Sunday, January 20, 2008

Catatan Azmin- Al-Fatihah


Perginya Seorang Pejuang : Aris Rizal Fernando ( 1941- 2008 )

Aris Rizal Fernando, peguam yang tersuhur menghembuskan nafas terakhirnya tepat jam 12.30 awal pagi hari ini di Unit Rawatan Rapi (ICU), Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Beliau yang berusia 66 tahun menjalani pembedahan pintasan jantung ( by-pass ) pada hari semalam, Jumaat meninggalkan seorang balu, Puan Maria Kamaruddin dan 2 orang anak perempuan dan 2 orang cucu. Menantu beliau, Saudara Subhan mengambil peranan sebagai ketua keluarga untuk menguruskan jenazah yang dibawa pulang ke kediaman keluarga Puan Maria di Taman Tasik Titiwangsa, Setapak, Kuala Lumpur.

Semenjak dari awal pagi, ramai ahli keluarga dan teman-teman termasuk hakim-hakim kanan yang memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Aris Rizal Fernando. Antara yang tiba awal ialah YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama Nurul Izzah dan adik-adiknya, saya sendiri bersama isteri, Saudara Tian Chua, Dato' Kamarul Baharin Abbas, Dr. Badrulamin Bahron, Tun Dzaiddin Abdullah, Sri Ram, Dato' Abdul Kadir Sulaiman, Dato' Shaikh Dawood, Dato' Yusof Zainal Abidin, DPP Nordin Hassan, DPP Tun Majid, Dato' Shafie Yahya, Mr. C.V. Prabhakaran, Saudara Zulkifli Nordin, Sankara Nair, Pawanchik Marican, dan ramai yang lain. Ratusan jamaah menyempurnakan Solat Jenazah. Kehadiran yang begitu ramai memenuhi dewan utama rumah menjadi tanda yang Allahyarham adalah seorang yang mempunyai ramai kawan dan disenangi semua pihak. Jenazahnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Tasik Titiwangsa pada jam 1.30 petang.


Sepanjang pengenalan saya dengan Allahyarham Aris Rizal Fernando hampir 10 tahun, beliau adalah seorang yang dedikasi, komited dan berpegang teguh kepada prinsip menegakkan keadilan dan kebenaran. Beliau adalah peguambela yang berjuang dan membela saya dalam kes pertuduhan keterangan palsu sehingga saya disabitkan kesalahan dan dihukum penjara 18 bulan. Alhamdulillah, dengan keteguhan hujah Aris Rizal Fernando dalam rayuan saya di Mahkamah Tinggi, beliau telah berjaya meyakinkan hakim bahawa saya tidak berbohong dan akhirnya pada 1 November 2007 yang baru lalu, rayuan saya dibenarkan dan saya dibebaskan dari pertuduhan ini. Saya amat terharu dengan khidmat dan sumbangan besar beliau dalam mempertahankan maruah saya. Beliau memberikan khidmat guaman secara percuma kepada saya kerana menurut Aris Rizal Fernando, ini adalah sumbangan beliau untuk melihat keadilan bertapak di bumi Malaysia.

Kehilangan pejuang Aris Rizal Fernando amat dirasai. Beliau sering menghubungi saya dan mengajak saya ke pejabat guamannya di Seremban untuk bersembang-sembang mengenai isu-isu semasa. Beliau cukup komited mendukung agenda reformasi khususnya dalam sistem kehakiman.

Mari kita berdoa semoga Allahyarham Aris Rizal Fernando dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah S.W.T. Mendapat “husnul khatimah” iaitu akhir yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh ni’mat.

Saya juga berdoa semoga keluarga Allahyarham khususnya isteri dan anak-anak beliau dicucuri oleh Allah S.W.T. dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang ditentukanNya. Amin.

Azmin Ali.