Monday, September 17, 2007

Kes DSAI ditangguh


LUMPUR, 17 September - Kes rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bersabit penyingkiran Ketua Umum KeADILan, Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 ditangguhkan hari ini.

Kes tersebut didengari hari ini di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya di sini.

Anwar diwakili oleh peguam Tetuaan Karpal Singh & Co, manakala pihak responden yang mewakili Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia ialah Tetuan Lee Ong & Kandiah.

Kes itu disebut di hadapan hakim Niz Hashim Nik Abdul Rahman, hakim Abdul Aziz Mohamad dan hakim Azmel Maamor.

Walau bagaimanapun, tarikh perbicaraan kes rayuan itu belum ditetapkan oleh pihak hakim.

Anwar hadir di Palace of Justice di Putrajaya pada jam 9.30 pagi.

Mantan Timbalan Perdana Menteri itu membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bersabit penyingkirannya daripada Kabinet yang tidak mengikut Peraturan Perlembagaan.

“Berdasarkan pengalaman sekian lama dengan karenah hakim-hakim, saya tidak menaruh sebarang harapan positif. Namun ada baiknya peguam mengemukakan hujah dan mendedahkan maklumat. Kemudian kita perhatikan cara badan kehakiman berpencak silat, mungkin di luar gelanggang,” katanya dipetik daripada blog beliau.

Eksklusif: Pertembungan 'kalah mati' Anwar-Abdullah


Karier politik salah seorang dari mereka akan berakhir selepas pilihanraya ini!

Oleh Helme Hanafi
Dipetik dari Klpos

KETUA Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir pasti mengepalai jentera parti pembangkang dalam usaha menawan Pulau Pinang. Sumber parti itu memberitahu klpos.com, Anwar Ahad lalu menghabiskan tujuh jam merangka strategi bersama beberapa pemimpin pembangkang untuk merealisasikan cita-cita tersebut.

Menurut sumber terbabit, minggu hadapan Anwar sekali lagi mengadakan pertemuan bagi menyambung perbincangan mengenai strategi dan perkara berkaitan bagi usaha menawan Pulau Pinang.

Sumber terbabit memberitahu, "Abdullah terlalu yakin, beliau diberitahu penasihatnya, jika mahu 'bunuh' politik Anwar buat pilihanraya selepas April

"Anwar optimis jika pilihanraya diadakan selepas April dan beliau boleh bertanding, Pulau Pinang merupakan gelanggang sebenar untuk menguji sokongan rakyat," katanya.

Ditanya klpos.com mengenai kewajaran Abdullah menangguhkan pilihanraya sehingga April, sumber terbabit memberitahu, "Abdullah terlalu yakin, beliau diberitahu penasihatnya, jika mahu 'bunuh' politik Anwar buat pilihanraya selepas April, kalahkah Anwar dan tamatlah riwayat politik bekas orang nombor dua negara itu," katanya.

Menurut beliau, wujud satu desakan di kem Abdullah supaya piliharaya dibuat selepas April, "Mereka amat yakin, Anwar dan pembangkang dapat dikalahkan dengan mudah,"katanya.

Tetapi jelas beliau, Anwar melihat keyakinan kem Abdullah itu sebagai satu peluang kepadanya dan pembangkang.

"Anwar pula percaya, jika dia boleh bertanding, dia dapat mobilisasi sepenuhnya sokongan parti pembangkang, NGO, individu berpengaruh, bekas-bekas pemimpin Umno yang marah dengan Abdullah, serta paling penting sokongan rakyat Pulau Pinang," kata sumber terbabit.

"Jika pilihanraya selepas April, pertembungan sebenar antara Anwar dan Abdullah bagi merebut Pulau Pinang akan dapat disaksikan," jelas beliau.

Anwar merupakan 'Boss' Abdullah dalam Umno Pulau Pinang.

"Ini pertembungan kalah mati kedua-dua mereka, baik Abdullah mahupun Anwar, kalah bererti karier politiknya berakhir di situ," tambahnya lagi.

Untuk rekod, kedua-dua mereka merupakan anak jati Pulau Pinang, Anwar dibesarkan di Cherok Tok Kun Permatang Pauh, manakala Abdullah di Kepala Batas.

Kedua-dua mereka mempunyai pengaruh yang besar di negeri tersebut dan sebelum dipecat pada 1998, Anwar merupakan 'Boss' Abdullah dalam Umno Pulau Pinang.

Berdasarkan pengalamannya sebagai Pengerusi Umno Pulau Pinang itulah Anwar dalam siri jelajah beliau baru-baru ini, berkata Pulau Pinang bakal mengikut jejak Kelantan dikuasai BA pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Anwar perkara itu tidak mustahil dapat dilakukan dengan syarat semua pihak hendaklah bekerja keras.

"Apa yang penting dalam perjuangan saya mahu menyelamatkan rakyat dari segala bentuk penindasan yang berlaku sekarang,”ujar Anwar.

SEMENTARA itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali memberitahu klpos.com, bahawa parti itu memang berminat dan menjadikan Pulau Pinang sebagai tumpuan utamanya dalam pilihanraya akan datang.

"Memang Pulau Pinang negeri tumpuan, dan untuk itu semua kita (parti pembangkang) perlu maufakat, proses pembahagian kerusi sudah di peringkat akhir dan saya yakin akan dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

PAS Pulau Pinang sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan parti itu mengadakan kerjasama dengan DAP pada pilihan raya umum akan datang

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam dilaporkan berkata, Pulau Pinang merupakan negeri utama yang akan membawa cabaran DAP pada pilihan raya umum akan datang dan yakin parti itu berupaya menambah jumlah kerusi yang dimenanginya kerana ia berkemampuan untuk berbuat demikian.

Selain dari itu, PAS Pulau Pinang sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak menolak kemungkinan parti itu mengadakan kerjasama dengan DAP pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan pembangkang memenangi pilihan raya itu.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Salleh Man berkata, walaupun pada ketika ini kedua-dua parti itu tidak mempunyai hubungan, kerjasama itu mungkin diwujudkan di kawasan tertentu bagi memastikan kemenangan calon pembangkang.

Pada pilihan raya umum 2004, Pas dan DAP masing-masing memenangi satu kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu di Permatang Pasir dan Sungai Puyu manakala bagi kerusi Parlimen pula, PKR menang di Permatang Pauh dan DAP pula menguasai empat kerusi iaitu Bagan, Tanjung, Bukit Mertajam dan Bukit Gelugor.