Thursday, September 6, 2007

Tarikh 2 september tarikh keramat-Azmin


KUALA LUMPUR, 5 September - Tarikh 2 September 1998 merupakan tarikh keramat yang mencetus kebangkitan rakyat menentang ketidakadilan yang berlaku dalam pentadbiran negara.

Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali menyatakan demikian dalam ucapannya semasa program Malam Pelancaran Kalendar KeADILan 2007/2008 pada Ahad lepas.

Menurutnya, pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tarikh itu, membawa kepada perjuangan reformasi sehingga kini.

“Sudah hampir satu dekad perjuangan reformasi dilalui oleh kita semua dan dalam mengharungi perjuangan getir ini ada yang pahit dan yang manis,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Azmin turut dipilih sebagai Ikon Popular Tahunan yang pemilihannya dibuat secara undian oleh para hadirin yang hadir di Hotel Royale Bintang.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan tersebut perlu kepada kekuatan bersama.

“Saya sudah banyak kali menegaskan bahawa KeADILan bukan parti milik Anwar tetapi parti ini milik seluruh rakyat Malaysia yang ingin menegakkan keadilan,” tegasnya.

Azmin juga menyeru semua pemimpin di seluruh peringkat supaya berpegang teguh dengan kerangka perjuangan parti.

“Jangan sesekali kita terheret oleh kepentingan peribadi yang akan membawa keburukan kepada parti kita,” katanya.

Menurutnya lagi, kekuatan utama yang ada pada KeADILan sekarang ialah rakyat meletak harapan tinggi kepada parti untuk membawa perubahan terhadap politik di Malaysia.

Beliau mengucap tahniah kepada KeADILan Ampang yang berjaya mengajur program yang penting tersebut.

Azmin juga melahirkan rasa gembira dengan penyertaan golongan muda dalam menjayakan program itu.

No comments: