Rustam Sani
Dalam sastera Melayu tradisional (khususnya dalam genre yang disebut “hikayat”) terdapat satu kebiasaan sastera (literary convention) yang menghuraikan sesuatu peristiwa itu dengan suatu gugusan perbilangan atau petitih.
Untuk menghuraikan suasana waktu hari siang akan menjelang, umpamanya, akan digunakanlah baris-baris perbilangan seperti berikut:
Ayam berkokok dua kali
Orang tua beralih tidur
Yang muda baru pulang …
[Saya tak sempat mencari urutan kata-kata yang sebenarnya. Sesiapa yang sempat menyimaknya, katakanlah, dalam Hikayat Malim Deman, sudilah mengirimkannya kepada saya.]
Para penganalisis politik moden juga tampaknya sering menggunakan kebiasaan yang sama untuk meramalkan bilakah pilihanraya umum (PRU) akan dilangsungkan di negara ini. Namun, bezanya, kejadian hari siang itu merupakan kejadian yang berlaku berulang kali dan dapat diramalkan dengan pasti, sedangkan pilihanraya umum di negara ini lebih sukar diramalkan.
Mengikut tradisi demokrasi parlimen ala Westminster, hak menentukan tarikh pilihanraya umum itu memanglah terletak pada pihak kerajaan yang memerintah (khususnya Perdana Menteri), yang akan menasihati Ratu (Queen) supaya membubarkan Parlimen pada tarikh tertentu.
Dalam sistem demokrasi kita yang bersifat illiberal ini, peraturannya samalah juga – dengan kemungkinan bahawa tarikh itu akan ditentukan dengan tujuan untuk memastikan bahawa suasana politik itu memihak kepada kerajaan dan ketika rakyat sedang berasa senang dengan keadaan tersebut.
Oleh yang demikian, jika keadaan ekonomi, misalnya, tidak memihak kepada pemerintah, maka akan diusahakanlah untuk memanipulasi angka-angka tunjuk ekonomi terlebih dulu – misalnya dengan memanipulasi angka tunjuk saham syarikat-syarikat yang ada hubungan dengan pemerintah dan mudah dimanipulasi di pasaran saham.
Beberapa pertanda telah dikemukakan para penganalisis sejak akhir-akhir ini sebagai pertanda bahawa PRU akan berlangsung tidak lama lagi – dari pertanda yang kelihatannya tidak begitulah menjolok seperti arahan Kabinet kepada Maybank supaya memansuhkan persyaratan yang dikenakannya bagi kuota syarikat-syarikat guaman yang dilantiknya untuk menjalankan kerja-kerja guamannya hinggalah kepada langkah yang lebih menggemparkan seperti kenaikan gaji untuk kaki-tangan awam yang diumumkan baru-baru ini.
Pada suatu ketika dulu, yakni sejak Almarhum Tun Abdul Razak membuka hubungan diplomatik dengan negara China, salah satu pertanda bahawa PRU akan menjelang ialah Perdana Menteri akan melakukan kunjungan rasmi ke negara itu – dan bergambar dalam kadaan bersalaman dengan pemimpin utama negara itu.
Ada orang mengatakan langkah yang demikian itu merupakan langkah penting bagi memastikan bahawa parti pemerintah akan mendapat undi kaum Cina di negara ini pada PRU yang berikutnya – yakni dalam kerangka “strategi” politik Perikatan (dan kemudiannya Barisan Nasional) yang amat tebal unsur perkaumannya itu.
Malah baru-baru ini ada pengulas politik yang menyatakan bahawa hubungan mesra Abdullah Badawi dan Lee Hsieng Loong (PM Singapura) di Langkawi (sambil menikmati buah durian yang diimpot dengan harga mahal dari Pulau Pinang) telah diatur dengan tujuan strategik yang sama.
Selain itu, telah dihuraikan pula beberapa alasan lain mengapa kerajaan dikatakan begitu terdesak untuk mengadakan PRU pada tahun ini juga. Pertamanya terdapat andaian bahawa suasana ekonomi negara sedang menuju kepada keadaan yang lebih buruk pada tahun depan.
Oleh yang demikian, menurut andaian itu lagi, jika PRU diadakan pada tahun depan – ketika rakyat sudah mulai dapat merasakan kesan suasana ekonomi yang semakin merosot itu – maka kemungkinan parti pemerintah mempertahankan kuasa dan kedudukannya sudah pastilah akan terjejas.
