Thursday, November 29, 2007
Dollah bergembira dengan PANGKAT C
Roslan SMS
Sekembalinya dari luar negara semalam, PM Dollah Badawi ditanya oleh pemberita tentang reaksi beliau terhadap kajian yang dibuat oleh Merdeka Centre, sebuah pusat penyelidikan tempatan yang telah mendapati bahawa Dollah menerima sokongan positif dari rakyat selaku PM. Dollah ternyata gembira (saya tidak pasti adakah beliau sendiri telah melihat hasil kajian itu yang sebahagiannya disiarkan oleh New Sunday Times Ahad lepas) dan berkata:
Alhamdulillah jika itulah yang ditunjukkan kajian berkenaan (sah beliau sendiri belum melihatnya) saya gembira.
Memang benar dari purata 1,024 rakyat Malaysia (dari Semenanjung sahaja) yang dikaji oleh pusat berkenaan, Dollah menerima sokongan positif dan stabil.
Tetapi untuk berlaku adil kita perlu melihat angka-angkanya dan tidak mengambil secara pukul rata. Salah satu penemuan kajian berkenaan menunjukkan yang 58% berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Dollah. 38% tidak berpuas hati manakala 10% tidak tahu atau enggan memberikan respon.
Bagi saya 58% itu kalau disamakan dengan keputusan peperiksaan di sekolah, Dollah cuma memperolehi gred “C”, bukannya baik atau cemerlang. 10% yang tidak tahu atau enggan memberikan respon ternyata boleh dilonggokkan dalam kategori tidak berpuas hati kerana jika mereka berpuas hati pasti itulah responnya, tetapi tidak, mereka memilih untuk menyatakan sebaliknya. Bermakna 42% tidak termasuk dalam kategori berpuas hati dengan pimpinan Dollah, ia mungkin minoriti, tetapi ternyata ia minoriti yang besar.
Kajian itu turut mengukur isu-isu terpenting dalam pilihan raya mengikut kaum. Salah satu isu adalah masalah ekonomi. Dalam hal ini masyarakat India meletakkan 45%, Cina 32% dan Melayu 28%. Mengikut susunan peratusan bermakna, ketiga-tiga kaum meletakkan isu ini sebagai yang terpenting, iaitu jumlahnya 31%. Apabila menyebut masalah ekonomi sudah pastilah ianya memberikan konotasi yang negatif, sesuatu yang tidak baik. Jika isu ini diletakkan sebagai yang terpenting dan paling utama, bermakna kerajaan ini bersarang dengan masalah ekonomi dan ianya dirasai sangat oleh rakyat.
Satu lagi ukuran yang menarik adalah kedudukan kewangan isi rumah atau keluarga masing-masing. Rata-rata ketiga-tiga kaum menyatakan mereka dapat menampung keluarga masing-masing. Tetapi peratusan yang menyatakan bahawa kedudukan kewangan mereka lebih dari apa yang diperlukan (more than you need to make ends meet) adalah seperti berikut mengikut susunan kaum: India 16%, Melayu 14% dan Cina 12% ataupun keseluruhannnya 13%.
Manakala yang menghadapi kesukaran ataupun kadangkala dalam kesukaran bagi menampung keluarga adalah seperti berikut: Cina 36%, India 35% dan Melayu 12% ataupun keseluruhannya 23%. Ini bermakna kedudukan kewangan rakyat Malaysia masih belum teguh, besar kemungkinan kerana faktor kos hidup yang semakin tinggi.
Oleh itu kita syorkan sebelum Dollah bergembira atas kajian ini, baca dan kajilah terlebih dahulu hasilnya secara terperinci. Mungkin Khairy boleh membantu bapa mertuanya dalam memahami hasil kajian pusat tersebut. Lainlah kalau keputusannya lebih 2/3 atau 75% yang menyokong. Tetapi kalau yang menyokong sekadar “C” sahaja, dengan kenaikkan kos hidup yang berterusan, institusi kehakiman yang diragui kewibawaannya, rasuah dan jenayah yang semakin berleluasa dan menjadi-jadi, jangan terperanjat dalam beberapa minggu sahaja “C' tadi boleh bertukar menjadi “D” atau “E”.
Tak tahulah siapa pula yang bergembira nanti!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment