Tuesday, June 26, 2007

Keadilan Permatang Pauh nafi tuduhan Ezam

Oleh Zulkifli Mohamed

PERMATANG PAUH: Timbalan Ketua Bahagian Keadilan Permatang Pauh, Che Mat Hashim menafikan sekerasnya tuduhan bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) Ezam Mohd Noor, bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan bahagian itu bersikap berkecuali dengan tidak mencalonkan Dr Syed Husin Ali untuk jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Tindakan itu dikatakan antara penyebab Ezam hilang kepercayaan terhadap Anwar dan bertindak keluar parti.

“Datuk Seri (Anwar) dan Datin Seri (Dr Wan Azizah) tidak pernah campurtangan, apatah lagi memberikan arahan kepada bahagian untuk mencalonkan sesiapa, mereka memberikan kebebasan sepenuhnya kepada kami,” tegasnya.

Apa yang sebenarnya berlaku, katanya ialah bekas Ketua Bahagian, Anuar Shaari yang yang juga rakan baik Ezam, telah menghalang bahagian mencalonkan Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden, meskipun Azmin mendapat sokongan majoriti ahli jawatankuasa.

“Anuar mahu kami calonkan Dr Syed Husin, kerana katanya itu adalah arahan daripada Datuk Seri,” jelasnya.

Menurut Che Mat, beberapa jam sebelum mesyuarat bahagian 13 Mac lalu, Anuar memaklumkan kepada beberapa ahli jawatankuasa bahawa beliau mendapat arahan lisan dan bertulis (melalui emel) daripada Anwar yang mengarahkan bahagian mencalonkan Dr Syed.

Bagaimanapun, apabila didesak dalam mesyuarat khas bahagian, Anuar mengaku beliau berbohong menerima emel.

“Apabila ditanya sebab beliau berbohong, beliau tidak dapat memberikan jawapan, malah berkata itu adalah ‘advantange’ sebagai ketua bahagian,” tegasnya.

Ekoran itu, demi menjaga keharmonian parti, bahagian mengambil sikap berkecuali, tidak mencalonkan mana-mana pemimpin untuk sebarang jawatan, selain Dr Wan Azizah sebagai Presiden.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini semalam, Ezam mendakwa Anwar telah mengarahkan Permatang Pauh bersikap berkecuali dan tidak mencalonkan Dr Syed, yang bermakna ketua parti itu menyokong Azmin.

“Bagi saya, (Dr) Syed Husin (Ali) adalah penyandangnya (timbalan presiden), jika dia (Anwar) meminta bahagian tersebut supaya jangan mencalonkan Syed Husin, itu bermakna Anwar menyokong Azmin.

“Mengapa Anwar tidak boleh bertindak tegas dan kata 'tidak' kepada Azmin?” soalnya.

Ezam juga mendakwa arahan Anwar itu juga merupakan salah satu sebab Anuar keluar parti.

Berhubung tindakan Anuar keluar parti Mac lalu, Che Mat berkata ahli akar umbi telah menolaknya kerana beliau mengabaikan bahagian, lebih-lebih lagi kerana beliau dibayar elaun bulanan.

“Lebih tepat lagi, beliau kecewa kerana merasakan tidak akan dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, berdasarkan laporan Sistem Menang Pilihan raya (SISMEP) yang dibentangkan dalam mesyuarat bahagian.

“ 2/3 penyokong BA menolak beliau sebagai calon Penanti,” ujarnya

Sementara itu, Naib Ketua Zainal Abidin Saad yakin Ezam telah mendapat maklumat yang salah berhubung pemilihan Permatang Pauh.

“Ezam sepatutnya menghubungi kami untuk mendapat maklumat sebenar, dan bukannya hanya mendengar sebelah pihak,

“Sebagai Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) Ezam sepatutnya menerima keputusan majoriti (demokrasi) dalam parti, dan bukannya membenarkan masalah peribadinya dengan Azmin membelenggu tindakannya.

“Kalau tidak, demokrasi yang diperjuangkannya hanya retorik kerana beliau sendiri gagal mempraktikkannya,” tegasnya.

No comments: