Nyza Ayob
Thu | Jan 10, 08 | 6:17:57 am MYT
GOMBAK, 10 Jan (Hrkh) - "Kerajaan yang telah diberi mandat oleh rakyat, tetapi di sebalik kemenangan tersebut mereka menipu rakyat dan betapa banyak masalah dalam negara yang terpaksa ditanggung oleh rakyat."
Demikian penegasan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh sewaktu menyampaikan ceramahnya dalam program 'Sepetang Bersama BA Gombak Prihatin' anjuran Wanita BA Gombak baru-baru ini.
Selain Nuridah, turut menyampaikan ceramah dalam program tersebut ialah Nurul Izzah Anwar, Koordinator GMI, Aliza Jaafar, Wanita Keadilan Selangor, Faekah Hussin serta setiausaha Dewan Muslimat PAS Selangor, Noraszlin Mohd Shamsudin.
Selain dari Dun Gombak Setia, Dun Batu Caves dan Dun Hulu Kelang turut mengadakan program yang sama serentak pada hari tersebut.
Dalam ceramah yang bertempat di Kampung Kerdas, dekat sini, Nuridah turut menyeru golongan muslimat terpaksa sama-sama bangkit menentang penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) serta menyifatkan tindakan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman sebagai tidak wajar.
Jelasnya Rashid tidak layak menjadi Pengerusi SPR, apatah lagi jawatannya ditambah selama setahun lagi sedangkan beliau dilihat lebih berpihak kepada Barisan Nasional.
Sementara itu, Puteri Reformasi, Nurul Izzah mengharapkan, tanggungjawab menyebarkan maklumat terutama berkaitan pilihan raya bukan hanya kepada golongan yang sedar sebaliknya kepada gologan yang kurang memahami isu dalam negara masa kini.
Selain itu katanya, tidak ada usaha yang dilakukan kerajaan yang mencerminkan sebuah kerajaan yang dikatakan sebuah negara Islam. Ini termasuklah undang-undang ISA yang digunakan menggambarkan kekejaman kerajaan.
"Untuk apa yang dikatakan kerajaan ini lebih demokratik, dan masyarakat yang dikatakan berharmoni serta berpandukan Islam sebagai agama rasmi. Undang-undang seperti ini bukan sahaja bukan tidak Islamik, bahkan kerajaan ini menzalimi rakyat mereka sendiri,"katanya.
Nurul Izzah turut menyentuh isu kemiskinan yang dihadapi kaum bumiputera.
Jelasnya lagi, jika dilihat statistik kemiskinan orang Melayu, menunjukkan kegagalan kerajaan mengurangkan kemiskinan orang Melayu.
Pada masa yang sama katanya, orang India juga tidak terlepas daripada masalah kemiskinan.
"Samy Vellu tidak pernah menghiraukan keadaan kaum India yang kononnya dikatakan diperjuangkan oleh MIC. Sejak merdeka dikatakan MIC memperjuangkan kaum India dan Umno memperjuangkan orang Melayu.
"Namun konsep ini bukanlah benar-benar boleh diterima dan bukan disaksikan sebenar-benarnya,"katanya.
Dalam majlis tersebut, koordinator Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Aliza Jaafar turut menyatakan isu ISA mendapat sokongan sebuah badan bertaraf antarabangsa iaitu Suruhanjaya Hak Asasi Islam, London.
Katanya suruhanjaya itu memberi cadangan bagaimana dapat membantu tahanan ISA seperti Mat Sah Mohammed Satray yang ditahan di bawah akta zalim itu hampir enam tahun.
Suruhanjaya tersebut turut mencadangkan agar pihak GMI supaya tidak berputus asa menghantar surat menuntut pembebasan tahanan ISA ini kepada Perdana Menteri dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Katanyanya, hasil usaha suruhanjaya yang tidak pernah kenal jemu melalui kempen menuntut pembebasan seorang tahanan dari Turki, akhirnya tahanan tersebut dibebaskan.
Justeru beliau mengharapkan seluruh masyarakt turut memberi sokongan kepada setiap kempen yang dianjurkan GMI bagi memastikan tahanan ISA dibebaskan dan dibicarakan. - mks.
Thursday, January 10, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment