Sunday, February 24, 2008

Laungan takbir, doa iringi calon-calon di Parlimen Gombak



Anis Nazri | Foto Siasah
Sun | Feb 24, 08 | 7:10:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Kehadiran penyokong Barisan Alternatif (BA) yang membanjiri padang Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak membangkitkan suasana meriah sepanjang proses penamaan calon berlangsung, pagi tadi.

Padang bersebelahan pusat penamaan calon bagi Parlimen P098 Gombak, dipenuhi penyokong BA yang mula berkumpul pada jam 8 pagi di Surau al-Sharif, Simpang Tiga, Gombak, sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Calon bagi P098 Gombak, Azmin Ali, N16 (Amirudin Shaari), N17 (Dato' Dr Hassan Ali) dan N18 (Saari Sungib) diarak ke pusat penamaan calon dengan diiringi penyokong, yang membawa bendera PAS dan KeADILan, sepanduk, sambil melaungkan takbir dan ungkapan reformasi.

Malah, ketika menantikan urusan penamaan calon selesai, penyokong kedua-dua parti berbalas-balas sorakan, sambil mengibarkan bendera parti masing-masing.

Ketika sesi bantahan, penyokong kedua-dua parti agak kecoh seketika apabila sebilangan penyokong BN mula memasuki kawasan yang disediakan untuk penyokong BA, bagaimanapun berjaya dikawal oleh pihak polis dan wakil parti masing-masing.

Sejurus selepas itu, penyokong BA mula duduk dan khusyuk mengaminkan bacaan doa menjadikan suasana ketika itu hening, sebelum penyokong BN mula berteriak kepada penyokong BA yang sedang berdoa.

Semangat penyokong BA kembali membara seusai mengaminkan doa dengan melaungkan takbir dan reformasi dengan lebih bergemuruh, sambil mengibar-gibarkan bendera menyebabkan penyokong BN agak terdiam seketika.

Ketika pegawai pengurus SPR mengumumkan nama-nama calon kedua-dua parti, para penyokong bersorak dan melaungkan slogan-slogan parti masing-masing.

Sejurus itu, calon BA melangkah keluar dari dewan dan menemui para penyokong yang setia menanti di bawah terik matahari.

Azmin Ali, calon KeADILan bagi Parlimen P098 Gombak, berharap para pengundi di parlimen Gombak dapat memperhalusi calon-calon yang dibariskan BA dalam pilihan raya ini, serta membandingkan rekod di antara mereka.

Calon PAS bagi N17 Gombak Setia, Dato' Dr Hasan Ali, yang ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.20 pagi, berkata pihaknya menaruh keyakinan tinggi untuk kembali memenangi kerusi Dun itu.

Sementara itu, calon PAS N18 Hulu Klang, Saari Sungib, yang bertanding kali ketiga, berkata beliau akan terus berkempen sehingga hari mengundi bagi memastikan agenda yang dibawa BA akan meresap ke pemikiran pengundi sehingga mereka memilih calon BA pada 8 Mac akan datang.

Calon KeADILan bagi N16 Batu Caves, Amirudin Shaari, pula menyatakan bahawa beliau akan membawa isu-isu yang kini semakin membebani rakyat di sekitar dun Batu Caves, khususnya soal kos sara hidup yang semakin meningkat. - mks. Cetak

BA Menang Pusingan Pertama Di Gombak

Penyokong BA mengatasi bilangan penyokong BN di Gombak. In satu suasana yang cukup memberangsangkan. Penyokong BN ternyata tidak seceria tahun-tahun sebelumnya. Mereka seperti beruk-beruk yang kekejutan. Manakan tidak , penyokong BA sekitar 5,000 orang, sedangkan penyokongnya dalam 1000-1500 orang sahaja.

Di Pusat Pencalonan Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak, ANIS NAZRI melaporkan sekitar jam 9.30 pagi tadi calon-calon daripada Barisan Alternatif (BA) telah mengemukakan borang pencalonan mereka iaitu, untuk calon Parlimen Gombak, Azmin Ali; Dato' Dr Hasan Ali (Dun Gombak Setia); Shaari Sungib (Dun Hulu Klang) dan Amiruddin Shaari (Dun Batu Caves).

Manakala dalam perkembangan yang tidak dijangka, terdapat pencalonan Bebas iaitu untuk N16 (Dun Batu Caves), Azmi Hussain.

Menurut Anis, di luar kawasan pusat pencalonan, para penyokong BA telah memenuhi kawasan berkenaan dengan membawa sepanduk, bendera dan melaungkan slogan-slogan untuk menaikkan semangat para calon dan ahli parti.

Antara, slogan yang dikesan ialah, 'reformasi', 'hidup rakyat'dan 'barang naik' sementara sepanduk yang dibawa pula tertulis; 'dah lama sangat dah...cuba ubah sekali', 'kami menang, sekolah rendah ke pendidikan percuma untuk semua rakyat',' kami menang, petrol dan diesel turun.

Selain itu, terdapat juga sepanduk yang tertulis 'tawaran-tawaran BA untuk wanita','undilah PAS untuk menuju negara kebajikan.'