Friday, July 6, 2007

Keadilan Permatang Pauh terima 220 ahli baru




Oleh Zulkifli Mohamed

SEBERANG JAYA: Keadilan Bahagian Permatang Pauh terus melebarkan sayapnya, apabila menerima kemasukan 220 ahli baru, sebilangannya daripada bekas ahli Umno. Borang keahlian diserahkan kepada Ketua Parti Anwar Ibrahim oleh Timbalan Ketua Bahagian Che Mat Hashim pada program Ceramah Perdana di sini, semalam.

Menurut Che Mat, jumlah tersebut adalah permohonan untuk bulan Jun lalu.

“Kita menerima secara purata 100 ahli baru setiap bulan, sejak Januari lalu melalui program mendekati rakyat yang kita anjurkan.”

Katanya, propaganda media kononnya Keadilan sedang hilang sokongan rakyat, ekoran segelintir ahli keluar parti tidak menjelaskan sokongan rakyat di bahagian tersebut.

Tambahnya, penyertaan 220 orang tersebut adalah bukti kukuh bahawa Keadilan lebih disenangi berbanding Umno/BN yang terkenal dengan penyelewengan, rasuah dan kroni, sekaligus menolak propaganda murahan oleh pihak tertentu.

“Penyertaan ini menakutkan Umno sebenarnya," katanya yang ditemui Malaysia Today selepas program tersebut.

Turut berucap pada majlis itu ialah Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Datuk Zahrain Mohamed Hashim, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Ustaz Saleh Man dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Keadilan Johari Abdul.

Katanya, Keadilan bahagian itu, yang diketuai oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail akan melipatgandakan usaha bagi mendapatkan seramai mungkin ahli baru, khususnya pengundi-pengundi muda.

“Kita telah merancang program dan strategi untuk merealisasikan matlamat tersebut,” katanya.