Friday, November 16, 2007
Antara Politik dan kepartaian
Oleh Ustaz Abdul Halim Abdullah
Perhimpunan Bersih 10 Nov telah berlangsung. Pelbagai reaksi masyarakat telah dapat kita saksikan, samada melalui perbualan maupun internet. Ada yang takut berbicara atau minta jangan dibicara soal Perhimpunan Bersih dalam internet kerana takut terseret dalam isu politik atau tak mahu isu dipolitikkan atau atau ..Yang pasti buat saya, setiap perkara atau kejadian yang membawa kepada peningkatan kepekaan dalam sanubari, kejelasan dalam fikiran, keberanian dalam jiwa diri dan masyarakat akan membawa ke arah kesejahteraan kepada negara.
Sebaliknya, jika umat dalam sesebuah negara, apatah lagi umat Islam, hanya mementingkan diri dan keluarga sendiri, tanpa menghiraukan apa yang berlaku dalam negara dan pemimpinnya, maka umat dan negara seperti itu, seperti yang digariskan Allah dalam peraturanNya, boleh menuju kehancuran samada diaspek pegangan, jatidiri, akhlak, ekonomi dan sosial.
“Dan Tuhanmu tidak menghancurkan sesuatu tempat kerana kezaliman (yang berlaku di dalamnya), sedang penduduknya “Muslihuun” (membaiki keadaan dalam tempat tersebut)” (Surah Hud:Ayat 117). Allah menyebut Muslihuun (orang yang membaiki), bukan Solihuun (orang-orang saleh/baik). Riba adalah zalim, “Jika kamu bertaubat (berhenti dari riba), maka bagi kamu (ambillah) modal kamu (sahaja), kamu tidak menzalimi dan tidak dizalimi” (Al-Baqarah:279). Menghukum dengan undang-undang bertentangan dengan ayat-ayat Allah adalah zalim, “Sesiapa yang tidak menghukum mengikut apa (ayat-ayat) yang diturunkan Allah, mereka adalah orang-orang zalim” (Al-Maidah:45).
Begitulah ayat-ayat Allah yang lain menerangkan bentuk-bentuk kezaliman terhadap bani insan di dalam sesebuah negara di muka bumi ini yang layak menjunamkan mereka ke lembah kehancuran seperti amaranNya dalam Surah Hud di atas. Namun disana masih ada harapan pada mereka, masih ada penangguhan oleh Allah akan siksa dan kehancuran, sekiranya di sana masih terdapat mereka yang berjuang dan berusaha membaiki – bukan mereka yang sekadar baik peribadi, tetapi tidak membaiki keadaan. Di sini pentingnya politik. Ia mengambil berat dan mendorong bekerja membuat pembaikian dalam masyarakat. Ahli-ahli politik bukan sahaja penting kerana dari hasil perjuangan mereka nanti, Allah akan jadikan umat di sekeliling menjadi lebih baik, tetapi juga penting untuk mengelakkan umat ini ditimpa malapetaka yang melata. ”Takutlah fitnah (bala) yang tidak menimpa hanya orang-orang zalim sahaja dari kalangan kamu” (Al-Anfaal:25).
“Politik” dan “kepartaian” mempunyai pengertian yang jauh berbeza. Bercakap tentang politik bukan semestinya bererti bercakap tentang kepartaian. Ahli politik berbeza dengan ahli parti. Islam adalah sistem yang menyeluruh. Ia adalah aqidah dan ibadah, tanahair dan warganegara, toleransi dan kekuatan, akhlak dan kekayaan, ilmu pengetahuan dan undang-undang. Ahli politik ialah orang yang sentiasa meneliti hal ehwal masyarakat sekelilingnya, bercita-cita tinggi meningkatkan martabat dan prestasi umat di pentas dunia.
Saudara saudari yang dikasihi,
Untuk memahami lagi hakikat ini, lihat sahaja di sekeliling kita. Kita akan dapati ramai ahli politik yang lengkap dan sempurna ilmu, kesedaran dan perjuangannya sedang dia tidak punya keahlian dalam mana-mana parti politik. Dalam masa yang sama, kita dapati seorang yang berdaftar dalam senarai parti politik tetapi langsung tidak menghirau atau tidak memahami pun apa itu politik di segi ideologi perjuangan, manhaj (cara) yang akan digunakan ke arah mencapai objektif ideologi tersebut. Bahkan ada juga kita dapati orang dalam parti kepartaian, tidak memahami politik diaspek membaiki umat atau berjuang meletakkannya di peringkat pimpinan dunia, sebaliknya hanya mengambil kesempatan mengaut sebanyak mungkin keuntungan selagi punya pangkat dan masa untuk diri sendiri dan suku sakat, sambil merosakkan akhlak dan jatidiri bangsa melalui tindak tanduknya secara langsung atau tidak, disedarinya atau tidak. “Orang yang sesat usaha mereka dalam kehidupan di dunia dan mereka mengira sungguh mereka berbuat baik” (Al-Kahfi:104). Akibatnya, bencana melata tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim semata-mata berupa kenaikan harga barang, kos pendidikan dan perubatan asasi yang melambung tinggi, pengangguran graduan apatah lagi yang kurang berpendidikan, gejala sosial dan maksiat, perpecahan rumahtangga, murtad, anak derhaka kepada orang tua, pelajar yang biadap terhadap guru, penyakit, dadah, bunuh, rasuah, zina, apathy (tak ambil peduli) dan lain-lain. Mereka ini adalah lebih kepada “kepartaian” dan jauh dari politik atau Siyasah Syar’iyyah yang tunjukkan oleh Rasulullah saw dalam perjuangan Baginda.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment