Friday, November 16, 2007
Tahniah Rakyat Malaysia-Azmin Ali
10 November 2007 menyaksikan lonjakan baru sokongan rakyat kepada agenda reformasi yang dipimpin oleh keADILan bersama PAS dan DAP serta NGOs yang progresif. "Gelombang kuning" disertai oleh lebih 100,000 rakyat Malaysia pelbagai kaum membanjiri Kuala Lumpur. Saya bangga dengan keberanian baru di kalangan rakyat Malaysia yang tidak gentar dengan ugutan Sang Penguasa yang rakus dan angkuh. Walaupun pelbagai bentuk amaran keras yang dikeluarkan oleh pihak polis termasuk Musa Hassan ekoran desakan 'berok Khairy' dan Abdullah Badawi, namun rakyat dari pelbagai pelusuk negara turun ke Kuala Lumpur untuk menzahirkan pernyataan keramat "enough is enough". Laungan slogan semangat baru "Ubah Sebelum Parah. Ubah Demi Maruah" mula berkemundang dengan nyaring dan meyakinkan; dalam lautan manusia yang cintakan keadilan dan kebenaran.
Ribuan anak-anak muda dan pelajar-pelajar universiti bangun dan mengharungi halangan dan sekatan polis dengan berani sehingga lebih 50,000 rakyat berjaya berhimpun secara aman di depan pintu besar Istana Negara untuk menyaksikan peristiwa bersejarah di mana pemimpin-pemimpin tertinggi yang diketuai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan memorandum kepada Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong. Delegasi ini turut disertai oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS; YB Lim Kit Siang, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Tan Sri Khalid Ibrahim, Dr. Syed Azman, YB Teresa Kok, saya sendiri dan wakil BERSIH.
Memorandum yang dipersembahkan kepada Tuanku menuntut supaya pilihan raya di Malaysia ini dijalankan dengan adil dan bersih. SPR juga mesti diuruskan oleh pengurusan yang amanah, bertanggungjawab dan memiliki kredibiliti untuk menjamin keyakinan rakyat terhadap mereka dan institusi SPR yang bebas dari pengaruh pemerintah. Rakyat Malaysia menuntut supaya undi pos dihapuskan, penggunaan dakwat kekal ketika membuang undi dan daftar pemilih yang bersih.
keADILan telah membuktikan secara terperinci dan sistematik melalui SISMEP dan mengemukakan bukti-bukti yang sahih berhubung penipuan dan penyelewengan oleh SPR dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia.
Ratusan ribu rakyat melaungkan "Daulat Tuanku" sebagai menjunjung kasih di atas perkenan Tuanku untuk menerima dan mendengar rintihan rakyat mengenai kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memperkudakan SPR untuk menjamin tali hayat politik demi kelangsungan kuasa politik mereka.
Sementara puluhan ribu rakyat yang lain terhalang di Masjid Jamek, Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Masjid Negara dan Central Market. Rakyat dikasari oleh pihak polis yang tidak berperikemanusiaan, diburu dengan gas pemedih mata, pintu masjid ditutup untuk jamaah, sistem komuter diarah oleh penguasa yang memiliki sifat kebinatangan untuk tidak berhenti di Stesen Masjid Jamek dan Stesen Central Market. Inikah pentadbiran Hadhari ? UMNO and BN have no respect for human dignity.
Namun, saya bangga dan bersyukur. Rakyat rebah dibelasah. Rakyat bangun dan terus lawan. Lawan Tetap Lawan !
Perhimpunan aman yang sama berlaku serentak di London dan juga Washington DC. Pelajar-pelajar Malaysia dan rakyat Malaysia di luar negara juga sudah berani menegur sikap dan dasar UMNO yang cukup jelik ! Sokongan solidariti dari perantauan menyegarkan harapan saya untuk masa depan Malaysia.
10 November 2007 adalah permulaan yang menjanjikan masa depan yang lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia. We, Malaysians have evolved into brave souls with brave hearts ! Bravo to all !
Tahniah untuk rakyat Malaysia.
Azmin Ali.
Antara Politik dan kepartaian
Oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah
Perhimpunan Bersih 10 Nov telah berlangsung. Pelbagai reaksi masyarakat telah dapat kita saksikan, samada melalui perbualan maupun internet. Ada yang takut berbicara atau minta jangan dibicara soal Perhimpunan Bersih dalam internet kerana takut terseret dalam isu politik atau tak mahu isu dipolitikkan atau atau ..Yang pasti buat saya, setiap perkara atau kejadian yang membawa kepada peningkatan kepekaan dalam sanubari, kejelasan dalam fikiran, keberanian dalam jiwa diri dan masyarakat akan membawa ke arah kesejahteraan kepada negara.
Sebaliknya, jika umat dalam sesebuah negara, apatah lagi umat Islam, hanya mementingkan diri dan keluarga sendiri, tanpa menghiraukan apa yang berlaku dalam negara dan pemimpinnya, maka umat dan negara seperti itu, seperti yang digariskan Allah dalam peraturanNya, boleh menuju kehancuran samada diaspek pegangan, jatidiri, akhlak, ekonomi dan sosial.
“Dan Tuhanmu tidak menghancurkan sesuatu tempat kerana kezaliman (yang berlaku di dalamnya), sedang penduduknya “Muslihuun” (membaiki keadaan dalam tempat tersebut)” (Surah Hud:Ayat 117). Allah menyebut Muslihuun (orang yang membaiki), bukan Solihuun (orang-orang saleh/baik). Riba adalah zalim, “Jika kamu bertaubat (berhenti dari riba), maka bagi kamu (ambillah) modal kamu (sahaja), kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi” (Al-Baqarah:279). Menghukum dengan undang-undang bertentangan dengan ayat-ayat Allah adalah zalim, “Sesiapa yang tidak menghukum mengikut apa (ayat-ayat) yang diturunkan Allah, mereka adalah orang-orang zalim” (Al-Maidah:45).
Begitulah ayat-ayat Allah yang lain menerangkan bentuk-bentuk kezaliman terhadap bani insan di dalam sesebuah negara di muka bumi ini yang layak menjunamkan mereka ke lembah kehancuran seperti amaranNya dalam Surah Hud di atas. Namun disana masih ada harapan pada mereka, masih ada penangguhan oleh Allah akan siksa dan kehancuran, sekiranya di sana masih terdapat mereka yang berjuang dan berusaha membaiki – bukan mereka yang sekadar baik peribadi, tetapi tidak membaiki keadaan. Di sini pentingnya politik. Ia mengambil berat dan mendorong bekerja membuat pembaikian dalam masyarakat. Ahli-ahli politik bukan sahaja penting kerana dari hasil perjuangan mereka nanti, Allah akan jadikan umat di sekeliling menjadi lebih baik, tetapi juga penting untuk mengelakkan umat ini ditimpa malapetaka yang melata. ”Takutlah fitnah (bala) yang tidak menimpa hanya orang-orang zalim sahaja dari kalangan kamu” (Al-Anfaal:25).
“Politik” dan “kepartaian” mempunyai pengertian yang jauh berbeza. Bercakap tentang politik bukan semestinya bererti bercakap tentang kepartaian. Ahli politik berbeza dengan ahli parti. Islam adalah sistem yang menyeluruh. Ia adalah aqidah dan ibadah, tanahair dan warganegara, toleransi dan kekuatan, akhlak dan kekayaan, ilmu pengetahuan dan undang-undang. Ahli politik ialah orang yang sentiasa meneliti hal ehwal masyarakat sekelilingnya, bercita-cita tinggi meningkatkan martabat dan prestasi umat di pentas dunia.
Saudara saudari yang dikasihi,
Untuk memahami lagi hakikat ini, lihat sahaja di sekeliling kita. Kita akan dapati ramai ahli politik yang lengkap dan sempurna ilmu, kesedaran dan perjuangannya sedang dia tidak punya keahlian dalam mana-mana parti politik. Dalam masa yang sama, kita dapati seorang yang berdaftar dalam senarai parti politik tetapi langsung tidak menghirau atau tidak memahami pun apa itu politik di segi ideologi perjuangan, manhaj (cara) yang akan digunakan ke arah mencapai objektif ideologi tersebut. Bahkan ada juga kita dapati orang dalam parti kepartaian, tidak memahami politik diaspek membaiki umat atau berjuang meletakkannya di peringkat pimpinan dunia, sebaliknya hanya mengambil kesempatan mengaut sebanyak mungkin keuntungan selagi punya pangkat dan masa untuk diri sendiri dan suku sakat, sambil merosakkan akhlak dan jatidiri bangsa melalui tindak tanduknya secara langsung atau tidak, disedarinya atau tidak. “Orang yang sesat usaha mereka dalam kehidupan di dunia dan mereka mengira sungguh mereka berbuat baik” (Al-Kahfi:104). Akibatnya, bencana melata tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim semata-mata berupa kenaikan harga barang, kos pendidikan dan perubatan asasi yang melambung tinggi, pengangguran graduan apatah lagi yang kurang berpendidikan, gejala sosial dan maksiat, perpecahan rumahtangga, murtad, anak derhaka kepada orang tua, pelajar yang biadap terhadap guru, penyakit, dadah, bunuh, rasuah, zina, apathy (tak ambil peduli) dan lain-lain. Mereka ini adalah lebih kepada “kepartaian” dan jauh dari politik atau Siyasah Syar’iyyah yang tunjukkan oleh Rasulullah saw dalam perjuangan Baginda.
Subscribe to:
Posts (Atom)