Monday, July 2, 2007

Hujah Ezam meleset dan tidak melibatkan isu pokok perjuangan, dakwa Azmin

Roy Rasul dan Wan Nordin
Mon | Jul 02, 07 | 06:28:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali berkata, beliau tidak berminat untuk menjawab dakwaan bekas Ketua Angkatan Muda KeADILan, Ezam Mohd Noor ke atas beliau memandangkan hujah-hujah yang dikemukakan jelas terlalu meleset dan tidak melibatkan isu pokok perjuangan dan soal dasar parti.

"Keutamaan saya hari ini ialah untuk maju ke hadapan dan memperkasa parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-12.Satu perkara yang harus diperjelaskan ialah proses membuat keputusan dalam Parti Keadilan Rakyat sentiasa dibuat dengan roh demokrasi Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Parti, Dato' Seri Anwar Ibrahim," tegasnya hari ini ketika diminta mengulas kenyataan Ezam yang tersiar dalam akhbar mingguan semalam.

Setiap perjumpaan dan mesyuarat khususnya mesyuarat Biro Politik, mesyuarat Majlis pimpinan Tertinggi memberi ruang yang seluas mungkin kepada semua ahli untuk memberi padangan dan kritikan yang membina sebelum sesuatu keputusan itu dibuat, kata Azmin.

Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan di dalam parti bukan keputusan individu boleh dikuasai mana-mana individu tetapi keputusan itu dibuat dengan prinsip muafakat apatah lagi KeADILan ini pimpinannya terdiri daripada pelbagai latar belakang, katanya.

"Jadi tidak timbul keputusan itu dikongkong oleh mana-mana individu,"katanya.

Sementara itu semasa diminta mengulas mengenai kritikan bekas-bekas reformis mengenai isu Anwar 'diktator' beliau berkata, mereka ada hak untuk memberi pandangan tetapi umumnya melihat Anwar tidak pernah lari daripada perjuangan, ujar Azmin.

Setelah melalui pelbagai bentuk rintangan dan risiko dan ujian yang begitu getir Anwar cukup tegas tentang prinsip kepedulian terhadap masalah rakyat,katanya.

"Dan apabila parti dan ahli parti memberikan mandat kepada beliau untuk memimpin parti.Beliau bertegas bahawa beliau boleh pimpin dengan syarat ahli dan pimpinan mesti mempunyai dan memiliki disiplin yang tinggi dan semangat yang cukup kuat dan mantap,"katanya.

Maka mana-mana ahli dan pimpinan yang tidak mempunyai dispilin dan khianat dalam perjuangan, sudah tentu tidak dapat bersama beliau pimpinan yang hendak dibawa oleh Anwar,katanya.

Beliau (Anwar) 'tidak memilih bulu' dalam perkara ini sama ada orang itu mantap usahanya ataupun kenalannya ataupun pimpinan yang baru dikenalinya, katanya.

Beliau letakkan 'target' yang cukup tinggi iaitu disiplin dan semangat daya juang.

Jadi kalau mereka tidak boleh bersama arus ini sudah tentu mereka akan terpinggir dan berasa kecewa, katanya.

Sementara itu, semasa mengulas mengenai pendekatan Ezam menggunakan media arus perdana untuk menyerang KeADILan beliau berkata, tindakan itu menunjukkan usaha 'desperado' yang memang dinantikan oleh parti pemerintah.

Parti sebenarnya bersiap sedia untuk memastikan apa juga tindakan yang diambil Ezam tidak akan memberi kesan kepada dan yang disebut oleh Anwar pimpinan hari ini tetap bersatu dan dapat memberi fokus dalam gerakan kita khususnya menghadapi pilihan raya akan datang. - mks.

No comments: