Tuesday, January 8, 2008
Eksklusif: 10 juta poster Anwar diagihkan hujung bulan ini -Azmin
PERTEMPURAN kalah mati dua sahabat lama...
Oleh Wartawan KLpos.com
PULAU PINANG: 10 juta. Itulah jumlah poster pilihanraya gambar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan disebarkan di seluruh Malaysia hujung bulan ini. Bukan hanya poster, bahkan PKR siap untuk mengagihkan banners, T shirt, buttons, pelekat kereta dan air mineral kepada semua bahagian-bahagian tumpuan parti itu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat PKR, Azmin Ali.
Menurut Azmin, selain poster dan barangan berkaitan pilihanraya, pihaknya juga telah memperkemaskan persiapan Pilihan Raya Umum ke 12.
"JPRP telah mengedarkan bendera-bendera parti ke semua Bahagian-Bahagian tumpuan yang akan ditandingi oleh PKR." kata beliau dalam satu kenyataan di blognya semalam.
Jelas Azmin, proses percetakan poster Anwar Ibrahim sebanyak 10 juta salinan berjalan lancar dan akan diedarkan penghujung bulan ini bersama - sama banners, T shirt, buttons, pelekat kereta dan air mineral.
Selain itu, tambah beliau pihaknya juga akan mengedarkan perisian komputer yang mengandungi daftar pemilih suku tahun ke 4 yang sudah diproses mengikut program SISMEP12.
Azmin yang juga Naib Presiden PKR berkata, dalam masa terdekat, Anwar akan membuat pengumuman rasmi berhubung kejayaan PKR, DAP dan PAS mencapai persetujuan berhubung pembahagian kerusi melalui proses rundingan dan permuafakatan.
"Untuk membina Malaysia yang kuat dan gagah, undilah PKR dalam pilihanraya umum yang akan datang. Rakyat Malaysia akan menyaksikan terbitnya semula sinaran matahari yang sudah sekian lama terbenam akibat kepimpinan yang lemah," katanya.
Kenyataan Khas PKR dan DAP Rabu ini
Sementara itu, laman web suarakeadilan.com melaporkan PKR dan DAP pada peringkat negeri Pulau Pinang telah berjaya mencapai persetujuan dalam hal peruntukan kerusi.
Ini dimaklumkan dalam suatu kenyataan media bersama oleh Pengerusi Perhubungan Negeri PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain M. Hashim,dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
"Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng akan mengadakan satu sidang media bersama pada hari Rabu, 9 Januari di Pulau Pinang untuk memaklumkan butir-butir persetujuan tersebut," jelas laporan tersebut.
Pulau Pinang dijangka menjadi menarik perhatian ramai berikutan dua pemimpin utama politik negara, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berasal dari negeri tersebut.
Kedua-duanya pernah bersama memimpin Badan Perhubungan Umno negeri sebelum Anwar dipecat pada tahun 1998.
Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainudin dalam satu wawancara memberitahu, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang memerlukan tumpuan khas BN dalam pilihanraya akan datang.
PKR dalam kongres tahunannya pada 2006 di Pulau Pinang, membuat kenyataan terbuka mahu menjadikan negeri tersebut sebagai negeri pertama ditawan oleh parti tersebut dalam pilihanraya akan datang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment