Wednesday, June 6, 2007

Perpaduan mesti rangkumi dasar politik, ekonomi selain bahasa dan pendidikan - Syed Husin

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Hrkh) - Tindakan kerajaan menukarkan nama bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia sebagai elemen perpaduan antara kaum tidak akan menyelesaikan polemik perpaduan di negara ini, kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Dr Syed Husin Ali.

Menurut Dr Syed Husin, tindakan menukar nama sahaja tidak akan menyelesaikan masalah, kerana apanyang lebih penting ialah soal kedaulatan bahasa yang perlu diberi keutamaan di samping perlunya kestabilan dasar politik dan ekonomi untuk menjamin perpaduan yang utuh.

"Apakah dengan hanya menukar nama kepada Bahasa Malaysia maka automatik akan meningkatkan keyakinan rakyat atas perpaduan kaum?," katanya dalam satu komentar terhadap isu tersebut semalam.

Kata Syed Husin, elemen perpaduan mesti melihat kepada dasar politik dan ekonomi, selain bahasa dan pendidikan.

Menurutnya, dasar politik Malaysia masih lagi mengamalkan dasar pecah dan perintah, justeru perpaduan hanya boleh dicapai dengan mengubah dasar yang sedia ada.

Sama juga halnya dengan ekonomi, berlaku pengagihan ekonomi berpusat kepada segelintir orang dan kroni, dan ianya tidak diagihkan secara adil kepada rakyat bawahan, tegasnya.

Justeru langkah meniup semangat perpaduan tanpa perubahan hanyalah retorik semata-mata, katanya.

Selagi tidak ada usaha ke arah menjamin keadilan sosial, perubahan nama sekerap mana pun keadaan akan kekal sebagaimana sedia ada, dan jelas selepas 50 tahun Malaysia merdeka agenda perpaduan negara sebenarnya telah gagal, kata Syed Husin lagi.


--------------------------------------------------------------------------------

29,450 permohonan baru, bertukar alamat tak dapat diselesaikan SPR

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah memperakui Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun pertama tahun ini pada 29 Mei lepas.

Setiausaha SPR Dato' Kamaruzaman Mohd Noor berkata perakuan itu dibuat sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan 22(1) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menetapkan supaya Daftar Pemilih Tambahan diperakukan sebelum ia dapat digunakan untuk sesuatu urusan pilihan raya.

"RDPT Suku Tahun Pertama 2007 bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mac mengandungi 172,127 pemilih yang terdiri daripada 141,553 permohonan pemilih baru dan 30,574 permohonan tukar alamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini, yang dipetik Bernama.

Katanya SPR turut mengeluarkan 68,671 pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia dan dilucut hak kewarganegaraan.

Sementara itu sebanyak 29,450 permohonan baru dan bertukar alamat yang diterima dalam suku tahun pertama 2007 tidak dapat diselesaikan kerana terlibat dengan urusan tuntutan serta bantahan dan terpaksa dibawa ke suku tahun kedua 2007, katanya.

"Kawasan Parlimen yang terlibat dengan tuntutan itu ialah P.19 Tumpat, P.22 Pasir Mas, P.23 Rantau Panjang, P.26 Ketereh, P.30 Jeli dan P.31 Kuala Krai yang kesemuanya terletak di Kelantan.

"Kawasan Parlimen yang terlibat dengan bantahan pula ialah P.87 Kuala Krau di Pahang; P.19 Tumpat, P.21 Kota Baharu, P.22 Pasir Mas, P.23 Rantau Panjang, P.24 Kubang Kerian, P.25 Bachok, P.26 Ketereh, P.27 Tanah Merah, P.28 Pasir Putih, P.29 Machang, P.30 Jeli, P.31 Kuala Krai, P.36 Kuala Terengganu, P.38 Hulu Terengganu, P.39 Dungun dan P.40 Kemaman," katanya.

Kamaruzaman berkata RDPT Suku Tahun Pertama itu akan diwartakan pada 7 Jun.

"Dengan pengesahan RDPT Suku Tahun Pertama 2007 itu, jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara setelah dicantumkan dengan Daftar Pemilih Induk 2006 adalah sebanyak 10,322,956 pemilih," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk membeli DPT Suku Tahun Pertama 2007 boleh mendapatkannya di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya yang berharga RM1,399.60.

Selain itu, beliau turut mengingatkan kerjasama waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur kepada SPR dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih.

Katanya pemilih berdaftar adalah digalakkan untuk menyemak sebarang maklumat pendataan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, kaum dan nombor rumah pemilih dan menghantar pembetulannya ke SPR atau menghantar e-mel ke spr@spr.gov.my.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

wedding of the year..org tua kawin .heheheheh