Tuesday, June 12, 2007

Lagi Rockers berjuang atas tiket KeAdilan, syabas Mel


BEKAS penyanyi utama kumpulan Wings Ismail Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Mel kini menjadi pendakwah. Menurut Mel, beliau bersyukur kerana mendapat hidayah lebih cepat dan ketika usia masih lagi dalam lingkungan 30-an. Yang penting sekarang dia mahu berbakti kepada masyarakat pula, itu cita-cita utamanya. Dan lebih penting lagi, beliau kini berceramah di atas pentas parti Anwar Ibrahim, Keadilan.

Menurut maklumat yang diterima klpos.com, Mel akan berceramah DI DEWAN YAYASAN AMAN PENANTI, PERMATANG PAUH pada Sabtu 23 Jun ini jam 9.00 malam.

Program tersebut anjuran Biro Penerangan Keadilan Pematang Pauh.

Mel diingati selepas mengantikan penyanyi utama Wings Awie yang sudah cukup sebati dan merupakan salah satu imej kumpulan muzik ini, tiba-tiba meninggalkan Wings di kala populariti yang memuncak berikutan kejayaan album Bazooka Penaka.

2 tahun kemudian barulah pengganti Awie ditemui. Mel, penyanyi berbakat yang sudah lama menceburi bidang nyanyian secara tak langsung dipilih menjadi penyanyi utama Wings dan album Orang Asing dihasilkan.

Walaubagaimana pun jodoh Mel dengan Wings tidak kekal berpanjangan. Tidak lama selepas itu, Mel keluar dari Wings dan Wings bernasib baik kerana tempat beliau diganti oleh Mus, bekas penyanyi utama kumpulan May yang seangkatan dengan Wings.

Antara lagu popular beliau adalah, Biru mata hitamku, semalam yang hantar dan lena diulit intan.

Mungkinkah Mel akan mengikuti jejak langkah Ustaz Akil Hai, yang kini merupakan penceramah PAS. Sama-sama kita saksikan.

Temubual dengan Mel di ambil dari laman webnya http://mel.com.my.

Apa yang mendorong perubahan Mel?

Saya masuk Wings bukan sebab saya minat rock. Bapa saya imam masjid, emak saya ajar orang mengaji al-Quran. Saya pun bilal masa itu. Tetapi sebab Joe (Wings) ajak sangat saya masuk untuk ganti Awie tahun 1995, saya masuklah. Tiba-tiba nama saya besar juga. Lagu Lena Diulit Intan yang julang nama saya. Tiba-tiba populariti datang. Tetapi saya tanya diri saya sampai bila hendak macam itu? Lebih setahun, saya ambil jalan keluar sebab antara kami (anggota Wings) banyak perbezaan. Banyak benda yang tak boleh ngam. Jadi sebab saya masih hendak berkawan lagi dengan mereka sebagai sahabat, saya ambil keputusan tarik diri. Terus terang saya cakap, setiap artis ada ego sendiri. Begitu juga saya.

Mel nampaknya macam menyesal pernah terlibat dengan Wings?

Susah hendak cakaplah. Hiburan ni sebenarnya banyak sangat melalaikan. Teruk! Tapi kita tak pernah hendak sedar. Bukan hendak puji penyanyi-penyanyi luar. Artis macam Gun 'n' Roses misalnya, masa nyanyi ke, buat apa ke, mereka pakai salib besar-besar. Itu perjuangan untuk agama dia. Agama dibentangkan dalam hiburan. Tapi kita, apa kita buat? Dengan hiburan kita lalaikan orang lagi adalah. Banyak penyanyi sekarang fikir duit, suka glamor saja. Tak ada perjuangan.

Benarkah Mel pernah terlibat dengan kumpulan Al-Arqam?

Dululah. Sebenarnya banyak orang keliru dengan saya ni. Kita ambil mudah, kalau saya penyanyi, kenapa mesti saya takut untuk berkawan dengan tuk haji, dengan orang pakai kopiah? Macam inilah, kita janganlah banyak sangat suluh diri orang. Lebih baik suluh diri kita sendiri sebab kita pun tak lengkap juga.

Jadi betul kisah dulu tu?

Saya berkawan dengan ramai orang. Dulu dengan Wings saya fikir glamor ego saja. Selagi kita ada ego, kita tak akan ke mana. Kita makin sesat. Untuk buang tu perlukan masa sikit demi sikit. Itu sebab saya berkawan. Ramai. Album ketuhanan (tahun 1996 dan 1997 pernah keluar dua album solo) mempertemukan saya dengan ramai orang. Orang tabligh, orang ABIM , orang Al-Arqam, macam-macam. Apa salahnya? Itu sebab orang keliru dengan saya. Kira dulu tu saya masih tengah mencari. Apa yang baik kita ikut. Tak baik buang saja. Saya sebagai artis nak sombong dengan orang, tak bolehlah macam itu. Saya menimba ilmu, tak kira ke mana. Dulu mungkin saya pakai serban orang cakap macam itu.

No comments: