Sunday, February 3, 2008

Selamat Tahun Baru Cina



Warga KeAdilan Gombak mengucapkan Selamat Menyambut Tahu Baru Cina kepada seluruh rakyat dan peyokong dan pendokong parti yang menyambut perayaan ini. Gong Xi Fa Chai.

Kebimbangan Di Sebalik Cakap Besar Pilihan Raya


A Kadir Jasin

TUNJUK berani, cakap besar, malu-malu kucing dan lembut leher sudah muncul sebagai ciri dan taktik pilihan raya umum (PRU).

Parti-parti pemerintah dan pembangkang sudah mula tunjuk berani dan cakap besar manakala pembesar politik pula ada yang secara terbuka menawarkan diri untuk menjadi calon dan yang lain pula malu-malu kucing. Dalam hati bagai nak mati hendak jadi calon, di mulut kata tidak.

Barisan Nasional misalnya, bercakap mengenai menyapu bersih semua dewan undangan negeri, termasuk Kelantan yang kini dikuasai Pas.

Sebaliknya Pas yakin mempertahankan Kelantan, memenangi semula Terengganu dan merampas Kedah. Keadilan dengan “rakan-rakan kongsinya” amat yakin merampas Pulau Pinang dan mencapai prestasi baik di Sarawak.

Di kalangan individu, teka-teki dan teka-meneka semakin menjadi-jadi. Ada yang kata hidup mati dia akan bertanding. Ada yang kata belum buat keputusan. Dan rata-rata mengatakan mereka berserah kepada parti.

Saranan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi agar rakyat jelata yang tidak puas hati dengan pemerintah menggunakan pilihan raya untuk “menunjuk perasaan” telah mula dijawab.

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad misalnya, menyarankan agar ahli dan penyokong Umno menggunakan PRU akan datang bagi “membersihkan” parti itu.

Katanya, tiada jalan lain untuk membersihkan parti itu daripada pemimpin yang tidak cekap dan tidak amanah kerana segala percubaan menegur dan mengubah kepemimpinan serta dasar parti dari dalam telah digagalkan.

Isu Dalaman Ancam BN

Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, pula dilaporkan oleh Mingguan Malaysia hari ini sebagai mengingatkan pemimpin dan ahli Umno agar tidak meluahkan perasaan tidak puas hati mengenai kedudukan mereka sebagai calon melalui media massa.

Kebimbangan Najib semakin menjadi kenyataan bermula dengan pergolakan dalaman seperti yang sedang berlaku di Perlis. Pertikaman lidah antara pembesar Umno negeri itu sudah menjadi hidangan sensasi media massa buat beberapa minggu.

Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Shahidan Kassim sedang menghadapi ujian paling hebat dalam kerjaya politiknya dengan pelbagai tuduhan berbentuk politik dan peribadi.

Ketua MIC, S. Samy Vellu pula dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai berkata dia mesti bertanding kerana dia “tidak pernah berasa penat untuk berkhidmat kepada rakyat dan tidak akan berhenti menerajui parti MIC demi pembangunan dan kemajuan kaum India di negara ini.”

Harap-harap dia tidak lupa kepada orang Melayu dan Cina kerana dia menang di Sungai Siput atas ihsan pengundi Melayu dan Cina. Ini kerana hanya 22.5 peratus pemilih Sungai Siput adalah orang India.

“Saya mesti bertanding lagi. Kepala tidak ada, mana boleh badan ada lagi,” katanya.

Bergantunglah kepada makhluk mana yang Samy Vellu andaikan. Kalau lembu atau ular, tentulah ia akan mati jika kepalanya dipotong. Tetapi kalau ia cacing, kepala lama tidak mati dan kepala baru akan tumbuh jika ia dipotong dua atau tiga sekali pun.

Soalnya, apakah tunjuk perasaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), penangkapan mereka yang terbabit dan penahan beberapa pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan membantu Samy Vellu dan MIC? Atau akan membuat orang India menolak MIC.

Adakah majoriti pengundi India boleh ditenteramkan jiwa mereka untuk kembali menyokong MIC dengan Abdullah mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti awam dan ikrar tidak merobohkan kuil haram?

Calon MIC Bergantung Kepada Bukan India

Ironinya, Samy Vellu dan majoriti calon MIC mungkin terus terpilih kerana mereka bergantung kepada undi Melayu dan Cina yang berupa pengundi majoriti di kerusi-kerusi yang mereka tandingi. Hakikatnya tidak wujud sebuah pun kerusi majoriti India.

Di Sungai Siput, kawasan Samy Vellu, pengundi India pada 2004 hanya 22.5 peratus. Dengan penghijrahan orang India miskin dan pekerja ladang ke bandar, bilangan itu mungkin lebih kecil kini. Di kawasan Timbalan Presiden MIC G. Palanivel, Ulu Selangor hanya 19 peratus pemilih orang India.

Kawasan paling banyak pengundi India adalah DUN Buntong di Perak dengan 45.3 peratus pemilih India, tetapi pada tahun 2004 ia ditandingi oleh calon MCA.

Pada PRU 2004, Samy Vellu mendapat undi majoriti 10,235 menewaskan calon DAP, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj. Pada PRU 1999, majoriti beliau adalah 5,259.

Ahli Parlimen Serdang, Yap Pian Hon dari MCA pula dilaporkan tidak gentar jika DAP meletakkan penulis blog terkenal, Jeff Ooi untuk menentangnya.

Sebaliknya dia cukup yakin dapat mengulangi kemenangan besar PRU 2004. Katanya: "Pada bulan Mac tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri telah memuji saya sebagai antara Ahli Parlimen yang paling cergas berkhidmat kepada rakyat.

"Saya yakin prestasi baik yang saya tunjukkan sejak berdekad-dekad lalu dapat membantu kemenangan BN di kerusi Parlimen Serdang dan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalam Parlimen itu," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Saya tidak mengatakan Pian Hon tidak bekerja kuat, tetapi mengatakan dia tidak gentar mungkin cakap besar untuk melapangkan dada.

Serdang adalah kawasan bandar yang komposisi pemilihnya agak seimbang antara Melayu dan bukan Melayu di mana terdapat sokongan yang kuat kepada DAP dan Pas. Pada PRU 1999, Pas memenangi salah satu daripada kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Serdang iaitu Bangi.

Pada PRU 2004, Pian Hon menang dengan 11,280 undi majoriti daripada 57,812 undi sah. Pada PRU 1999 dia menang dengan hanya 4,099 undi majoriti daripada 70,911 undi sah.

Kalau benar blogger dan perunding teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) Jeff Ooi Chuan Aun dicalonkan oleh DAP untuk menentang Pian Hon, kita boleh menjangkakan pertandingan yang menarik antara dua calon Cina yang fasih berbahasa Melayu daripada dua generasi berlainan.

Jeff Ooi, sebagai salah seorang pelopor pendemokrasian maklumat melalui ICT, blogger terawal dengan blognya Screenshots dan penggiat politik keturunan Cina yang berpendidikan Melayu pasti menarik perhatian pengundi pelbagai kaum, khasnya daripada institusi-institusi pengajian tinggi dan penyelidikan di sekitar kawasan Bangi-Serdang.

Jeff Ooi belajar di Sekolah Menengah Pendang, Kedah hingga tingkatan lima dan sebelum ini menganggotai Parti Gerakan.

Utusan Malaysia meramalkan persaingan di kerusi Parlimen Serdang dijangka lebih sengit pada pilihan raya akan datang kerana DAP dijangka meletakkan Jeff Ooi.

Ia menambah, kedudukan Pian Hon dalam MCA, bagaimanapun, tergugat selepas gagal mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Serdang dan Naib Presiden MCA dalam pemilihan parti 2005.

Skandal Cemar Imej MCA

Apa yang bakal dihadapi oleh Pian Hon sebenarnya amat kecil berbanding kesan dua skandal besar iaitu video lucah Chua Soi Lek dan kerugian besar Port Klang Free Zone yang mengheret Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choi.

Perebutan kerusi Chua di Johor yang dikatakan membabitkan anak Chua dan anak Ling Liong Sik, dan kemungkinan Chan tidak bertanding semula akan menjadi cabaran besar kepada MCA pada saat-saat pengundi Cina semakin resah akibat suasana ekonomi yang tidak menentu.

Sementara Pengerusi MIC Johor, K.S Balakrishnan pula berkata dia sudah penat untuk bertanding dalam PRU akan datang, “tetapi kalau diberi peluang saya akan bertanding dan meneruskan perjuangan.”

Satu lagi putar belit politik dan politikus.

Faktor KJ Jadi Perhatian

Putera mahkota Umno, Khairy Jamaluddin pula dilaporkan oleh Utusan Malaysia sebagai enggan mengulas kedudukannya sebagai calon.
"Saya tidak akan bercakap mengenainya," katanya.

Tetapi sumber-sumber lain pula mengatakan tidak syak lagi dia akan bertanding. Saya sendiri berasa beliau akan dicalonkan untuk kerusi Parlimen Rembau menggantikan Firdaus Mohammad Rom bin Harun.

Walaupun benar seperti katanya bahawa calon pilihan raya ditentukan oleh pucuk pimpinan parti, tetapi umum lebih daripada maklum mengenai pengaruh Khairy ke atas Perdana Menteri.

Sementara itu, Menteri Penerangan Zainuddin Maidin pula bermati-matian berkata, dia mahu bertanding semula untuk mempertahankan kerusi Merbok.

Pada 26 Januari, Bernama melaporkan Zainuddin sebagai berkata calon pembangkang Merbok pada PRU akan datang bakal hilang wang pertaruhan.

Sepanjang ingatan saya, tiada calon pembangkang hilang pertaruhan di kawasan itu sejak pilihan raya umum 1955. Pada PRU 1995, calon Semangat 46 memperoleh 8,924 daripada 40,049 undi sah. Pada PRU 1999, calon Keadilan mendapat 14,909 daripada 45,246 undi sah dan pada PRU 2004, pencabar Zainuddin dari Keadilan memperoleh 14,162 undi daripada 43,839 undi sah.

Jadi, adakah masuk akal dalam tempoh empat tahun, BN dan Zainuddin menjadi begitu kuat dan pembangkang begitu lemah sehingga calonnya akan kehilangan deposit?

Bagi seorang “reluctant politician” Zam nampaknya sudah menjadi begitu selesa dan amat yakin dia mampu memberi pukulan maut kepada calon parti lawan.

Apakah kerana keakrabannya dengan Perdana Menteri maka Zainuddin sejak awal-awal lagi sudah direstui oleh Perdana Menteri untuk “mengumumkan” pencalonannya? Apa kata Umno Merbok?

Permatang Pauh Uji Kebolehan Hishammuddin

Dan mengapa Hishammuddin Hussein, orang Johor, dilantik mengepalai gerak gempur BN terhadap Keadilan di Permatang Pauh?

Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy ketika mengumumkan perkara itu memberitahu bahawa pelantikan Hishammuddin telah diluluskan oleh Majlis Tertinggi UMNO dengan persetujuan Abdullah.

Apakah kerana dia begitu hebat atau dia sesuai menggempur seorang penjawat wanita, iaitu Dr Wan Azizah Wan Ismail? Atau adakah kerana majoriti Wan Azizah begitu tipis – hanya 590 undi?

Namun elok juga Hishammuddin diberi tugas itu, setidak-tidaknya bagi menguji ketokohannya kerana selama ini dia belum pernah mengalami ujian besar.

Sebaliknya jika cakap Khairy dilaporkan dengan tepat oleh media massa arus perdana, maka kita boleh membuat kesimpulan bahawa Hishammuddin begitu yakin dengan kewibawaan dan kemampuannya.

Menurut menantu Perdana Menteri itu, Hishammuddin berjanji kepada Perdana Menteri untuk menjadi bapa angkat Permatang Pauh dan menyatakan komitmen 100 peratus memastikan Permatang Pauh kembali kepada UMNO.

Tetapi tugas menggempur Permatang Pauh itu boleh bertukar menjadi senjata makan tuan jika dia gagal mengembalikan Permatang Pauh ke pangkuan Umno.

Sengaja disebutkan yang Anwar Ibrahim, tanpa sebarang jawatan dalam Umno, merampas kerusi itu daripada Pas dalam PRU 1982.

Sejahtera, Aman dan Makmur

Apa pun, episod-episod dan perkembangan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada sandiwara, wayang kulit dan silat kuntau politik menjelang pilihan raya.

Banyak lagi akan berlaku untuk menghiburkan kita yang sudah pun terhibur dengan lawak jenaka “perbicaraan” rakaman video V.K. Lingam.

Dengan latar belakang ini, tercetus persoalan: Apakah BN mampu meyakinkan pengundi bahawa kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang mereka idamkan akan menjadi kenyataan setelah janji kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan PRU 2004 semakin dicurigai?

Hanya masa menentukan.

Angka 8 akan hancurkan Khir Toyo


Menurut satu berita dalam laman internet, Khir Toyo berkata beliau berharap angka 8 akan membawa tuah kepadanya. " Saya harap tahun ini, tahun ‘ong’ bagi negeri Selangor,” kata Menteri Besar itu selepas menyatakan jika angka 8 itu membawa tuah kepada orang Cina, beliau juga berharap demikian.

Malah, katanya banyak yang berkaitan angka 8 boleh ditafsirkannya.

Khir, Khir. Engkau tak tau angka 8 tahun ini akan membawa kehancuran kepada kau. banyak isu-isu di Negeri Selangor kebelakangan ini menyebelahi pihak pembangkang. Banyak isu.isu setinggan, isu pelabuhan Klang, isu barang naik, isu rasuah Khir dan konco-konconya, isu HINDRAF yang membawa ramainya masyarakat India kini menyokong KeAdilan dan PAS dan banyak lagi isu.

Harap-harap angka 8 tahun ini akan menjadi mimpi ngeri buat Khir Toyo.

Hanya UMNO maksum


Hanya parti UMNO yang maksum. Banyak jasa dan tak buat dosa kepada rakyat. Apa yang UMNO buat semuanya baik belaka. Walaupun penjara orang yang tak bersalah dalam ISA. Walaupun guna polis untuk menekan rakyat dan membelasah dan menangkap rakyat yg berkumpul secara aman. Semuanya baik belaka. Tapi kalau pembangkang mengoyak gambar Rashit @ Rashid Pengerusi SPR seolahnya satu dosa besar yang tak boleh diampun. Dosa RaSHIT @ Rashid kepada rakyat kerana bersekongkol dengan UMNO/BN memperbodohkan rakyat dalam pilihanraya , bagaimana?

Friday, February 1, 2008

Doakan kesejahteraan buat Dato' Sheikh Azmi


Warga KeAdilan Gombak mendoakan kesejahteraan dan segera sembuh kepada mantan Naib Presiden Parti KeAdilan Nasional, Dato' Sheikh Azmi yan kini sedang mendapat rawatan di KBMC selepas menjalani pembedahan. Beliau amat berjasa kepada gerakan reformasi dan Parti KeAdilan Nasional dulu. Semoga beliau dan keluarga sentiasa di lindungi Allah S.W.T. Amin.

Berita Gempar Dari Gombak


Dikhabarkan bahawa UMNO/BN Gombak kepanasan apabila mendapat tau bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Gombak. Itu baru mendengar khabar-khabar angin, belum lagi realiti. Dikhabarkan juga UMNO/BN sanggup keluar berapa saja wang dan peruntukan untuk Parlimen Gombak, kalau betul DSAI bertanding disini. Hai bertuahlah rakyat Gombak kalau betul Anwar bertanding disini. Umpama dapat durian runtuh. Minta apa saja pasti dapat. Tapi rakyat Gombak bukan bebal. Mereka tau yang mana intan yang mana kaca. Kalau betullah Anwar bertanding di Gombak, siapa pula calon yang akan dikemukan UMNO/BN? Ahmad Bujang ke, Dr Mashitah ke ( dengar2), atau Said Anuar atau Khairy Jamaludin? hehehe...berani ke?

Tapi apa-apa pun , itu cuma khabar yang belum disahkan.

Antara Mahathir dan Pak Lah, Siapa Bohong?




Oleh: Abdul Halim Mohd Rashid

Apabila dua orang membuat dakwaan saling bertentangan, salah seorang mesti berbohong. Utusan Malaysia melaporkan:

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tidak wujud perjanjian dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri hanya sepenggal.

Kalau Dr Mahathir bercakap benar, Perdana Menteri berbohong. Kalau Perdana Menteri bercakap benar, Dr Mahathir berbohong. Tidak mungkin kedua-duanya bercakap benar.

Kalau Dr Mahathir berbohong, kita mempunyai seorang bekas Perdana Menteri yang pembohong. Kepimpinannya sudah menjadi sejarah, walaupun sejarah rajin sangat menceleretkan tahi dan najis ke atas kehidupan kita.

Tetapi kalau Dr Mahathir bercakap benar, ia bermakna kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang pembohong. Mempunyai Perdana Menteri yang pembohong amat membahayakan negara. Lebih buruk lagi, tahi dan najis yang akan ditinggalkan oleh Perdana Menteri pembohong akan mengancam keselamatan anak-cucu kita.

Cerita satu penggal mempunyai sejarahnya sendiri. Jika Dr Mahathir tidak bohong, ia dengan sendirinya menjelaskan mengapa Abdullah begitu liat hendak melantik Najib sebagai timbalannya.

Abdullah menjadi yang Perdana Menteri pada 31 Oktober 1993 mengambil masa hampir tiga bulan sebelum melantik Najib pada 7 Januari 2004. Itupun, setelah Dr Mahathir dikatakan campur tangan.

Ia juga dengan sendirinya menjelaskan mengapa Abdullah sebelum ini beria-ia menyatakan beliau bukan Perdana Menteri satu penggal.

Kecuali Allah, hampir tidak ada siapa yang boleh menghalau Abdullah dari kerusi penuh kuasa dan puaka itu. Berpuaka jika kuasa disalahgunakan.

Hendak harapkan Umno dan Barisan Nasional (BN)? Bukankah Dr Mahathir telah menyatakan, BN tidak mungkin dapat membersihkan dirinya sendiri.

Umno tak payah cakaplah. Dr Mahathir berkata, tiada harapan untuk Umno membersihkan parti itu dari dalam kerana sebarang pandangan yang bertentangan dari ahli parti, akan dikekang.

Hendak kalahkan Perdana Menteri di dalam pilihan raya? Bukan mudah. Kalaupun beliau dikalahkan, beliau masih boleh menjadi ahli Dewan Negara untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Bohong satu hal. Lebih penting untuk ditanyakan, adakah Perdana Menteri tunggul mati (deadwood atau tidak berguna)?

Ketika ditanya adakah Abdullah boleh dianggap tunggul mati, Dr Mahathir enggan menafikannya. Beliau hanya berkata: "Saya tidak tahu apa pandangan saya, tetapi saya tahu saya mempunyai perbezaan pendapat dengannya".

Hakikat bahawa Dr Mahathir enggan menafikan bahawa Abdullah adalah tunggul mati boleh mengundang tafsiran bahawa bekas Perdana Menteri itu menganggap Abdullah adalah sedemikian.

Jika tidak, tentulah Dr Mahathir memberikan jawapan yang menafikan bahawa Abdullah adalah tunggul mati. Adakah Abdulah memang tunggul mati?

Memburukkan lagi nasib negara ini ialah apabila Dr Mahathir berkata, pilihanraya umum akan datang "boleh jadi" yang paling kotor.

Bekas Perdana Menteri menyuarakan kebimbangnnya terhadap penggunaan "cara-cara haram" untuk mempengaruhi pengundi dan memenangi pilihanraya.

Apabila diminta membuktikan dakwaannya mungkin berlaku pembelian undi, Dr Mahathir menjawab, kebimbangannya itu berdasarkan pengalamannya dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu pada 2006 serta sewaktu pilihanraya kecil tahun lalu.

"Dalam kes saya (pemilihan Umno Kubang Pasu), saya telah membuktikan bahawa mereka (perwakilan) dirasuah. Saya menjangka amalam ini akan berterusan sewaktu pilihanraya umum," katanya.

Pada 2006, Dr Mahathir mendakwa berlaku rasuah dalam pemilihan Umno bahagian Kubang Pasu untuk menghalang beliau daripada dipilih sebagai perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Bagaimanapun, Jawatankuasa Disiplin Umno telah membersihkan bahagian tersebut dari sebarang salahlaku.

Jika cara-cara paling kotor dan haram memenangkan lagi parti yang diketuai oleh Perdana Menteri yang mungkin berbohong dan tidak dinafikan pula beliau adalah tunggul mati oleh Dr Mahathir, apa nak jadi negara ini?

Tak habis lagi. Nak tanya sikit, siapa pandai ajar pengundi-pengundi kita berfikir dengan waras?

TERKINI DARI GOMBAK

DUN Batu Caves akan mengadakan kursus PACA untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada ahli-ahli. Kursus trsebut akan di adakan :-

Pada : 5hb Feb 2008
Jam : 8pm - 11.30pm
Tempat : Bilik Gerakan KeAdilan DUN Batu Caves ( atas Foto Zooom, Selayang Baru)

Semua ahli yang berminat untuk menjadi PACA dan Counting agent, sila hadir.

Bila Barisan Nasional Menjadi Gangster


Oleh : Ketua Perusuh

Pernahkan anda digertak, diugut ataupun diberikan amaran oleh pembuli masa anda bersekolah dahulu. Jika anda pernah bersekolah di sekolah berasrama, tentunya anda pernah mengalaminya. Persoalannya kenapa disekolah berasrama mahupun sekolah harian, kita dengan mudah boleh bertemu dengan pembuli ataupun gangster.

Ada satu peribahasa Melayu yang berbunyi “Kecil-kecil tidak mahu mati, sudah besar menyusahkan orang lain pula”. Pernahkan anda mendengarnya dan tahukah anda maksud disebaliknya. Jika anda tahu, peribahasa ini memanglah sesuai jika dikenakan (dilabelkan) kepada mana-mana pembuli atau gangster.

Kalau dalam cerita kartun (Doraemon), watak pembuli ataupun gangster biasanya dilakonkan oleh Giant dan balachi kepada pembuli ini dilakonkan oleh Sunio. Dalam filem Tamil pula biasanya watak pembuli kita boleh lihat dipaparkan dari kumpulan orang-orang kaya dan berharta. Malah banyak juga cerita Tamil yang memaparkan ahli politik mereka yang korup dan pembuli. Pembuli dalam cerita Tamil biasanya akan menggunakan polis (yang dibeli dengan wang ringgit) serta peguam atau hakim.

Itu semua dalam cerita wayang atau drama yang boleh kita semua tonton dikaca televisyen atau layar perak. Tapi jangan terkejut jika watak-watak yang sama juga anda boleh saksikan di Malaysia dewasa ini. Kalau dalam cerita Tamil, watak pembuli atau gangster dibawa oleh ahli politik atau hartawan, serta dibantu oleh polis, peguam dan hakim, begitu juga yang boleh kita dapati dengan memerhatikan beberapa insiden yang berlaku di Malaysia.

Tidak cukup dengan ugutan supaya tidak memilih (mengundi pembangkang) didalam pilihanraya umum ke-12 yang akan datang, Barisan Nasional berani pula memperalatkan pihak polis untuk mematahkan mana-mana perhimpunan rakyat (yang dibenarkan oleh undang-undang) dengan alasan yang dangkal. Malah untuk memastikan bahawa rakyat berjaya ditakutkan, Barisan Nasional berani pula mempergunakan para hakim dan majistret untuk mengeluarkan arahan melarang perhimpunan awam dengan alasan yang dangkal. Malah terdapat beberapa peguam di Malaysia yang dikenalpasti memang melacurkan diri mereka khusus kepada Barisan Nasional.

Nampak gayanya di Malaysia kini budaya gangsterisme sedang meningkat naik sejajar dengan suasana. Malah Kementerian Pelajaran Tinggi juga menggunakan khidmat pelajar pembuli (gangster) yang memang ramai di dalam IPTA untuk mengugut dan membuli pelajar-pelajar lain yang tidak bersedia menyokong (melacurkan diri mereka) kepada Barisan Nasional.

Ada peribahasa yang berbunyi “Bapa Borek Anak Rintik” maka begitulah yang berlaku kepada Barisan Nasional. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Najib Razak bilamana Abdullah Ahmad Badawi dengan terang-terangan mengugut dan memberi amaran bahawa rakyat akan menjadi mangsa sekiranya memilih untuk tidak menyokong Barisan Nasional. Setelah Abdullah Ahmad Badawi memulakan bicara, maka ramai balachi termasuk Khairy Jamaluddin (pembuli besar) yang kini telah mula menunjukkan taring mereka untuk mengugut, mengertak dan membuli rakyat.

Oleh yang demikian kepada semua rakyat Malaysia ingin saya menegaskan disini bahawa janganlah anda menjadi pengecut dan sanggup diperalatkan oleh Barisan Nasional. Cukuplah sekadar pihak polis, majistret, hakim dan beberapa peguam diperalatkan oleh Barisan Nasional.

JANGAN JADI MANGSA BULI DAN JANGAN JADI PENGECUT.

Thursday, January 31, 2008

Terharu dan bangga


Murad di sebelah kiri sekali.


Agak terkejut juga melihatkan gambar anak saudara saya, Ahmad Murad bersama-sama dgn Sdr Shamsul Iskandar , Ketua AMK sewaktu program AMK Bahagian Padang Rengas. Rupa-rupanya termakan juga nasihat dan galakan saya kepada beliau untuk bergerak aktif dalam KeAdilan. Beliau kini merupakan Timbalan Ketua AMK Bahagian Padang Rengas. Tahniah saya kepada beliau. Terharu dan bangga sebagai bapa saudara. Semoga beliau terus aktif dan komited kepada perjuangan. Memang beliau selalu menjadikan saya sebagai rujukan dan bahan perbincangan setiap kali saya pulang ke kampung saya, Padang Rengas, Perak.

Ezam pohon jadi calon keADILan, Anwar beri syarat

Oleh Zulkifli Mohamed

Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) KeADILan, Mohamad Ezam Mohd Noor telah memohon untuk menyertai semula keADILan dan menjadi calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Hasratnya itu telah disampaikan kepada salah seorang Ketua AMK di Selangor, yang kemudiannya telah membawanya ke pengetahuan salah seorang Naib Presiden parti itu.

Beliau kemudiannya telah mengemukakan hasrat Ezam itu ke mesyuarat tertinggi parti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun difahamkan Ketua Umum keADILan Anwar Ibrahim, telah meletakkan syarat agar Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti ekoran tohmahan beliau ketika mengisytiharkan keluar parti itu pada Jun tahun lalu, sebelum permohonan beliau dipertimbangkan.

"Anwar mahu Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti," jelas sumber parti itu kepada Malaysia Today.
Difahamkan kata putus Anwar itu telah mematikan perbincangan lanjut permohonan tersebut.

Ezam ketika mengumumkan keluar parti, menuduh Anwar bersikap seperti seorang "diktator" tetapi menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang "lemah". Beliau juga mendakwa, Anwar berada "di bawah telunjuk" salah seorang Naib Presiden Azmin Ali.

Semuanya gara-gara pemilihan kongres tahunan parti itu tahun lalu yang membabitkan pencalonan penyandang jawatan Timbalan Presiden Dr Syed Hussin dengan pencabarnya Azmin Ali.

Ezam dikatakan membantah hasrat Azmin itu yang mahukan status quo dikekalkan, sementara Azmin mahukan amalan demokrasi subur dalam parti.

Azmin kemudiannya menarik balik hasratnya untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu dan mempertahankan jawatan naib presiden.

Dia dikatakan mengambil keputusan itu selepas Anwar menasihatkannya supaya berbuat demikian selepas Syed Husin mahu mempertahankan jawatannya itu.

Bagaimanapun, keputusan Azmin itu masih tidak memuaskan hati Ezam, apabila beliau membuat satu lagi tuduhan.

"Memandangkan Anwar telah menghalang Azmin daripada bertanding jawatan timbalan presiden, maka dia (Azmin) kemudiannya menghalang Anwar daripada bertanding jawatan tertinggi parti itu," dakwa Ezam seperti laporan sebuah web berita.

Beliau merujuk kepada keputusan Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada saat-saat akhir, kerana terhalang oleh peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ezam yang kini sebagai Pengerusi Gerakan Anti Korupsi mengumumkan baru-baru ini bahawa beliau telah dilamar oleh sekurang-kurangnya tiga parti untuk menjadi calon pilihan raya.

Desas desus paling kuat, kononnya Umno Selangor telah menawarkan beliau sebagai calon. Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Dr Khir Toyo kemudiannya menyangkal khabar angin itu.

Katanya Ezam belum memohon menyertai Umno, bahkan menjelaskan parti itu tidak mungkin memilih Ezam kerana mereka tidak ketandusan calon.

Wednesday, January 30, 2008


Terkini dari Gombak

Mesyuarat bersama AJK Bahagian, Wanita dan AMK KeAdilan Gombak akan di adakan pada malam ini, jam 8 malam di pejabat bahagian khusus untuk membicarakan persiapan pilihanraya dan isu-isu terkini. Semua AJK Bahagian, wanita dan AMK serta ketua JDM di jemput hadir.

terima kasih.

Takziah



Warga KeAdilan Gombak mengucapkan ucapan takziah kepada 2 insan yang menyumbang kepada masyarakat dengan cara mereka masing-masing. Allahyarham Dato' Ishak Baharom dan Allahyarham Rosli Khamis @ Loloq yang kembali kerahmatullah semalam. Dato' Ishak Baharom , bekas mufti Selangor yang dipecat kerana megenakan hukuman keatas 2 orang model wanita beragama islam yang menyertai pertandingan ratu cantik. Beliau seorang yang tegas dan kuat berpegang kepada prinsip, bergiat sebagai pendakwah bebas dan ahli majlis Syura PAS.

Loloq, seorang anak seni yang kreatif. Berasal dari Singapura, banyak berkarya menulis skrip lagu yang popular antara Aduh Saleha nyanyian Mawi. Turut juga aktif dalam lakonan filem seperti Zombi Kampung Pisang dan Man Laksa. Saya adalah seorang peminat beliau. Dikhabar kan beliau juga amat mesra dan akrab dengan penyokong2 BA di BB Sg Buloh.

Semoga roh kedua2 mereka dicucuri rahmat . Amin.

Selangor kenakan bayaran jika tadah air hujan

Oleh Abdul Razak Ismail

KOLUMNIS R.Nadeswaran (Citizen Nades) dari The SUN hari ini membongkar 'kegilaan' kerajaan Selangor dibawah pentadbiran Khir Toyo melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengenakan caj bayaran kepada mana-mana pihak atau individu yang didapati menakong atau menadah air hujan dipremis masing-masing di mana-mana tempat di negeri Selangor.

Ini dinyatakan dalam satu surat pekelilingnya bertarikh 2 Januari lalu yang mengatakan sebarang penggunaan air hujan atau pihak LUAS menggunakan terma " pengambilan air permukaan" adalah tertaklok dibawah seksyen 2, 6, 40, 41, 44 dan 107 Enakmen LUAS 1999.

Dimana pihak-pihak berkenaan perlu mendapatkan kebenaran LUAS terlebih dahulu lantaran kemudiannya akan dikena sejumlah caj bagi penggunaan 'air permukaan' tersebut.

Perkara ini di pertikaikan oleh pengusaha-pengusaha kelab-kelab golf yang mengatakan bahawa kolam-kolam takungan mereka merupakan sebahagian dari lankskap lapangan golf yang juga bertindak sebagai kolam takungan mencegah banjir disamping airnya digunakan untuk menyiram rumput di lapangan golf mereka.

Sesetengah kilang menggunakan air hujan kitar semula dipremis mereka untuk operasi kilang mereka dengan jumlah yang banyak dan berpendapat bahawa tindakan LUAS sudah keterlaluan kerana mereka menggunakan air
yang 'turun dari langit' dan mempersoalkan kenapa pulak LUAS mengenakan bayaran sedangkan air tersebut tidak diproses oleh LUAS.

Walaupun apajua seksyen dan enakmen yang digunapakai oleh LUAS tetapi secara logiknya dimana letaknya 'Hak' LUAS terhadap air semulajadi yang turun dari langit kurnian Tuhan yang ditakungkan di premis
persendirian. Bila pulak LUAS mengeluarkan kos bagi membina takungan-takungan atau kolam-kolam di kilang-kilang ataupun kelab-kelab golf tersebut ?

Apakah perbendaharaan kerajaan Selangor yang baru-baru ini telah diisytiharkan 'negeri maju' sudah kekeringan hingga memaksa mereka mengenakan bayaran bagi mengambil air hujan.

Mungkin satu hari nanti ada agensi kerajaan negeri Selangor akan mengetuk pintu rumah anda dan mengeluarkan resit meminta bayaran ke atas udara yang anda sedut.

Tuesday, January 29, 2008

Ternyata Pak Lah menipu kakitangan awam


Semalam saya ada menyebut mengenai penipuan Pak Lah mengenai kedudukan Malaysia sewaktu bertemu kakitangan awam. Ternyata kenyataan saya benar seperti mana kenyataan akhbar oleh DSAI. Lihat kenyataan DSAI.

Daya Saing Malaysia ke-8 didunia?
Telitikan data sebenar

Dakwaan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bahawa Malaysia kini di tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara adalah satu fakta yang sengaja diputarbelitkan.

Penelitian menyeluruh kepada data yang dikeluarkan mendapati bahawa fakta tersebut adalah betul tetapi hanya di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke atas.

Merujuk kepada Laporan Daya Saing Dunia 2007 seperti yang dipetik oleh Perdana Menteri, hakikatnya Malaysia hanya menduduki tempat ke 23 di dalam dunia. 15 daripada 22 negara yang menduduki tangga lebih tinggi di atas Malaysia pada tahun 2007 mempunyai populasi kurang daripada 20 juta penduduk, manakala 7 daripada 22 negara tersebut melebihi 20 juta penduduk.

Kedudukan kebolehsaingan Malaysia pada tahun 2006 adalah di tangga 22, dan pada tahun 1997 di tangga ke-17.

Keputusan Abdullah untuk mengeluarkan fakta yang bercelaru ini adalah usaha yang sangat lemah untuk menyembunyikan fakta bahawa asas-asas ekonomi Malaysia telah gagal bergerak di bawah pemerintahannya.

Daya saing Malaysia semakin merosot dan dalam keadaan di mana ekonomi kita dulunya setaraf dengan Singapura dan Hong Kong, kita sekarang di kedudukan ke 23 di seluruh dunia, manakala Singapura di kedudukan kedua dan Hong Kong ketiga.

Jelasnya, kita memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa sekiranya Malaysia ingin memperkasakan ekonominya sebagai gagasan ekonomi bertaraf global.

ANWAR IBRAHIM

Monday, January 28, 2008

Pak Lah tipu


Semalam , dalam pertemuan di Kakitangan awam di Putrajaya, Paklah dengan bangganya menyatakan bahawa Malaysia menduduki tangga ke 6 terbaik dunia dari sudut kecekapan menurut World Competitiveness Year Book yang dikeluarkan oleh IMD berpusat di Switzerland. Hebat sungguh Malaysia ni. Tapi hebat lagi Pak Lah menipu.

Kita dapat tau bahawa kedudukan tersebut adalah pada tahun 2000 , bukannya sekarang. Dah 8 tahun benda tu berlalu. Apa yang dibanggakan sangat. Tahun 2000 tu, era pemerintahan Che Det kita. Kalau ikut semasa, entah ke berapa kedudukan Malaysia. Mungkin jauh tercorot, entah-entah di bawah Bangladesh atau Mali.

Hai, Pak Lah Pak Lah. Nak menipupun jangan la depan kakitangan awam. Depa bukan bodoh macam kau.

Sah pilihanraya makin-makin hampir


Memang sah. Pilihanraya akan berlangsung tak berapa lama saja lagi. Kalau lihat berita dalam media arus perdana , tak habis-habis "ghebang" (bahasa perak) pasal kehebatan BN dan betapa hampehnya pembangkang. Itu biasa ler. Memang keje dia. Mana ada musuh cakap benda yang baik pasal lawan dia. Cuma kita la yang patut bekerja kuat dan jangan dilayan berita-berita macam tu.

Bercakap pasal propaganda BN, aku cukup bangga dengan sikap anak aku yang baru darjah 6. Bila dengar Najib cakap PKR tu Parti kurang Relevan. secara spontan tanpa diajar dia kata "BN, Barang Naik". Bayangkan, budak darjah 6 pun tau sengsaranya mak bapak dia dibawah pemerintahan BN, barang-barang semuanya naik. Mari kita ubah kerajaan yang ada.

Satu berita yang aku dapat dari teman aku yang merupakan seorang pegawai kanan Kerajaan di sebuah jabatan, memang ada desakan dari dalam UMNO sendiri yang maukan Pak Lah di singkirkan sebagai PM. Benda ni memang berlaku sekarang. Kumpulan ini sedang usaha nak naikkan kembali Ku Li. Sebab tu dalam sehari dua ni, Ku Li banyak buat kenyataan menyerang PAS setelah sekian lama mendiamkan diri.

Tu sebab Pak Lah beriya-riya nakkan pilihanraya awal. Kononnya nak menunjukkan kepada kumpulan yang menentangnya dari dalam bahawa beliau masih ada sokongan ahli UMNO dan rakyat. Ada ke sokongan? kita lihat perkembangan seterusnya.

Ubah sebelum parah, Ubah demi maruah.

Wajah-wajah wira dan wirawati bangsa

Mereka bebas dengan ikat jamin RM1000 semalam.


Polis makin hilang maruah

CheguBard

Pada 26 Januari 2008 yang lepas kira – kira jam 3.30 petang saya bersama Mohd Azif Mohd Aris, Ketua Angkatan Muda Sepang telah sampai ke Jalan Ampang. Kehadiran polis bersama kenderaan Polis yang dalam jumlah yang luar biasa telah menyebabkan Jalan Ampang dan kawasan sekitarnya sesak.

Kenderaan yang dipandu Azif telah diletakkan berhampiran Restoran Nasi Kandar Pelita, Jalan Ampang. Ketika baru berjalan sekitar 150 meter dari kenderaan saya terdengar jeritan “tangkap budak tu….tangkap budak tu…dia suspek juga..tangkap cepat”

Sebaik sahaja saya cuba menoleh mencari punca suara itu, dua orang anggota polis merentan kedua tangan saya yang kemudian di ekori oleh beberapa orang anggota yang lain. Beberapa anggota polis menendang dan menumbuk kepala saya.

Saya di bawa ke trak polis, saya bertanya kenapa saya ditahan, tiada yang menjawab sebaliknya saya terus di tolak ke naik. Saya yang tidak puas hati terus menjerit “Hidup rakyat!!..Hidup Rakyat..!!”

Beberapa orang anggota polis telah naik ke trak dan cuba menolak saya ke dalam kandang yang berpagar dalam trak. Seorang anggota Polis yang bervest kuning telah menerjah ke dalam trak sambil menendang dan memukul saya. Dia juga mencarut dan memaki hamun seperti hilang akal. Dia menjerit “Fuck you !!...Pukimak engkau !!..Babi Komunis !!”. Perkataan itu disebut berulang ulang kali. Ramai yang berada di tempat kejadian menyaksikan kejadian tersebut.

Kejadian tersebut juga terakam dan di siarkan di http://www.youtube.com/watch?v=lkuysxjsP7Q&eurl=http://chegubard.blogspot.com/ dengan jelas kejadian yang dimaksudkan dan anggota polis terbabit boleh dilihat pada minit ke “1.54’ tanyangan video tersebut.

Dalam trak yang sama juga terdapat ramai tahanan lain antaranya ialah Dr. Nasir Hashim (Presiden PSM) dan Syed Jaymal (wartawan Malaysiakini). Kami dibawa ke IPK KL. Sampai di perkarangan IPK KL, seorang pegawai polis berpangkat L/Kopral dengan tiba tiba memohon maaf dan merayu agar kami tidak ganas.

Dia berkata “ Encik – encik saya betul betul mohon maaf saya tak salah bukan saya yang tangkap…saya juga cari makan…harap encik – encik semua jangan kasar dan ganas…turun dan jalan perlahan ikut anggota polis…..”

Serentak dengan itu kami ketawa….Dr. Nasir terus menyindir sambil berkata berkata “Takpa lah saudara ..kami tahu polis hanya makan gaji …ikut arahan ….bukan ikut undang undang…kami ni bukan pengganas..kami takkan lari, kami bukan penakut..kalau kami penakut kami tak turun bela rakyat lawan BN yang zalim…kalau kami nak mengganas kami tak pilih jalan aman ini…”

Kami ditempatkan di cafeteria, IPK KL. Semua yang belum dirampas kad pengenalan diminta menyerahkan kad pengenalan.

Seorang anggota polis mendekati saya meminta diserahkan kad pengenalan. Saya menegaskan tidak akan menyerahkan kad pengenalan atau memberikan sebarang kerjasama sehingga ada pegawai polis menjelaskan kenapa saya ditahan.

Beberapa minit datang seorang pegawai polis berpangkat c/inspector dia mengatakan saya boleh tidak menyerahkan kad pengenalan tetapi harap bagi kerjasama dengan memberikan nama. Saya sekali lagi menegaskan bahawa saya tidak akan berkerjasama selagi saya tidak diberitahu kenapa saya ditahan dan diperkenalkan pegawai yang menahan saya. Pegawai Polis yang bertanyakan nama saya itu mengatakan beliau tidak terlibat dalam operasi hanya menjadi pegawai perakam. Saya menegaskan kalau tak tahu dan tak ada kena mengena jangan sibuk…saya tak nak cakap dengan orang yang tidak tahu…

Selepas beberapa minit datang sekumpulan anggota polis mengugut untuk membuat pemeriksaan dan merampas kad pengenalan. Saya menegaskan kepada mereka bahawa mereka tidak ada hak membuat pemeriksaan ke atas saya. Saya hanya menyerahkan barang – barang jika saya di lokap. Saya memberitahu jika mereka nak juga membuat pemeriksaan perlu mengeluarkan borang selongkar dan perlu ada pegawai kanan yang menandatangani borang tersebut. Mereka kelihatan keliru dengan penegasan saya dan mengatakan “ok kami akan Tanya bos kami dahulu”

Ketika yang sama S Arutchelvan dibawa terus ke lokap polis.

Lebih kurang jam 5.20 petang saya bangun dan berjumpa dengan salah seorang pegawai polis menyatakan saya ingin membuat laporan polis. Mereka meminta saya tunggu kerana semua pegawai sibuk. Jam 5.40 petang saya sekali lagi bertemu dengan pegawai polis menyatakan saya hendak membuat laporan polis. Pegawai tersebut menyatakan “nak buat report pasal apa…? Nanti lepas semua selesai baru buat report…boleh buat dekat mana mana balai..?”

Tindakan polis jelas tidak memahami dan menghormati undang-undang. Tahanan berhak membuat laporan inikan pula saya yang tidak pasti lagi statusnya. Saya terus dengan suara yang tinggi meminta hak saya untuk membuat laporan polis.

Jam 5.45 petang saya dibenarkan menulis sendiri laporan polis. Saya telah membuat aduan terhadap OCPD Dang Wangi, pegawai yang membuat tangkapan dan pegawai polis yang memukul dan mengeluarkan kata kata kesat. Dalam laporan tersebut saya juga menjelaskan mengenai tangkapan saya yang tidak mengikut prosedur dan mencabuli hak saya. Saya menjelaskan juga saya tidak akan memberikan sebarang kerjasama.

6.30 petang saya dipanggil bertemu dengan Pegawai (3paku) bernama Izani. Beliau memperkenalkan diri sebagai Pegawai Penyiasat terhadap laporan Polis saya dan akan merakamkan percakapan saya.

Sehingga jam 9.00 malam saya dihalang meninggalkan bangunan IPK KL tanpa diberikan sebarang alas an saya sudah hilang sabar !!

Saya berjumpa dengan pegawai penyiasat laporan polis saya, Izani. Saya meminta penjelasan kenapa saya ditahan. Beliau meminta saya bersabar sekejap untuk dia rujuk ke bosnya. Beliau minta saya tandatangan dokumen ….tanpa melihat apa dokumen tersebut saya menegaskan dengan suara tinggi saya tidak akan beri sebarang kerjasama !!

Jam 10.00 malam saya dipanggil Izani dia mengatakan saya akan dihantar ke Hospital untuk pemeriksaan doktor. Saya berkeras tidak mahu kerana saya tidak cedera. Saya dibawa berjumpa ‘bos’ kepada Izani yang memakai tanda nama Chan. Dia mengatakan akan ‘kononnya’ bertindak terhadap report saya. Saya mengatakan saya tak peduli semua itu tetapi apa yang saya hendak tahu sekarang kenapa saya ditangkap…?? Saya katakana saya sudah hilang sabar jika tidak ada alas an munasabah dan masih gagal perkenalkan siapa yang menangkap saya saya akan balik sekarang.

Chan dengan selamba mengatakan “ok anda dilepaskan tanpa syarat”….. Saya benar benar terperanjat…… apa sudah jadi dengan Malaysia…….???