Sunday, July 15, 2007

Azmin dakwa BN beli ahli PKR

Saturday, 14 July 2007

KUALA LUMPUR 13 Julai(UM) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa terdapat kumpulan tertentu dalam Barisan Nasional (BN) ‘membeli’ ahli-ahli PKR untuk menunjukkan parti itu sedang menuju ke ambang kehancuran.

Naib Presidennya, Azmin Ali berkata, berdasarkan maklumat-maklumat yang beliau peroleh, kumpulan-kumpulan dalam BN turut menawarkan wang kepada ahli-ahli PKR untuk keluar daripada parti itu.

‘‘Tindakan kumpulan-kumpulan dalam BN membeli ahli-ahli parti PKR adalah bagi mencetuskan propaganda menerusi media bahawa PKR sedang menuju ke arah kehancuran atau berpecah belah,’’ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah serta 333 ahli PKR Bahagian Kuala Langat keluar daripada parti itu semalam.

Azmin menjelaskan, semua ahli PKR yang ‘dibeli’ oleh kumpulan dalam BN itu bukan pemimpin yang memperjuangkan keadilan, malah mereka kebanyakannya kalah dalam pemilihan parti sebelum ini.

Beliau menambah, propaganda yang dicetuskan oleh kumpulan-kumpulan dalam BN itu tidak akan dapat mempengaruhi orang ramai kerana mereka menyedari taktik parti pemerintah.

‘‘Orang ramai menyedari bahawa taktik ini akan digunakan apabila pilihan raya umum semakin dekat bagi memperlihatkan bahawa parti pembangkang sedang hancur atau berpecah belah,’’ katanya.

No comments: