Sunday, July 22, 2007
Cubaan sabotaj program DSAI di Kedah gagal
MERBOK: Usaha pihak tertentu untuk mensabotaj ceramah Anwar Ibrahim di Kedah gagal, apabila ribuan rakyat tetap membanjiri padang awam Bandar Baru Sungai Lallang, dekat sini, Khamis lalu, meskipun beberapa hari sebelum itu poster program dikoyak, kain-kain rentang diturunkan dan bendera keADILan yang menghiasi sepanjang jalan ke tempat program dirosakkan.
Tidak cukup dengan itu, pihak berkenaan turut menghebahkan program palsu Anwar bagi mengelirukan orang ramai, khususnya masyarakat Tionghua.
“Kehadiran lebih 6000 orang, termasuk kaum Tionghua, India dan ahli-ahli Umno untuk mendengar pidato Anwar, menolak sama sekali propaganda media kononnya rakyat menolak keADILan, hanya berdasarkan dua tiga kerat ahlinya yang mengumumkan keluar parti,” jelas Ketua Angkatan Muda (AMK ) Kedah Shaiful Izham Ramli.
Pada malam hujan renyai-renyai itu juga, Anwar menerima kira-kira 600 borang permohonan baru untuk menyertai keADILan dari bahagian Merbok, Baling, Padang Serai dan Sungai Petani.
Menurut Shaiful, program anjuran AMK dan keADILan Negeri itu mendapat sambutan luar biasa walaupun diadakan di ‘kubu Umno’ dan terdapat usaha untuk menggagalkannya.
Menjawab soalan Malaysia Today, Shaiful enggan mengaitkan usaha sabotaj itu dengan golongan yang meninggalkan parti itu baru-baru ini, atau membabitkan ahli parti lawan.
Selain Anwar, turut berucap adalah Ahli MPT Johari Abdul, Pengerusi keADILan Kedah Ir Zamri Yusof dan Pengerusi Biro Masyarakat India Kalai Vanar.
Terdahulu, pada sebelah petang di Parlimen Jerlun, Anwar menghadiri majlis ramah mesra dengan kira-kira 400 ahli baru keADILan termasuk beberapa tokoh Umno yang mengumumkan meninggalkan parti itu.
Anwar kemudiannya, ke Beseri Perlis menghadiri Majlis Sepetang Bersama Rakyat. Pada majlis itu, beliau menerima 300 borang permohonan baru menyertai keADILan.
Beliau juga sempat mengadakan tazkirah maghrib di Surau Derga, Alor Setar yang turut dihadiri Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.
Jumaat pagi, Anwar sempat meninjau stesen bas dan teksi Sungai Petani yang telah daif dan mendengar keluhan beberapa pengusaha pengangkutan awam berkenaan.
Kemudiannya, beliau berlepas ke Kuala Muda menemui nelayan dan mangsa tsunami di sana, sebelum menunaikan sembahyang Jumaat bersama rakyat Permatang Pauh di masjid Bandar Baru Perda.
Subscribe to:
Posts (Atom)