Wednesday, June 6, 2007

Perpaduan mesti rangkumi dasar politik, ekonomi selain bahasa dan pendidikan - Syed Husin

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sebagai elemen perpaduan antara kaum tidak akan menyelesaikan polemik perpaduan di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Syed Husin Ali.

Menurut Dr Syed Husin, tindakan menukar nama sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, kerana apanyang lebih penting ialah soal kedaulatan bahasa yang perlu diberi keutamaan di samping perlunya kestabilan dasar politik dan ekonomi untuk menjamin perpaduan yang utuh.

"Apakah dengan hanya menukar nama kepada Bahasa Malaysia maka automatik akan meningkatkan keyakinan rakyat atas perpaduan kaum?," katanya dalam satu komentar terhadap isu tersebut semalam.

Kata Syed Husin, elemen perpaduan mesti melihat kepada dasar politik dan ekonomi, selain bahasa dan pendidikan.

Menurutnya, dasar politik Malaysia masih lagi mengamalkan dasar pecah dan perintah, justeru perpaduan hanya boleh dicapai dengan mengubah dasar yang sedia ada.

Sama juga halnya dengan ekonomi, berlaku pengagihan ekonomi berpusat kepada segelintir orang dan kroni, dan ianya tidak diagihkan secara adil kepada rakyat bawahan, tegasnya.

Justeru langkah meniup semangat perpaduan tanpa perubahan hanyalah retorik semata-mata, katanya.

Selagi tidak ada usaha ke arah menjamin keadilan sosial, perubahan nama sekerap mana pun keadaan akan kekal sebagaimana sedia ada, dan jelas selepas 50 tahun Malaysia merdeka agenda perpaduan negara sebenarnya telah gagal, kata Syed Husin lagi.


--------------------------------------------------------------------------------

No comments: