Sunday, November 4, 2007

Azmin boleh bertanding semula dalam pilihanraya



Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali menarik nafas lega bila kes mahkamahnya yang berlarutan lebih tujuh tahun selesai Khamis.

Ini bila Hakim Mahkamah TInggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Kadir Musa meluluskan rayuannya bagi mengetepikan sabitan kesalahan beliau serta hukuman 18 bulan penjara yang dijatuhi terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen kedua pada 2 Mei 2001 atas tuduhan memberi keterangan palsu pada perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Mac 1999.

Azmin tidak dipenjara kerana Hakim Mahkamah Sesyen kedua itu Akhtar Tahir membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu keputusan rayuan dan membenarkannya dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum itu pada 13 Julai 1999, Azmin dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen pertama Hamdan Indah daripada tuduhan itu yang menyebabkan pihak pendakwaaan mengemukakan rayuan.

Azmin yang memang kerusi Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang,Selangor pada pilihanraya umum 1999 tidak dapat bertanding semula pada pilihanraya umum 2004 kerana sabitan kesalahan beliau serta hukuman 18 bulan penjara itu.

Berikutan keputusan yang membebaskannya itu beliau boleh bertanding semula pada pilihanraya umum akan datang.

Abdul Kadir berkata beliau bersetuju dengan keputusan Mahkamah Sesyen pertama yang membebaskan Azmin tanpa memerintahkannya membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.

Mengulas keputusan yang membebaskannya itu ,Azmin berkata ,"Saya rasa amat lega. Rayuan ini mengambil masa yang terlalu lama. Saya amat bersyukur. Keputusan ini menguatkan lagi keyakinan saya bahawa badan kehakiman sekarang memerlukan perubahan. Namun begitu, ada sesetengah hakim yang berpendirian bebas serta tidak membiarkan diri mereka dikuasai oleh eksekutif." -