Friday, December 21, 2007

'Saya sedih melihat Perdana Menteri ...'



Oleh Dr Wan Azizah Wan Ismail

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa pada 10 Disember membuat saya merasa kesal melihat tindakan kerajaan yang seolah-olah tidak mengambil peduli hak asasi rakyat Malaysia. Tiada maknanya kita menyambut hari sedemikian rupa sedangkan kerajaan kita sendiri mencabul hak asasi dengan sewenang-wenangnya.

Saya terkilan melihat tindakan kerajaan menahan sembilan orang peguam dan aktivis pada pagi Ahad lalu, atas penglibatan mereka dalam perhimpunan awam sempena sambutan hari ini, serta penanahan saudara Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan, dan Tuan Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, dan 12 orang yang lain, atas penglibatan mereka dalam perhimpunan awam BERSIH 10 November yang lalu.


Sebelum pada itu rangkaian sistem pesanan ringkasan dilumpuhkan dalam operasi ini. Kebebasan berhimpun dengan aman merupakan hak asasi manusia yang diiktiraf masyarakat antarabangsa, malah telahpun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perhimpunan awam Ahad lalu dan perhimpunan BERSIH kedua-duanya adalah perhimpunan aman. Maka penahanan mereka ini merupakan pencabulan hak asasi rakyat Malaysia untuk berhimpun dengan aman, dan menjadi satu lagi titik hitam dalam sejarah penindasan rakyat di negara kita oleh kerajaan BN.

Tindakan kerajaan ini sememangnya mencemarkan nama baik Malaysia, memandangkan kita kini menjawat keahlian Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Adakah sebuah negara yang mendaulatkan hak asasi di pentas antarabangsa menahan rakyat sendiri apabila berhimpun secara aman?

Saya sedih melihat Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi dengan begitu lantang dan tanpa segan silu mempertahankan keutuhan demokrasi di Malaysia, sedangkan realiti berbeza.

Saya menyeru pihak berkuasa supaya mengkotakan janji dan pegangan demokrasi sebagai ahli Majlis Hak Asasi, bersama masyarakat antarabangsa yang giat menyambut Hari Hak Asasi hari ini dan bebaskanlah segala tahanan serta-merta tanpa syarat, dan hentikan pencabulan hak rakyat di bawah perlembagaan kita untuk berhimpun aman atas nama demokrasi.

No comments: