dari pelbagai kaum termasuk India dan Tionghua hadir dengan komitmen baru mendukung keADILan. Saudara Siew bekas pemimpin MCA Kuantan turut hadir dan berucap. Saya mengajak rakyat menolak politik perkauman dan maju ke hadapan dengan agenda reformasi demi kesejahteraan bangsa Malaysia. Masyarakat Melayu di Kuantan juga sedia maklum bahawa pengkhianat orang Melayu BUKAN Dato' Seri Anwar Ibrahim tapi pemimpin pemimpin elit UMNO.

Kemudian saya mengunjungi Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Penjara Penor. Seramai 389 orang dari Kampong Semangat, Pekan dipindahkan ke pusat ini semenjak beberapa hari yang lalu. Saya dan Fuziah membawa sumbangan dan bantuan untuk keluarga mangsa banjir di pusat ini. Menurut mereka, banjir kali ini cukup dahsyat dalam tempoh 7 tahun. Kerajaan BN melengah lengahkan bantuan kepada mangsa mangsa. Komander Penjara mengelabah dengan kehadiran saya dan terus memaklumkan pihak atasan.

Saya dan Saudara Zakaria Abdul Hamid, Pengerusi Perhubungan Negeri kemudiannya menuju ke Indera Mahkota untuk mendengar taklimat persiapan pilihan raya di Bilik Gerakan Parlimen Indera Mahkota. Saudara Azan Ismail dan Ketua Bahagian memberikan penerangan yang amat meyakinkan. Puan Nancy turut sama memberikan maklum balas.

Saya terpaksa meredah hujan lebat untuk menghadiri ceramah umum di Kampong Tanjong Lumpur. Cuaca yang basah tidak melunturkan semangat rakyat untuk hadir mendengar penjelasan isu isu semasa. Saya pulang dan tiba di Kuala Lumpur jam 3.00 pagi.
Sekarang (Ahad, Dis 16 jam 6.00 petang)aya dalam kenderaan untuk menghadiri 2 ceramah di Sungai Bakap, Nibong Tebal dan Juru, Pulau Pinang.
Mesej untuk rakyat : Ubah Sebelum Parah. Ubah demi Maruah.