Azmin Ali
Saya dan Shida serta anak-anak bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana Majlis Rumah Terbuka kami sempena Eidul Fitr pada hari Ahad lalu, 4 November mendapat sambutan yang cukup meriah. Tetamu-tetamu yang datang bukan sahaja untuk menyambut Eidul Fitr bersama kami tetapi juga untuk menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan saya dari sabitan dan hukuman penjara 18 bulan pada 1 November yang lalu.
Nyata dari wajah-wajah yang hadir, mereka turut merasakan nikmat bebas yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T. Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran sejurus selepas Solat Zohor yang dipimpin oleh Imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang, Ustaz Khairi membuka tirai majlis kami. Turut hadir ialah Ustaz Dr. Abdullah Yasin dan isteri. Menyusul kemudian, saya dan Shida meraikan 40 orang anak-anak yatim yang diundang khas dari Gombak.
Lebih 3,000 orang tetamu hadir mulai jam 1.30 petang sehinggalah lewat malam walaupun majlis sepatutnya berakhir jam 6.00 petang. Jumlah tetamu yang diluar jangkaan kami menyebabkan makanan tidak mencukupi seawal jam 4.00 petang. Antara sajian yang paling laris dan awal habis ialah Penang Char Kuey Teow, Roasted Lamb, Ais Kacang Penang, Roti John, Ketupat Daun Palas Kamunting, Lemang UK dan pastinya Rendang Chef Min !
Saya mengambil masa hampir 5 jam di dapur sehari sebelum itu untuk menyiapkan rendang sebanyak 15 kilogram. Pada hari Sabtu, 3 November saya menghadiri 6 majlis Eidul Fitr dan juga perkahwinan puteri Saudara Osman Karim, Setiausaha Perhubungan keADILan Wilayah Persekutuan di Bandar Tun Razak; sebelum berkesempatan untuk masuk dapur jam 5.30 petang untuk memulakan tugas tahunan saya – masak rendang.
Teman-teman sekolah rendah dari Jalan Gurney dan University of Minnesota turut hadir selain dari keluarga saya dan Shida, jiran-jiran sekitar Taman TAR, teman-teman pimpinan dari keADILan dan PAS khususnya dari Gombak, rakan-rakan NGOs, wakil kedutaan asing dan juga media. Kawan-kawan lama seperti Lokman Noor Adam dan Zahid Mat Arip juga turut mengunjungi saya pada hari berkenaan.
Antara pimpinan yang awal tiba ialah Tian Chua bersama pimpinan kesatuan pekerja dari Korea Selatan. Kami juga turut diraikan oleh William Leong, Bendahari Agung; Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita; Amir Shari, Naib Ketua Angkatan Muda; Abdul Halim Mohd. Yusof, Timbalan Setiausaha Agung; Tengku Maraziyah, Timbalan Bendahari Agung; beberapa orang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi termasuk Ustaz Dr. Badrul Amin dan isteri, Kak Zumrah; Haji Osman Abdul Rahman, Dato’ Kamarul Baharin Abbas, Dato’ Dr. Zainal Abidin Ahmad, Khalid Jaafar dan pimpinan parti di semua peringkat. Pimpinan PAS yang hadir ialah Dr. Hatta Ramli, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali dan Saari Sungip dan isteri.
Presiden MTUC, Saudara Syed Shahir juga hadir selain dari pelukis terkenal Raja Azhar Idris dari Art Case Galleries. Jiran saya, Sofia Jane dan suami serta anak-anak juga turut memeriahkan majlis kami.
Kami amat gembira di atas kesudian tetamu-tetamu kami memenuhi undangan kami dan memeriahkan majlis ini termasuk beberapa orang peguam seperti Christopher Fernando dan isteri. Wan Merican, Zulkifli Nordin, Sankara Nair dan Amer.
Kami juga ucapkan terima kasih kepada teman-teman dari Gombak yang begitu ramai hadir dan turut membantu khususnya Wanita keADILan yang dipimpin oleh Puan Maznah Abd. Aziz dan Angkatan Muda di bawah pimpinan Saudara Jafrien Muhammad. Timbalan Ketua Bahagian, Saudara A. Rahim Kasdi juga hadir bersama isteri dan anak-anak serta AJK Bahagian yang lain.
Semoga pertemuan di hari lebaran ini dapat mengukuhkan lagi ukhuwwah kita.
Wednesday, November 7, 2007
Subscribe to:
Posts (Atom)