Sunday, May 20, 2007

Foundation For Future

Oleh Anwar Ibrahim

Foundation for the Future (Yayasan Masa Hadapan) mula-mula diumumkan di Bahrain pada November 2005 oleh menteri-menteri luar dan pembangunan dari Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat. Yayasan tersebut merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara. Dari awal, sebanyak US$56 juta telah dijanjikan kepada Yayasan. Setakat ini, Yayasan hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom dan Jordan, antara lain. Amerka Syarikat tidak memberikan sebarang dana kepada Yayasan.. Saya dijemput untuk menyertai lembaga pengarah Yayasan pada pertengahan 2006 bersama-sama wakil dari Maghribi, Kuwait, Iraq, Sepanyol, Syria, Turki, Lubnan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Switzerland dan Qatar. Ahli lembaga pengarah yang lain termasuklah Kamel Abu Jaber, penasihat kepada Menteri Luar Jordan; Dr. Cornelio Sommaruga, bekas Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; Professor Ibrahim Kallin, penasihat Menteri Luar Turki, dan Sandra Day O' Connor, bekas hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Mesyuarat lembaga pengarah yang pertama diadakan di Doha, Qatar di atas jemputan Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, Menteri Luar dan kini Perdana Menteri Qatar pada 15 Julai 2006, dan saya telah dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi Kehormat Yayasan. Keputusan yang disepakati ialah untuk mendirikan ibu pejabat di Beirut, Lubnan. Walaubagaimanapun, di dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Disember 2006 di Amman, Jordan, saya bertemu Menteri Luar Jordan Abdelelah Al-Khatib, yang menyokong saranan penubuhan sekretariat serantau di Amman memandangkan penangguhan di dalam mendirikan ibu pejabat Beirut akibat serangan Israel terhadap Lubnan. Mesyuarat lembaga pengarah seterusnya akan diadakan pada 29-30 Mei 2007 di Bahrain. Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke Yayasan. Beliau mula-mula ditugaskan oleh Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk Yayasan pada hujung 2005 sebelum saya menjadi Pengerusi. Jawatankuasa eksekutif telah memutuskan pada pertengahan 2006 untuk menyeragamkan perlantikan tersebut agar Shaha menasihati secara langsung dari Bank Dunia dan bukannya Jabatan Negara. Yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mesyuarat di Bahrain minggu hadapan. Tetapi, memandangkan propaganda yang berterusan dari media kawalan UMNO, saya telah memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan ini. Sekiranya tiada penjelasan oleh media berkenaan isu ini, Yayasan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap pihak-pihak terbabit.

ANWAR IBRAHIM
Pengerusi Yayasan Masa Hadapan
MEDIA STATEMENT 20 May 2007

No comments: