Wednesday, February 13, 2008

Semakin banyak kerusi BN akan tumbang, kata Anwar


Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | Feb 14, 08 | 10:53:34 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Hrkh) - Pembubaran Parlimen oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Abdullah Ahmad Badawi semalam tidak mengejutkan, memandangkan bahawa kajian menunjukkan bahawa sokongan rakyat teramat rendah, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, rakyat semakin dibebankan oleh kenaikkan harga, jenayah dan rasuah yang berleluasa, serta hubungan etnik yang semakin merosot.

Semakin BN berlengah membubarkan Parlimen, semakin banyak kerusi akan tumbang, kata Anwar dalam satu ulasannya hari ini.

"Pilihan raya ini diisytiharkan lebih daripada setahun awal, semasa perayaan Tahun Baru Cina masih berterusan, dan sebulan sebelum saya dibenarkan bertanding," ujarnya.

"Menafikan hak saya untuk bertanding hanya mendedahkan bahawa prestasi pimpinan BN telah cukup parah sehingga mereka tidak sanggup mengambil sebarang risiko dalam pilihan raya akan datang ini," ujarnya lagi.

KeADILan siap sedia untuk mengatasi segala rintangan, termasuk halangan akses ke media dan gangguan yang berterusan pada setiap acara umum, kata Anwar.

Calon-calon KeADILan telah bertungkus lumus untuk mendedahkan kegagalan kerajaan BN dan menyampaikan matlamat kami yang bersandarkan harapan baru untuk Malaysia, katanya.

"Kami sudah lama bersiap-sedia menghadapi pilihan raya ini. Bersama dengan rakan-rakan pembangkang yang lain, kami bersedia untuk memulihkan prestasi Malaysia yang kian merosot dan membela hak dan nasib semua rakyat Malaysia," tegasnya

No comments: