Sunday, February 24, 2008

Laungan takbir, doa iringi calon-calon di Parlimen Gombak



Anis Nazri | Foto Siasah
Sun | Feb 24, 08 | 7:10:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 24 Feb (Hrkh) - Kehadiran penyokong Barisan Alternatif (BA) yang membanjiri padang Sekolah Menengah Sungai Pusu, Gombak membangkitkan suasana meriah sepanjang proses penamaan calon berlangsung, pagi tadi.

Padang bersebelahan pusat penamaan calon bagi Parlimen P098 Gombak, dipenuhi penyokong BA yang mula berkumpul pada jam 8 pagi di Surau al-Sharif, Simpang Tiga, Gombak, sebelum berarak ke pusat penamaan calon.

Calon bagi P098 Gombak, Azmin Ali, N16 (Amirudin Shaari), N17 (Dato' Dr Hassan Ali) dan N18 (Saari Sungib) diarak ke pusat penamaan calon dengan diiringi penyokong, yang membawa bendera PAS dan KeADILan, sepanduk, sambil melaungkan takbir dan ungkapan reformasi.

Malah, ketika menantikan urusan penamaan calon selesai, penyokong kedua-dua parti berbalas-balas sorakan, sambil mengibarkan bendera parti masing-masing.

Ketika sesi bantahan, penyokong kedua-dua parti agak kecoh seketika apabila sebilangan penyokong BN mula memasuki kawasan yang disediakan untuk penyokong BA, bagaimanapun berjaya dikawal oleh pihak polis dan wakil parti masing-masing.

Sejurus selepas itu, penyokong BA mula duduk dan khusyuk mengaminkan bacaan doa menjadikan suasana ketika itu hening, sebelum penyokong BN mula berteriak kepada penyokong BA yang sedang berdoa.

Semangat penyokong BA kembali membara seusai mengaminkan doa dengan melaungkan takbir dan reformasi dengan lebih bergemuruh, sambil mengibar-gibarkan bendera menyebabkan penyokong BN agak terdiam seketika.

Ketika pegawai pengurus SPR mengumumkan nama-nama calon kedua-dua parti, para penyokong bersorak dan melaungkan slogan-slogan parti masing-masing.

Sejurus itu, calon BA melangkah keluar dari dewan dan menemui para penyokong yang setia menanti di bawah terik matahari.

Azmin Ali, calon KeADILan bagi Parlimen P098 Gombak, berharap para pengundi di parlimen Gombak dapat memperhalusi calon-calon yang dibariskan BA dalam pilihan raya ini, serta membandingkan rekod di antara mereka.

Calon PAS bagi N17 Gombak Setia, Dato' Dr Hasan Ali, yang ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan kira-kira jam 9.20 pagi, berkata pihaknya menaruh keyakinan tinggi untuk kembali memenangi kerusi Dun itu.

Sementara itu, calon PAS N18 Hulu Klang, Saari Sungib, yang bertanding kali ketiga, berkata beliau akan terus berkempen sehingga hari mengundi bagi memastikan agenda yang dibawa BA akan meresap ke pemikiran pengundi sehingga mereka memilih calon BA pada 8 Mac akan datang.

Calon KeADILan bagi N16 Batu Caves, Amirudin Shaari, pula menyatakan bahawa beliau akan membawa isu-isu yang kini semakin membebani rakyat di sekitar dun Batu Caves, khususnya soal kos sara hidup yang semakin meningkat. - mks. Cetak

No comments: