Friday, November 2, 2007

Alhamdullillah, Azmin bebas tuduhan berbohong di mahkamah


Azmin bersama isteri, peguam dan rakan-rakan di luar mahkamah semalam

Oleh Abdul Razak Ismail

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membebaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dari sabitan dan hukuman penjara terhadapatas tuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hakim Datuk Abdul Kadir Musa berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Hamdan Endah dan membatalkan sabitan dan hukuman 18 tahun penjara terhadap Azmin.
Saya bersetuju sepenuhnya dengan (Hamdan) bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan prima facie dalam tuduhan terhadap perayu.

“Itu adalah kesimpulan pertimbangan saya, tidak perlu bagi saya untuk mengulas lanjut tetapi membenarkan rayuan tertuduh dan mengenepikan sabitan dan hukuman," katanya ketika membaca penghakiman bertulisnya setebal 30 muka surat.

Kes Azmin itu telah didengar dua kali oleh Mahkamah Sesyen.

Kes tersebut pertamakali didengar oleh Hamdan yang memutuskan bahawa pihak pendakwa gagal membuktikan prima facie terhadap Azmin yang dituduh memberi kenyataan bercanggah sewaktu perbicaraan Anwar dan dalam aduannya kepada Majistret Othman sewaktu prosiding reman.

Hamdan kemudiannya membebaskan Azmin tanpa memanggilnya membela diri pada 1999. Bagaimanapun, pihak pendakwa telah mengemukakan rayuan pada 17 Februari 2000.

Berikutan itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Patail mengarahkan supaya kes itu dirujuk semula kepada Mahkamah Sesyen untuk memanggil Azmin membela diri.

Dalam perbicaraan kali kedua itu, Hakim Akhtar Tahir mendapati Azmin bersalah mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan, dengan menyatakan bahawa terdapat percanggahan dalam kenyataan Azmin pada 2 Mei 2001.

Beliau menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara terhadap Azmin. Naib Presiden PKR itu kemudiannya memfailkan rayuan, yang didengar oleh Abdul Kadir hari ini.

Abdul Kadir berkata beliau tidak bersetuju dengan interpretasi spekulatif Abdul Wahab dan menjelaskan bahawa ada justifikasi bagi percanggahan tersebut.

Sejurus selepas keputusan tersebut diumumkan, Azmin dilihat memeluk isterinya, Shamshida Taharin.

Ketika ditemui, Azmin berkata beliau merasa lega dengan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, walaupun sistem kehakiman perlu direformasikan, tetapi masih ada hakim-hakim yang independen yang tidak membiarkan diri mereka dipengaruhi oleh pihak eksekutif.

Kira-kira 30 penyokong hadir di mahkamah hari ini,termasuk Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

Azmin diwakili oleh peguam CV Prabhakaran, Christopher Fernando dan Gurcharan Singh Sohan manakala timbalan pendakwaraya ialah Shamsul Sulaiman. Klpos, malaysiakini

No comments: