Thursday, January 31, 2008

Terharu dan bangga


Murad di sebelah kiri sekali.


Agak terkejut juga melihatkan gambar anak saudara saya, Ahmad Murad bersama-sama dgn Sdr Shamsul Iskandar , Ketua AMK sewaktu program AMK Bahagian Padang Rengas. Rupa-rupanya termakan juga nasihat dan galakan saya kepada beliau untuk bergerak aktif dalam KeAdilan. Beliau kini merupakan Timbalan Ketua AMK Bahagian Padang Rengas. Tahniah saya kepada beliau. Terharu dan bangga sebagai bapa saudara. Semoga beliau terus aktif dan komited kepada perjuangan. Memang beliau selalu menjadikan saya sebagai rujukan dan bahan perbincangan setiap kali saya pulang ke kampung saya, Padang Rengas, Perak.

Ezam pohon jadi calon keADILan, Anwar beri syarat

Oleh Zulkifli Mohamed

Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) KeADILan, Mohamad Ezam Mohd Noor telah memohon untuk menyertai semula keADILan dan menjadi calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang.

Hasratnya itu telah disampaikan kepada salah seorang Ketua AMK di Selangor, yang kemudiannya telah membawanya ke pengetahuan salah seorang Naib Presiden parti itu.

Beliau kemudiannya telah mengemukakan hasrat Ezam itu ke mesyuarat tertinggi parti di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagaimanapun difahamkan Ketua Umum keADILan Anwar Ibrahim, telah meletakkan syarat agar Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti ekoran tohmahan beliau ketika mengisytiharkan keluar parti itu pada Jun tahun lalu, sebelum permohonan beliau dipertimbangkan.

"Anwar mahu Ezam memohon maaf secara terbuka kepada beliau dan parti," jelas sumber parti itu kepada Malaysia Today.
Difahamkan kata putus Anwar itu telah mematikan perbincangan lanjut permohonan tersebut.

Ezam ketika mengumumkan keluar parti, menuduh Anwar bersikap seperti seorang "diktator" tetapi menganggapnya sebagai seorang pemimpin yang "lemah". Beliau juga mendakwa, Anwar berada "di bawah telunjuk" salah seorang Naib Presiden Azmin Ali.

Semuanya gara-gara pemilihan kongres tahunan parti itu tahun lalu yang membabitkan pencalonan penyandang jawatan Timbalan Presiden Dr Syed Hussin dengan pencabarnya Azmin Ali.

Ezam dikatakan membantah hasrat Azmin itu yang mahukan status quo dikekalkan, sementara Azmin mahukan amalan demokrasi subur dalam parti.

Azmin kemudiannya menarik balik hasratnya untuk bertanding jawatan nombor dua parti itu dan mempertahankan jawatan naib presiden.

Dia dikatakan mengambil keputusan itu selepas Anwar menasihatkannya supaya berbuat demikian selepas Syed Husin mahu mempertahankan jawatannya itu.

Bagaimanapun, keputusan Azmin itu masih tidak memuaskan hati Ezam, apabila beliau membuat satu lagi tuduhan.

"Memandangkan Anwar telah menghalang Azmin daripada bertanding jawatan timbalan presiden, maka dia (Azmin) kemudiannya menghalang Anwar daripada bertanding jawatan tertinggi parti itu," dakwa Ezam seperti laporan sebuah web berita.

Beliau merujuk kepada keputusan Anwar menarik diri daripada bertanding jawatan presiden pada saat-saat akhir, kerana terhalang oleh peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ezam yang kini sebagai Pengerusi Gerakan Anti Korupsi mengumumkan baru-baru ini bahawa beliau telah dilamar oleh sekurang-kurangnya tiga parti untuk menjadi calon pilihan raya.

Desas desus paling kuat, kononnya Umno Selangor telah menawarkan beliau sebagai calon. Bagaimanapun, Pengerusi Perhubungan Umno negeri itu, Datuk Seri Dr Khir Toyo kemudiannya menyangkal khabar angin itu.

Katanya Ezam belum memohon menyertai Umno, bahkan menjelaskan parti itu tidak mungkin memilih Ezam kerana mereka tidak ketandusan calon.