Thursday, May 31, 2007
Hassnar Cabar Musa Hassan: Hentikan Sandiwara Polis Hipokrit
Ketua Polis Negara disaran menghentikan ‘Sandiwara’ Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang hipokrit kerana mencemarkan pakaian seragam mereka untuk menyusahkan rakyat dan menderhaka kepada Yang DiPertuan Agong.
Mantan Ketua Daerah Sandakan, O.K.K. Hassnar @ Asainnar M.P. Ebrahim menyarankan demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Datuk Christopher Wan yang meminta agar rakyat tidak merasuah polis yang disiarkan di beberapa akhbar tempatan baru-baru ini.
“Di Sabah sudah menjadi negeri polis yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa. Mereka menggunakan pakaian seragam untuk ‘merompak wang rakyat’ dan bersubahat serta melindungi penjenayah. Sabah seolah-olah tidak ada lagi undang-undang kerana polis yang menjadi penentu,” ujar Hassnar jengkel dengan sikap PDRM yang gagal menunjukkan profesionalisme polis.
Sehubungan itu, Hassnar menyarankan agar Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan turun padang terutama ke Sandakan yang menjadi ’Kubu Kuat’ polis yang rasuah, bersubahat dengan penjenayah, menyalahguna kuasa dan terus menderhaka kepada Yang DiPertuan Agong.
“Menyuruh Pesuruhjaya Polis Sabah menyiasat Ketua Polis Daerah atau pegawai kanan polis sama seperti menyuruh Iblis menyiasat Syaitan,” ujarnya dengan nada kesal kerana polis gagal memperbaiki atau meningkatkan profesionalisme walaupun beliau telah mengheret ramai pegawai kanan polis ke mahkamah atas tuduhan salahlaku dan jenayah.
Hassnar membidas Musa Hassan kerana gagal memperbaiki mutu perkhidmatan dan profesionalisme polis yang sehingga kini masih pada peringkat amatur dan seolah-olah wujud sebuah unit ‘Polis Swasta’ di setiap balai polis di Sabah.
Tambah Hassnar lagi, ‘Polis Swasta’ inilah yang menjadi samseng jalanan yang mengugut rakyat jelata dan meminta rasuah sehingga ramai penjenayah terlepas dan rakyat yang tidak mempunyai wang menjadi mangsa kekejaman polis.
“Saya menyarankan agar PDRM hentikan lakonan. KPN pun berlakon dan berpura-pura. Tahukah beliau setiap kali beliau melawat Sabah, pasti dijamu atau diraikan dengan majlis makan malam atau pertandingan golf. Siapa yang membiayai majlis tersebut? Tak perlu malu. Majlis ini dibiayai oleh para ’penyamun dan penjenayah’ yang selama ini mendapat perlindungan polis,” ujar Hassnar yang kesal dengan kewujudan polis swasta di setiap balai polis di Sabah.
Katanya lagi, polis tidak mempunyai peruntukan untuk membiayai majlis berkenaan dan terpaksa ’mensapi’ taukey judi, kongsi gelap, pembalak haram, pengedar dadah, sindiket pelacuran dengan kerjasama unit G7 dan G4.
”Tolong cari sapi,” kata Hassnar yang merujuk terminologi arahan ini kepada dua perkara iaitu ’lembu’ untuk majlis makan malam atau ’perempuan’ untuk memuaskan nafsu pegawai kanan polis yang datang berkunjung.
Lazimnya, semua bil untuk majlis berkenaan ditanggung beres oleh para penjenayah yang menjadi gudang emas para pegawai polis yang sentiasa bersandiwara dan mengamalkan sikap ’double-standard’ dan menggunakan dua undang-undang yang berbeza untuk rakyat dan penjenayah.
Sehubungan itu, Hassnar mencabar Musa Hassan menemui beliau secara peribadi tanpa diiringi ’Polis Swasta’ jika inginkan maklumat salahlaku dan rasuah pegawai kanan polis di Sandakan.
”Saya akan bagi maklumat yang tepat dan jelas, lengkap dengan bukti tetapi dengan syarat, pertemuan empat mata dengan Musa Hassan. Saya tidak percaya polis Sabah,” tegas Hassnar yang kini sedang mendakwa ramai anggota polis di Mahkamah Tinggi Sandakan atas pelbagai tuduhan.
Selaku Pengerusi ’Polis Watch’ (Pemantau Polis), Hassnar menggesa orang awam agar mengetahui hak mereka sebagai warganegara dan melaporkan segera sebarang kejadian yang melibatkan salahlaku, salahguna kuasa atau rasuah yang dilakukan anggota polis kepada beliau melalui telefon atau sms ke talian 012-8187189 atau faksimili 089-212521 atau email ke ebrahimhassnar@hotmail.com atau Policewatch@gmail.com agar tindakan segera dapat diambil.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment