Sunday, July 29, 2007

Petanda positif dalam rundingan kerusi - Azmin

Oleh Haniza Talha

Rundingan antara rakan-rakan DAP dan PAS berjalan lancar dan menunjukkan petanda positif akan selesai sepenuhnya dalam masa terdekat, beritahu Pengarah Pilihan Raya Pusat Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali. Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Negeri Selangor sehari yang diadakan di Shah Alam.

Konvensyen yang dihadiri oleh seluruh kepimpinan negeri Selangor termasuk Bahagian-bahagian, Wanita dan Angkatan Muda daripada 22 bahagian.

Menurut Azmin, rundingan mengenai kerusi-kerusi yang bertindih juga akan dibincangkan dan kali ini suasana persefahaman antara parti-parti pembangkang lebih jelas kerana semua menumpukan kekuatan untuk mengalah musuh yang satu iaitu Barisan Nasional.

Seperti yang disebut sebelum ini, Keadilan akan bertanding di 60 kerusi Parlimen dan 120 kerusi DUN. Syarat pemilihan ‘Parlimen Tumpu’ yang diputuskan’ oleh Majlis Pimpinan Tertinggi, mengikut Azmin, sangat menyeluruh. Pemilihan mengambilkira berbagai maklumbalas daripada berbagai pihak; pimpinan negeri, NGO dan keputusan-keputusan pilihan raya umum yang lepas.

Beliau juga telah menyerahkan senarai semak Gerak Kerja Pilihan Raya yang komprehensif, mengambilkira semua aspek kesan utama (Key Result Areas) untuk menang pilihan raya

Menjawab soalan mengenai gerak kerja pilihan raya di tempat-tempat yang parti tidak bertanding, beliau menegaskan, dengan semangat setia kawan, petugas-petugas parti akan tetap bergerak di tempat tersebut, membantu calon PAS atau DAP .

Parti sudah dapatkan daftar pemilih terkini iaitu yang digazetkan pada Mac 2007, dan sedang menyediakan SISMEP Fasa 2 daripadanya tidak lama lagi, tambah beliau.

No comments: