Monday, January 14, 2008

Pemuda KeADILan kesal polis lembap tangani kes penculikan


Azamin Amin
Tue | Jan 15, 08 | 8:51:59 am MYT

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Hrkh)-Kes-kes penculikan yang semakin meningkat dan membimbangkan masyarakat khususnya di negeri Selangor sedikit sebanyak menyebabkan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipandang remeh, malah kegagalannya dalam menangani beberapa isu sebelum ini secara pantas dan cekap menyebabkan kejadian penculikan kembali berulang.

Sharlinie Mohd Mashar, 5 tahun yang kini telah hilang hampir seminggu dan sehingga kini tiada sebarang makluman diperolehi oleh kedua ibu bapa termasuk rakyat Malaysia amnya yang sentiasa menantikan perkembangan terkini kes tersebut.

Malah seminggu yang lalu negara dikejutkan dengan kehilangan adik Nur Fatiha Zaidi, 6, yang diculik oleh "lelaki kucing" gelaran yang diberi pihak Polis,dan tahun lepas negara gempar dengan penculikan dan pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin Jazimin.

Ketua Angkatan Muda KeADILan Negeri Selangor Halimey Abu Bakar yang mengulas isu ini berkata KeADILan memandang serius perkara sebegini dan amat menyedihkan ketiga tiga kes sebelum ini berlaku didalam negeri Selangor dan di bawah kawalan IPD Polis Petaling Jaya.

"Sebenarnya banyak lagi kes-kes kehilangan anak kecil yang tidak ada penyelesaiannya sehinggakan penculik ini sanggup melakukannya berulang kali," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau dalam pada itu turut mempersoalkan kenapa pihak Polis Selangor masih tidak dapat menyelesaikan kes sebegini khususnya kes Nurin yang kononnya menggunakan teknologi kepakaran luar negara dan bagaimana kes-kes sebegini dalam jangka masa tidak sampai setahun atau sebulan boleh berlaku lagi terutamanya di kawasan kawalan IPD Petaling Jaya.

Halimey turut mendakwa dalam pertemuan bapa Nurin, Jazimin dengan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin sewaktu menziarahi keluarga Sharlinie di Taman Medan Selangor beberapa hari lalu, Jazimin melahirkan kekesalan dan ketidakpuasan hati pihak-pihak tertentu yang melemparkan berbagai tuduhan terhadap beliau sekeluarga ini termasuklah pihak Polis dan pemimpin-pemimpin Kerajaan.

"Beliau cukup marah dengan pihak Polis yang sehingga kini masih lagi tidak dapat menyelesaikan penagkapan pembunuh anak beliau dan banyak bermain kata-kata yang manis kepada beliau di dalam media cetak dan elektronik walaupun pada dasarnya tidak ada apa yang diperolehinya," katanya.

Justeru dengan itu AMK Selangor mewakili seluruh rakyat Selangor kata Halimey mendesak agar Ketua Polis Selangor Dato' Khalid Abu Bakar serta Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Arjunaidi Mohamad melepaskan jawatannya serta-merta bagi menebus segala kelemahan didalam tugasan.

"Semalam terpampang di dada akhbar bahawa suspek kes adik Nurin ditangkap dan kita berharap ini bukanlah omong kosong yang hendak menyedapkan hati kedua ibu bapa adik Nurin serta semua rakyat Malaysia kerana sebelum ini telah banyak suspek ditangkap kemudian dilepaskan dalam beberapa hari sahaja," katanya mengakhiri kenyataan medianya itu. - mr

No comments: