Sunday, February 17, 2008

BA Selangor tawar: Bersih, Maju dan Berkebajikan


SHAH ALAM, 17 Feb (Hrkh) - Barisan Alternatif (BA) Selangor iaitu PAS dan KeADILan berjanji akan menjadikan Selangor bersih, maju dan berkebajikan jika rakyat mengamanahkan pimpinan BA untuk memerintah Selangor dalam pilihan raya umum ke-12, 8 Mac nanti.

Tawaran manifesto BA telah dilancarkan bersama oleh Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Ali dan Setiausaha KeADILan, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Glenmarie, Shah Alam, pagi tadi.

PAS dan KeADILan akan bertanding di Dun dan Parlimen seluruh Selangor menentang BN dan mengemukakan harapan baru untuk rakyat Selangor dengan tiga asas utama.

BA Selangor berjanji akan melaksanakan urus tadbir yang berwibawa seperti berikut;

* memastikan semua pemimpin bersih daripada rasuah
* menyiasat penyelewengan pentadbiran tanah dan sumber negeri
* menghentikan projek-projek membazir dan rugi
* memastikan ketelusan pentadbiran negeri
* menghentikan campur tangan politik dalam perniagaan dan
* melarang ahli-ahli exco terlibat dalam perniagaan

BA Selangor menjamin sosial dan kebajikan rakyat seperti;

* membuka tabung permulaan RM100 bagi setiap anak kelahiran Selangor
* memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri
* memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan pra-sekolah
* memberi hadiah RM1000 kepada setiap anak Selangor yang mendapat tawaran ke universiti
* memberi bantuan dan biasiswa pelajaran untuk anak Selangor
* memberi bantuan kepada anak-anak muda untuk mendirikan rumahtangga
* membuka pusat sukan mini dan rekreasi bagi belia
* mencarum takaful bernilai RM2,500 untuk warga emas, orang kurang upaya dan anak yatim
* memberi elaun ibu tunggal yang layak
* memberi elaun khas suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka
* membantu setiap rakyat Selangor untuk mendapatkan kediaman sendiri
* mewujudkan institusi menyelaraskan hal ehwal agama selain Islam

Kesihatan Rakyat

* memberi wanita bekerja 90 hari cuti bersalin
* memberi 14 hari cuti kepada suami yang isterinya bersalin
* memberi sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami
* menyediakan perubatan percuma untuk warga 65 tahun ke atas


Ekonomi rakyat

* menyediakan premis perniagaan yang cukup
* memberi bimbingan perniagaan kepada golongan belia dan wanita muda
* memberi galakan kepada belia dan wanita muda berniaga dengan sewa minima atau hanya perlu membayar air dan elektrik untuk dua tahun pertama
* mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dan cukai premis komersial sebanyak 10 peratus
* memberi bekalan air kegunaan domestik secara percuma bagi 20 meter padu pertama setiap bulan
* menjalankan program bagi membolehkan rakyat miskin terutama petani dan nelayan
mendapatkan pendapatan yang lebih tinggi di atas garis kemiskinan


Keselamatan rakyat

* menguatkuasa syarat perlindungan alam sekitar bagi mengelakkan bencana seperti tanah runtuh dan banjir
* menggantikan sistem rukun tetangga dengan sistem baru yang lebih berkesan
* mewujudkan pusat khidmat sehenti bagi menangani kes jenayah dan keganasan terhadap wanita. - mks.

No comments: