KUALA LUMPUR, 12 Jun (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) digesa bersikap profesional dan telus dalam mengendali siasatan kes dakwaan sogokan RM5 juta membabitkan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharum yang dikatakan membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat (OD).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Mustaffa Kamil Ayub berkata, BPR sendiri perlu memperlihatkan wibawanya setelah sebelum ini badan itu terpalit dengan dakwaan penyelewengan dan penutupan kes individu tertentu ketika bekas Ketua Pengarahnya, Dato' Seri Zulkifli Mat Nor menerajui BPR.
Beliau menyatakan, BPR tidak boleh bersikap pilih kasih terhadap pihak tertentu terutamanya orang politik semata-mata kerana tekanan dari pihak terbabit dalam membawa kes-kes yang disiasat kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
Dalam kes Johari, beliau melihat bahawa cabaran yang dikemukakan Timbalan Menteri itu tidak berasas kerana sebagai seorang anggota peringkat tinggi kerajaan, Johari seharusnya tahu prosedur yang perlu dilalui BPR dalam mengendalikan siasatan kes.
"Tidak timbul soal cabar BPR mengemukakan kertas siasatan, sebaliknya apa yang penting BPR itu sendiri perlu dibebaskan dari cengkaman Jabatan Perdana Menteri (JPM) supaya fungsinya lebih dipercayai.Justeru BPR perlu diletak di bawah Parlimen,"katanya.
Justeru baginya bermula saat ini, BPR perlu memulihkan imej mereka supaya menjadi satu badan yang lebih telus, wibawa dan berani tanpa mengikut telunjuk orang tertentu yang menggunakan kuasa demi kepentingan mereka.
Sementara itu semalam, BPR meminta Johari bersabar menunggu keputusan hasil siasatan agensi itu berhubung dakwaan beliau menerima sogokan RM5 juta bagi membebaskan beberapa penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat.
Timbalan Ketua Pengarah BPR, Abu Kassim Mohamed dalam satu laporan akhbar harian berkata, proses siasatan ke atas Johari yang bermula Mac lalu dilakukan secara berperingkat-peringkat.
‘‘Biarlah undang-undang yang menentukannya. Tidak usahlah kita bergaduh pasal soal ini. Bila sampai masanya, undang-undang akan tentukan.
‘‘Kami juga menitikberatkan hasrat beliau (Johari) untuk mengetahui keputusan hasil siasatan tersebut,’’ katanya dalam laporan itu.
Abu Kassim mengulas kenyataan Johari semalam yang berharap agensi itu mengumumkan hasil siasatan terhadapnya.
Sementara pada 21 April lalu, Johari juga meminta BPR menyelesaikan segera kesnya dan menuntut agensi tersebut tidak melengah-lengahkan kes berkenaan supaya namanya boleh dibersihkan segera.
Menurut Johari, meskipun kes itu tidak mengganggu tugas sehariannya, namun ia menjejaskan kelancaran kehidupan peribadi beliau yang kini terpaksa berdepan dengan pelbagai khabar angin yang tidak elok.
Mengulas mengenai keresahan Johari itu, Abu Kassim berkata: ‘‘Sekarang ini kami tidak mahu komen apa-apa. Tak usahlah kita persoalkan di mana kertas siasatan itu berada sekarang. Biarlah proses berjalan seperti biasa.’’
Pada 4 Mac lalu, Johari menafikan dakwaan kononnya beliau menerima sogokan tetapi mengaku telah membebaskan beberapa tahanan di bawah Ordinan Darurat selepas meneliti laporan polis dan saksi bebas selain menerima pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment