Sunday, February 3, 2008

Selamat Tahun Baru Cina



Warga KeAdilan Gombak mengucapkan Selamat Menyambut Tahu Baru Cina kepada seluruh rakyat dan peyokong dan pendokong parti yang menyambut perayaan ini. Gong Xi Fa Chai.

Kebimbangan Di Sebalik Cakap Besar Pilihan Raya


A Kadir Jasin

TUNJUK berani, cakap besar, malu-malu kucing dan lembut leher sudah muncul sebagai ciri dan taktik pilihan raya umum (PRU).

Parti-parti pemerintah dan pembangkang sudah mula tunjuk berani dan cakap besar manakala pembesar politik pula ada yang secara terbuka menawarkan diri untuk menjadi calon dan yang lain pula malu-malu kucing. Dalam hati bagai nak mati hendak jadi calon, di mulut kata tidak.

Barisan Nasional misalnya, bercakap mengenai menyapu bersih semua dewan undangan negeri, termasuk Kelantan yang kini dikuasai Pas.

Sebaliknya Pas yakin mempertahankan Kelantan, memenangi semula Terengganu dan merampas Kedah. Keadilan dengan “rakan-rakan kongsinya” amat yakin merampas Pulau Pinang dan mencapai prestasi baik di Sarawak.

Di kalangan individu, teka-teki dan teka-meneka semakin menjadi-jadi. Ada yang kata hidup mati dia akan bertanding. Ada yang kata belum buat keputusan. Dan rata-rata mengatakan mereka berserah kepada parti.

Saranan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi agar rakyat jelata yang tidak puas hati dengan pemerintah menggunakan pilihan raya untuk “menunjuk perasaan” telah mula dijawab.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad misalnya, menyarankan agar ahli dan penyokong Umno menggunakan PRU akan datang bagi “membersihkan” parti itu.

Katanya, tiada jalan lain untuk membersihkan parti itu daripada pemimpin yang tidak cekap dan tidak amanah kerana segala percubaan menegur dan mengubah kepemimpinan serta dasar parti dari dalam telah digagalkan.

Isu Dalaman Ancam BN

Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, pula dilaporkan oleh Mingguan Malaysia hari ini sebagai mengingatkan pemimpin dan ahli Umno agar tidak meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai kedudukan mereka sebagai calon melalui media massa.

Kebimbangan Najib semakin menjadi kenyataan bermula dengan pergolakan dalaman seperti yang sedang berlaku di Perlis. Pertikaman lidah antara pembesar Umno negeri itu sudah menjadi hidangan sensasi media massa buat beberapa minggu.

Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Shahidan Kassim sedang menghadapi ujian paling hebat dalam kerjaya politiknya dengan pelbagai tuduhan berbentuk politik dan peribadi.

Ketua MIC, S. Samy Vellu pula dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata dia mesti bertanding kerana dia “tidak pernah berasa penat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan berhenti menerajui parti MIC demi pembangunan dan kemajuan kaum India di negara ini.”

Harap-harap dia tidak lupa kepada orang Melayu dan Cina kerana dia menang di Sungai Siput atas ihsan pengundi Melayu dan Cina. Ini kerana hanya 22.5 peratus pemilih Sungai Siput adalah orang India.

“Saya mesti bertanding lagi. Kepala tidak ada, mana boleh badan ada lagi,” katanya.

Bergantunglah kepada makhluk mana yang Samy Vellu andaikan. Kalau lembu atau ular, tentulah ia akan mati jika kepalanya dipotong. Tetapi kalau ia cacing, kepala lama tidak mati dan kepala baru akan tumbuh jika ia dipotong dua atau tiga sekali pun.

Soalnya, apakah tunjuk perasaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), penangkapan mereka yang terbabit dan penahan beberapa pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan membantu Samy Vellu dan MIC? Atau akan membuat orang India menolak MIC.

Adakah majoriti pengundi India boleh ditenteramkan jiwa mereka untuk kembali menyokong MIC dengan Abdullah mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti awam dan ikrar tidak merobohkan kuil haram?

Calon MIC Bergantung Kepada Bukan India

Ironinya, Samy Vellu dan majoriti calon MIC mungkin terus terpilih kerana mereka bergantung kepada undi Melayu dan Cina yang berupa pengundi majoriti di kerusi-kerusi yang mereka tandingi. Hakikatnya tidak wujud sebuah pun kerusi majoriti India.

Di Sungai Siput, kawasan Samy Vellu, pengundi India pada 2004 hanya 22.5 peratus. Dengan penghijrahan orang India miskin dan pekerja ladang ke bandar, bilangan itu mungkin lebih kecil kini. Di kawasan Timbalan Presiden MIC G. Palanivel, Ulu Selangor hanya 19 peratus pemilih orang India.

Kawasan paling banyak pengundi India adalah DUN Buntong di Perak dengan 45.3 peratus pemilih India, tetapi pada tahun 2004 ia ditandingi oleh calon MCA.

Pada PRU 2004, Samy Vellu mendapat undi majoriti 10,235 menewaskan calon DAP, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj. Pada PRU 1999, majoriti beliau adalah 5,259.

Ahli Parlimen Serdang, Yap Pian Hon dari MCA pula dilaporkan tidak gentar jika DAP meletakkan penulis blog terkenal, Jeff Ooi untuk menentangnya.

Sebaliknya dia cukup yakin dapat mengulangi kemenangan besar PRU 2004. Katanya: "Pada bulan Mac tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah memuji saya sebagai antara Ahli Parlimen yang paling cergas berkhidmat kepada rakyat.

"Saya yakin prestasi baik yang saya tunjukkan sejak berdekad-dekad lalu dapat membantu kemenangan BN di kerusi Parlimen Serdang dan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen itu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Saya tidak mengatakan Pian Hon tidak bekerja kuat, tetapi mengatakan dia tidak gentar mungkin cakap besar untuk melapangkan dada.

Serdang adalah kawasan bandar yang komposisi pemilihnya agak seimbang antara Melayu dan bukan Melayu di mana terdapat sokongan yang kuat kepada DAP dan Pas. Pada PRU 1999, Pas memenangi salah satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Serdang iaitu Bangi.

Pada PRU 2004, Pian Hon menang dengan 11,280 undi majoriti daripada 57,812 undi sah. Pada PRU 1999 dia menang dengan hanya 4,099 undi majoriti daripada 70,911 undi sah.

Kalau benar blogger dan perunding teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Jeff Ooi Chuan Aun dicalonkan oleh DAP untuk menentang Pian Hon, kita boleh menjangkakan pertandingan yang menarik antara dua calon Cina yang fasih berbahasa Melayu daripada dua generasi berlainan.

Jeff Ooi, sebagai salah seorang pelopor pendemokrasian maklumat melalui ICT, blogger terawal dengan blognya Screenshots dan penggiat politik keturunan Cina yang berpendidikan Melayu pasti menarik perhatian pengundi pelbagai kaum, khasnya daripada institusi-institusi pengajian tinggi dan penyelidikan di sekitar kawasan Bangi-Serdang.

Jeff Ooi belajar di Sekolah Menengah Pendang, Kedah hingga tingkatan lima dan sebelum ini menganggotai Parti Gerakan.

Utusan Malaysia meramalkan persaingan di kerusi Parlimen Serdang dijangka lebih sengit pada pilihan raya akan datang kerana DAP dijangka meletakkan Jeff Ooi.

Ia menambah, kedudukan Pian Hon dalam MCA, bagaimanapun, tergugat selepas gagal mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Serdang dan Naib Presiden MCA dalam pemilihan parti 2005.

Skandal Cemar Imej MCA

Apa yang bakal dihadapi oleh Pian Hon sebenarnya amat kecil berbanding kesan dua skandal besar iaitu video lucah Chua Soi Lek dan kerugian besar Port Klang Free Zone yang mengheret Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choi.

Perebutan kerusi Chua di Johor yang dikatakan membabitkan anak Chua dan anak Ling Liong Sik, dan kemungkinan Chan tidak bertanding semula akan menjadi cabaran besar kepada MCA pada saat-saat pengundi Cina semakin resah akibat suasana ekonomi yang tidak menentu.

Sementara Pengerusi MIC Johor, K.S Balakrishnan pula berkata dia sudah penat untuk bertanding dalam PRU akan datang, “tetapi kalau diberi peluang saya akan bertanding dan meneruskan perjuangan.”

Satu lagi putar belit politik dan politikus.

Faktor KJ Jadi Perhatian

Putera mahkota Umno, Khairy Jamaluddin pula dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai enggan mengulas kedudukannya sebagai calon.
"Saya tidak akan bercakap mengenainya," katanya.

Tetapi sumber-sumber lain pula mengatakan tidak syak lagi dia akan bertanding. Saya sendiri berasa beliau akan dicalonkan untuk kerusi Parlimen Rembau menggantikan Firdaus Mohammad Rom bin Harun.

Walaupun benar seperti katanya bahawa calon pilihan raya ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, tetapi umum lebih daripada maklum mengenai pengaruh Khairy ke atas Perdana Menteri.

Sementara itu, Menteri Penerangan Zainuddin Maidin pula bermati-matian berkata, dia mahu bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Merbok.

Pada 26 Januari, Bernama melaporkan Zainuddin sebagai berkata calon pembangkang Merbok pada PRU akan datang bakal hilang wang pertaruhan.

Sepanjang ingatan saya, tiada calon pembangkang hilang pertaruhan di kawasan itu sejak pilihan raya umum 1955. Pada PRU 1995, calon Semangat 46 memperoleh 8,924 daripada 40,049 undi sah. Pada PRU 1999, calon Keadilan mendapat 14,909 daripada 45,246 undi sah dan pada PRU 2004, pencabar Zainuddin dari Keadilan memperoleh 14,162 undi daripada 43,839 undi sah.

Jadi, adakah masuk akal dalam tempoh empat tahun, BN dan Zainuddin menjadi begitu kuat dan pembangkang begitu lemah sehingga calonnya akan kehilangan deposit?

Bagi seorang “reluctant politician” Zam nampaknya sudah menjadi begitu selesa dan amat yakin dia mampu memberi pukulan maut kepada calon parti lawan.

Apakah kerana keakrabannya dengan Perdana Menteri maka Zainuddin sejak awal-awal lagi sudah direstui oleh Perdana Menteri untuk “mengumumkan” pencalonannya? Apa kata Umno Merbok?

Permatang Pauh Uji Kebolehan Hishammuddin

Dan mengapa Hishammuddin Hussein, orang Johor, dilantik mengepalai gerak gempur BN terhadap Keadilan di Permatang Pauh?

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy ketika mengumumkan perkara itu memberitahu bahawa pelantikan Hishammuddin telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dengan persetujuan Abdullah.

Apakah kerana dia begitu hebat atau dia sesuai menggempur seorang penjawat wanita, iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail? Atau adakah kerana majoriti Wan Azizah begitu tipis – hanya 590 undi?

Namun elok juga Hishammuddin diberi tugas itu, setidak-tidaknya bagi menguji ketokohannya kerana selama ini dia belum pernah mengalami ujian besar.

Sebaliknya jika cakap Khairy dilaporkan dengan tepat oleh media massa arus perdana, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa Hishammuddin begitu yakin dengan kewibawaan dan kemampuannya.

Menurut menantu Perdana Menteri itu, Hishammuddin berjanji kepada Perdana Menteri untuk menjadi bapa angkat Permatang Pauh dan menyatakan komitmen 100 peratus memastikan Permatang Pauh kembali kepada UMNO.

Tetapi tugas menggempur Permatang Pauh itu boleh bertukar menjadi senjata makan tuan jika dia gagal mengembalikan Permatang Pauh ke pangkuan Umno.

Sengaja disebutkan yang Anwar Ibrahim, tanpa sebarang jawatan dalam Umno, merampas kerusi itu daripada Pas dalam PRU 1982.

Sejahtera, Aman dan Makmur

Apa pun, episod-episod dan perkembangan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada sandiwara, wayang kulit dan silat kuntau politik menjelang pilihan raya.

Banyak lagi akan berlaku untuk menghiburkan kita yang sudah pun terhibur dengan lawak jenaka “perbicaraan” rakaman video V.K. Lingam.

Dengan latar belakang ini, tercetus persoalan: Apakah BN mampu meyakinkan pengundi bahawa kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang mereka idamkan akan menjadi kenyataan setelah janji kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan PRU 2004 semakin dicurigai?

Hanya masa menentukan.

Angka 8 akan hancurkan Khir Toyo


Menurut satu berita dalam laman internet, Khir Toyo berkata beliau berharap angka 8 akan membawa tuah kepadanya. " Saya harap tahun ini, tahun ‘ong’ bagi negeri Selangor,” kata Menteri Besar itu selepas menyatakan jika angka 8 itu membawa tuah kepada orang Cina, beliau juga berharap demikian.

Malah, katanya banyak yang berkaitan angka 8 boleh ditafsirkannya.

Khir, Khir. Engkau tak tau angka 8 tahun ini akan membawa kehancuran kepada kau. banyak isu-isu di Negeri Selangor kebelakangan ini menyebelahi pihak pembangkang. Banyak isu.isu setinggan, isu pelabuhan Klang, isu barang naik, isu rasuah Khir dan konco-konconya, isu HINDRAF yang membawa ramainya masyarakat India kini menyokong KeAdilan dan PAS dan banyak lagi isu.

Harap-harap angka 8 tahun ini akan menjadi mimpi ngeri buat Khir Toyo.

Hanya UMNO maksum


Hanya parti UMNO yang maksum. Banyak jasa dan tak buat dosa kepada rakyat. Apa yang UMNO buat semuanya baik belaka. Walaupun penjara orang yang tak bersalah dalam ISA. Walaupun guna polis untuk menekan rakyat dan membelasah dan menangkap rakyat yg berkumpul secara aman. Semuanya baik belaka. Tapi kalau pembangkang mengoyak gambar Rashit @ Rashid Pengerusi SPR seolahnya satu dosa besar yang tak boleh diampun. Dosa RaSHIT @ Rashid kepada rakyat kerana bersekongkol dengan UMNO/BN memperbodohkan rakyat dalam pilihanraya , bagaimana?