Selain itu, satu alasan yang sering diperagakan ialah hakikat bahawa mulai akhir April tahun depan halangan Mahkamah terhadap penyertaan aktif Anwar Ibrahim dalam politik akan berakhir. Berdasarkan andaian itu seterusnya, kerajaan hari ini begitu takut akan wujudnya sebuah barisan pembangkang yang berpadu di bawah pimpinan Anwar Ibrahim sehingga PRU perlu diadakan sebelum tarikh itu.
Amatlah sukar untuk dipastikan sejauh manakah andaian ini dapat diterima. Namun, memandangkan betapa kuatnya kerajaan (melalui ROS) menolak permohonan Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk bertanding merebut jawatan Presiden PKR, maka agak sukar juga untuk mengatakan bahawa andaian tentang kegusaran kerajaan akan peranan politik Anwar itu tidak berasas.
Namun, bagi saya, ada satu petunjuk atau indicator yang malah lebih meyakinkan bahawa PRU akan berlangsung dalam masa terdekat – dan petunjuk itu ada kaitannya dengan apa yang saya namakan “kegiatan gila” media arus utama di negara ini.
Hari ini fenomena itu mungkin lebih tepat disebut sebagai “kegilaan Zainuddin Maidin”, bekas wartawan yang amat memusuhi kebebasan akhbar dan membenci hak bersuara, dan kini menjadi Menteri Penerangan.
Dalam “Kata Pengantar” buku saya Menjelang Reformasi (2004) saya ada menulis:
Baik Zainuddin [Maidin] maupun Johan [Jaaffar] tidak pernah menapis tuisan saya di akhbar tersebut [Utusan] – apa yang saya tulis itulah yang disiarkan. Hanya pada waktu-waktu tertentu, seperti waktu menjelang pilihanraya, saya sendiri biasanya secara sedar akan berhenti menulis untuk beberapa minggu, kerana saya tidak sanggup menjadi sebahagian daripada “kegiatan gila” akhbar tersebut dalam memainkan peranan politiknya sebagai alat dan jentera pilihanraya BN. [hal. xviii]
“Kegilaan” itu dalam kerangka Utusan bukanlah sesuatu yang baru, tetapi sudah merupakan sifat semula jadinya dalam menghadapi pilihanraya – dan untuk beberapa tahun “kegilaan” itu memanglah diarahkan sendiri oleh Zainuddin Maidin sebagai Ketua Editor Kumpulan.
Dan kini, kerana orang yang sama sudah berjawatan Menteri Penerangan, maka tebaran pola “kegilaan” itu pastilah menjadi lebih luas pula – meliputi semua media cetak dan elektronik arus utama yang secara langsung, atau tidak langsung, dikuasai dan diperalatkan oleh pemerintah.
Saya dapat mengesan pola “kegilaan” yang sama khususnya sejak kempen pilihanraya kecil DUN Ijok – dengan beberapa stesen radio menyiarkan segmen “blooper” Khalid Ibrahim (yang mungkin telah diedit begitu rupa) maupun adegan rentak tari Anwar Ibrahim dan akhbar-akhbar dengan putaran (spin) beritanya yang begitu kreatif.
Dan kini pola “kegilaan” itu tampaknya diteruskan, meskipun kempen di Ijok itu sebenarnya sudah berakhir – termasuklah siaran pelbagai treler proganda yang amat memualkan dan penyiaran segmen berulang kali yang berjudul “Antara Evolusi dan Revolusi” yang kononnya diarahkan sendiri oleh Zainuddin Maidin.
Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang lama tentang pola penyiaran dan kewartawanan yang sejak lama diamalkan sewaktu berhadapan dengan pilihanraya, maka bagi saya pola “kegilaan” media di bawah arahan Zainuddin ini merupakan pertanda yag lebih meyakinkan berbanding sebarang pertanda lainnya sebagai bukti bahawa PRU akan menjelang dalam masa terdekat.
Dan, hari demi hari, “kegilaan” itu akan menjadi lebih parah lagi – sehinggalah PRU itu sendiri berakhir kelak dan media negara ini akan kembali lagi ke tahap penindasannya yang biasa, kira-kira searas dengan Zimbabwe.
Wednesday, May 30, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment