Tuesday, June 5, 2007

Negara dilanda ketegangan kaum-Anwar Ibrahim



Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketegangan kaum sedang berlaku di negara ini kerana kegagalan kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menanganinya dengan segera.

Katanya, orang Cina kini merasa takut kerana bimbang mereka dipaksa untuk menerima Islam.

"Inilah yang sedang berlaku dalam negara kita kerana isu murtad dibiarkan sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, baik orang bukan Islam dan orang Islam sendiri.

"Kita biarkan isu ini berpanjangan sedangkan isu mengenai akidah bukan perkara yang boleh dirunding," katanya dalam ceramah di Kota Baru malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mennteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan dihadiri oleh 100,000 orang.

Anwar berkata, kebebasan beragama perlu dipertahankan, iaitu orang Islam dilindungi dan orang bukan Islam diberikan hak mereka.

Katanya, kuasa Mahkamah Syariah tidak boleh dipertikaikan oleh mahkamah sivil dan isu berkaitan orang Islam tidak boleh mesti diselesaikan di Mahkamah Syariah.

‘Nakhoda tiada haluan’

"Inipun tidak boleh diselesaikan oleh Perdana Menteri, jadi saya anggap Malaysia ada nakhoda tetapi tidak ada haluan," katannya lagi.

Dalam ucapannya, Anwar juga mengingatkan penduduk Islam di selatan Thailand supaya tidak diperalatkan oleh Umno dalam pilihanraya umum akan datang.

Katanya, Umno akan menggunakan kekacauan yang berlaku di wilayah tersebut untuk membawa mereka supaya mengundi calon parti itu.

Anwar juga meminta pucuk pimpinan kerajaan negeri Kelantan supaya turun membantu pembangkang untuk menawan negeri lain dalam pilihanraya akan datang.

“Kelantan telah membuktikan kekuatan mereka, sudah tiba masanya mereka membantu mengalahkan Barisan Nasional (BN) di negeri lain pula," katanya.

Anwar berkata, tidak ada pemimpin Umno khususnya di Kelantan yang bersih kerana rata-rata mengaut harta rakyat dan terbabit dengan pelbagai skandal.

dari PKR

No comments: